Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, November 10, 2016

Berkecuali: Pas nak jaga siapa?

Berkecuali dalam undian Bajet 2017: Pas nak jaga siapa?
09 November 2016 | MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Pas di Dewan Rakyat.

Pendirian Pas yang mengambil sikap berkecuali dalam pengundian Bajet 2017 menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat. Antara soalan yang ditimbulkan adalah jika pada 19 Januari 1993, Pas telah mengambil pendirian berkecuali dalam undian untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu kerana menjaga hubungan dengan Semangat 46 dan Sultan Kelantan, kali ini Pas mahu menjaga hubungan dengan siapa?

Ikuti ulasan seorang pembaca, ARHAM MERICAN tentang isu ini:

Saya antara ribuan rakyat Malaysia yang marah dan bingung dengan keputusan wakil rakyat Pas yang memilih untuk berkecuali dalam pengundian Bajet 2017. Hasil undian, 117 undi menyokong, 70 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) undi menentang dan 11 wakil rakyat Pas berkecuali.

Bajet 2017 secara ringkas adalah satu lagi bajet defisit, bermakna perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan. Bagi tahun 2017, sebanyak RM40.34 bilion akan dipinjam oleh kerajaan untuk menampung lebihan perbelanjaan menjadikan jumlah pinjaman perbelanjaan kerajaan daripada tahun 1997 sehingga 2017 sebanyak RM554 bilion. RM554 bilion adalah dua kali ganda lebih besar daripada jumlah kekayaan bagi 50 orang terkaya di Malaysia (RM264 bilion).

 “Debt Service Charges” iaitu Khidmat Hutang Negara atau kadar ansuran hutang tahunan telah meningkat secara mendadak. Pada 2016, sebanyak RM26.6 bilion diperuntukkan, RM2.36 bilion lebih tinggi daripada jumlah pada tahun 2015, manakala bagi tahun 2017, sebanyak RM28.9 bilion akan diperuntukkan untuk membayar ansuran hutang ini. Jumlah sebesar ini bersamaan RM555 juta seminggu dan RM79 juta sehari, hanya untuk membayar hutang!

Oleh kerana bebanan bayaran hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan, maka peruntukan penting seperti kesihatan dan pendidikan terpaksa dikurangkan. Peruntukan bagi subsidi dan bantuan sosial telah dikurangkan. Sebanyak RM27.3 billion diperuntukkan bagi tahun 2015,  dikurangkan kepada RM24.6 bilion bagi tahun 2016 dan dikurangkan lagi bagi tahun 2017 kepada RM22.4 bilion.

Selain itu, Kementerian Pendidikan berdepan pemotongan peruntukan RM2.4 bilion manakala dana untuk semua universiti awam dikurangkan secara drastik sebanyak RM1.4 bilion melibatkan 15 buah universiti awam, masing-masing dikurangkan peruntukan mereka 25 hingga 31 peratus.

Kadar GST juga kekal pada kadar 6%. Kadar inflasi dianggarkan antara 2 hingga 3%, ini bermakna harga makanan yang tahun ini RM1.00 akan meningkat tahun hadapan menjadi RM1.02 berbanding kadar kenaikan gaji yang hanya 3.5%. Kadar GST dan inflasi ini yang lebih tinggi daripada kadar kenaikan gaji tentunya memberi kesan pada kos sara hidup rakyat. Ditambah pula dengan rekod  tahun 2015 di mana 200,000 orang mengganggur dan 75,000 dibuang kerja.

Lebih membimbangkan adalah apa yang berlaku sejurus selepas Bajet 2017 dibentangkan, subsidi minyak masak dihapuskan, perjanjian projek RM55 bilion dengan China, serta isu 1MDB yang masih belum selesai. Perlu diketahui projek-projek seperti ini dijamin oleh kerajaan namun tidak disebut langsung dalam Bajet 2017.  Andai projek ini gagal, di mana kerajaan akan mendapatkan wang sebanyak lebih RM100 bilion untuk menjamin hutang akibat ECRL dan 1MDB ini? Sepatutnya peruntukan khusus perlu dibuat dibawah kos luar jangka kerajaan.

Disebabkan isu-isu seperti ini di dalam Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak, maka bajet ini wajar ditolak. Penolakan terhadap bajet ini bukanlah bermakna gaji penjawat awam akan ditahan seperti yang dimomokkan oleh ahli parlimen kerajaan, namun ia hanya akan menyebabkan satu bajet baru dibentangkan yang lebih seimbang dengan penyaluran peruntukan kepada sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan yang tidak terjejas. Pengurangan  kadar GST juga boleh diusahakan bagi meringankan beban rakyat. Di samping itu, tindakan menolak Bajet 2017 akan memberi isyarat tegas kepada DS Najib supaya lebih cermat dalam berbelanja sehingga tidak menggadaikan nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Bajet tidak diluluskan bukanlah sesuatu yang pelik. Bajet tahun 2000 dibentang dua kali, kali pertama pada 29 Oktober 1999 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin dan belum sempat ia diluluskan Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 untuk PRU ke-10.

Selepas PRU ke-10 dan selepas upacara angkat sumpah Ahli Parlimen, peruntukan perbelanjaan untuk 2 bulan pertama tahun 2000 dibentang dan diluluskan. Bajet baru bagi tahun 2000 hanya dibentangkan pada 25 Februari 2000.

Berbalik pada pendekatan berkecuali oleh Pas, justifikasi yang diberikan iaitu mereka lebih matang dalam membuat keputusan, ada perkara dalam Bajet yang mereka setuju dan ada yang tidak setuju bagi saya bukanlah satu justifikasi yang kuat. Mereka berbangga dengan sokongan akar umbi yang ramai dan kuat dalam kalangan Melayu khususnya di kawasan luar bandar, maka menjadi tanggung jawab mereka untuk menyatakan suara golongan ini di Parlimen, bukannya berkecuali.

Paling kurang, golongan luar bandar tahu dan sedar bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan yang parah hasil penolakan yang jelas terhadap Bajet 2017 ini. Tindakan was-was dan memilih untuk berkecuali sangat mengecewakan dan meninggalkan penyokong mereka dalam keadaan yang tidak tentu arah.

Hampir 20 tahun yang lalu, pada 19 Januari 1993, Pas telah mengambil pendirian berkecuali dalam undian isu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu. Pas menyokong usul ini di peringkat perbahasan kerana imuniti tidak selari dengan hukum Islam namun ketika undian dilakukan, Pas berkecuali kerana  pada masa itu, Pas memerintah Kelantan dan ingin menjaga hubungan dengan Sultan Kelantan dan Semangat 46  yang menolak usul ini.

Persoalannya, hubungan dengan siapakah yang ingin dijaga kali ini?

2 comments:

  1. PAS berkecuali dalam menangani madalah rakyat. Pengangguran, penutupan kilang, relokasi kilang asing ke negara lain, masalah air, harga, kejatuhan nilai matawang, dll bukan agenda PAS, agenda meteka bagsimana RUU dibentangkan....tipis..

    ReplyDelete
  2. Bila presideng kaki tuang, anak buah dapat la ketotolan ketuanya. Syabas...semoga terus bahlol PAS

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa