5 info menarik tentang Antonov An-225 Mriya
Apakah yang menarik tentang pesawat ini, selain statusnya sebagai pesawat terbesar di dunia?
KUALA LUMPUR: Pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpurr (KLIA) hari ini, dalam perjalanannya ke Perth untuk menghantar sebuah generator seberat 130 tan.
Menurut ketua juruterbang Antonov Dmytrov, kapal terbang ini memiliki kepanjangan 84 meter dan setinggi 18 meter serta berat kira-kira 640 tan.
Saiznya cukup besar, sehingga pesawat ini yang pada asalnya dijadualkan berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tidak dapat berbuat demikian, ekoran ‘apron’ di sana tidak mampu menampung panjang keseluruhan sayapnya.
Sejumlah 150 peminat yang terdiri daripada kakitangan KLIA dan syarikat penerbangan yang berpengkalan di sana berkumpul untuk melihat sendiri kapal terbang ini. Apa yang menarik sangat, selain saiznya yang besar itu? Berikut adalah lima perkara yang anda perlu tahu tentang Antonov An-225 Mriya:
1. Mriya jika diterjemahkan secara mudah bermaksud ‘Impian’, dan hanya ada sebuah ‘Impian’ di dunia pada masa ini.
2. Pesawat ini dibina pembina kapal terbang Ukraine, Antonov ketika era Perang Dingin pada tahun 1980-an. Ia bertujuan mengangkut kapal angkasa lepas ‘Buran’ bagi program penerokaan angkasa Persekutuan Soviet.
3. Selepas tamatnya Perang Dingin, pesawat ini tidak bergerak selama lapan tahun akibat kekangan kewangan. Selepas itu, ia ‘lahir semula’ sebagai pengangkut kargo terbesar di dunia.
4. Kos operasinya sangat tinggi. Pada tahun 2004, kos menerbangkan sebuah serombong asap dari Billund, Denmark ke Kazakhstan mencecah USD300,000.
5. Ia mampu mengangkut 1,500 manusia pada satu masa – hampir tiga kali ganda kapasiti kapal terbang penumpang terbesar dunia.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa