Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 2, 2016

Akta MKN: "Majlis Keluarga Najib"?

Akta MKN 2016: Akta "Majlis Keluarga Najib"?
 | WAN ANWAR WAN IBRAHIM
Wan Anwar Wan IbrahimWan Anwar Wan IbrahimKenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menyifatkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (‘MKN’) tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sememangnya mengelirukan dan tidak masuk akal.
Kenyataan beliau sepertimana yang dipetik oleh media pada 17/10/2016 adalah menyentuh kuasa YDPA untuk mengisytiharkan darurat negara selaras dengan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalannya adalah apakah bezanya peruntukan Perkara 150 tersebut dengan kuasa untuk mengisytiharkan darurat oleh Perdana Menteri sepertimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 18 Akta MKN? Bukankah ia merupakan satu pertindihan kuasa dan juga boleh dilihat sebagai percubaan untuk merampas kuasa eksklusif YDPA?
Adalah juga menjadi kekeliruan dakwaan Peguam Negara tersebut yang menyebut bahawa perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri tersebut hanya terpakai terhadap “satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu” sahaja sedangkan Seksyen 2 Akta MKN juga langsung tidak mendefinisikan maksud “kawasan-kawasan tertentu” tersebut. Maka sekali lagi bukankah ianya juga boleh terus menjejaskan situasi pertindihan kuasa tersebut?
Mekanisme semak dan imbang (“check and balance”) dalam proses perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri turut diragui kerana walaupun Peguam Negara mendakwa bahawa Perdana Menteri bertindak atas nasihat ahli MKN, tetapi 5 daripada 8 anggota MKN adalah menteri-menteri yang merupakan ahli-ahli politik Barisan Nasional (sekyen 6 Akta MKN) dan mengikut seksyen 8 (3) Akta MKN, kuorum MKN adalah seramai 5 orang sahaja! Maka, bukankah keputusan-keputusan yang akan dibuat oleh MKN nanti boleh jadi suatu keputusan yang dibuat oleh ahli politik semata-mata dan juga akan dipengaruhi oleh unsur-unsur politik?
Selain daripada peruntukan-peruntukan undang-undang yang disebut di atas, terdapat juga seksyen-sekyen dalam Akta MKN tersebut yang terlalu umum dan berpotensi untuk terdedah kepada salah guna kuasa politik.
Adakah tidak mustahil di suatu masa nanti mesyuarat-mesyuarat MKN akan diadakan di Tingkat 38, Menara Dato’ Onn kerana seksyen 7 (2) Akta MKN membenarkannya? Malah seksyen 10 dan 11 Akta MKN membolehkan Perdana Menteri menjalankan mesyuarat MKN bersekali dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno!
Itu belum lagi disebut Bahagian V Akta MKN yang boleh dikenakan terhadap parti-parti pembangkang antara lainnya seperti mengganggu perhimpunan awam dan ceramah umum, menangkap pemimpin-pemimpin sehinggalah merampas premis-premis parti sepertimana termaktub, inter alia, dalam seksyen-seksyen 24, 25 dan 30 Akta MKN sekiranya perisytiharan kawasan keselamatan dibuat di bawah seksyen 18 oleh Presiden Umno.
Maka sebab itu jangan pelik apabila MKN itu tidak disebut Majlis Keselamatan Negara tetapi Majlis Keluarga Najib!
Wan Anwar Wan Ibrahim ialah Naib Ketua Pemuda Amanah dan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun)

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa