Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 9, 2016

Kerajaan Kelantan hilang arah, rakyat perlu bina masa depan

Kerajaan negeri makin letih, rakyat perlu bina masa depan
09 November 2016 | ZIKRI ABDULLAH
Datuk Husam Musa dalam dialog sidang Dun di Salor malam tadi

Amanah Kelantan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyenaraikan tawaran kepada rakyat apabila berpeluang mentadbir negeri.

Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Husam Musa berkata antara tawaran mereka adalah membuka peluang kepada rakyat Kelantan memiliki (jual) tanah ladang sebanyak 10 ekar seorang untuk tanaman sawit atau tanaman lain.

"Jika Amanah memerintah Kelantan, antaranya kita cadangkan kerajaan negeri buka peluang kepada rakyat Kelantan memiliki (jual) tanah ladang 10 ekar seorang untuk tanaman sawit/tanaman lain dan diuruskan oleh anak syarikat Kerajaan, dengan ini anak anak muda Kelantan ada peluang memiliki tanah," katanya ketika berucap di majlis penerangan dan dialog sidang Dun bersama Datuk Husam Musa di Wisma Tok Guru, Salor, malam tadi.

Bajet Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan katanya jelas gagal membawa apa-apa gagasan baru untuk memberi harapan kepada rakyat negeri ini sama ada yang masih bermastautin di Kelantan atau bekerja di seluruh negara.

"Ucapan bajet yang semua kita dengar baru-baru ini hanyalah mengulangi rancangan-rancangan lama yang telah dibuat semasa pentadbiran arwah Tok Guru Nik Aziz dan saya masih dalam kerajaan.

"Rumah duafat, program bantu armalah, rumah mampu milik, program peningkatan ibadah hanyalah ulangan kepada apa yang sedia ada dan tidak nampak apa yang baru," katanya.

Apa yang lebih mengejutkan kata bekas exco kerajaan negeri itu, selepas beliau berucap pada hari ketiga, seluruh perhatian dewan tertumpu kepada ucapan beliau dan bukannya berbincang tentang bajet.

"Walaupun ucapan pihak kerajaan sama ada Adun atau Exco hanya bertujuan menyakitkan hati saya dan meremehkan fakta yang saya bawa tapi semuanya hilang kawalan dari tajuk asal persidangan yang sepatutnya membincangkan bagaimana bajet yang dibentangkan benar-benar memberi impak kepada rakyat," katanya.

Apa lagi katanya bajet kali ini dibentang ketika berada di ambang pilihan raya, sepatutnya perbahasan tertumpu kepada tawaran kepada rakyat untuk dipilih semula dan bukannya mencari siapa patut dikutuk.

Justeru beliau menyeru rakyat Kelantan untuk bersama-sama memberi idea baru bagi membina masa depan negeri itu selepas kerajaan sedia ada semakin letih dan gagal merancang untuk membantu rakyat berdaya maju.

"Kerajaan ni dah jelas letih dan tidak mampu bersama rakyat bangunkan masa depan dan negeri jadi saya menyeru semua orang Kelantan beri cadangan untuk Amanah bina masa depan Kelantan yang lebih baik.

"Kita mahu cadangan dari semua terutama anak-anak muda dan golongan terpelajar supaya bersama melihat potensi negeri ini dalam pelbagai bidang dari pertanian hingga perniagaan internet," katanya.

Beliau juga mahu cadangan dikemukakan dalam bidang pengindahan dan klestarian alam sekitar kerana sebuah negeri Islam harus mengutamakan kebersihan dan keindahan.

"Pintu-pintu masuk ke negeri Kelantan mesti direkabentuk semula supaya pengunjung dan pelancong yang datang terus mendapat inspirasi sebaik tiba di negeri ini," katanya.

Mengenai air sungai Kelantan yang keruh pula, Husam berkata semua patut merasa sedih dengan perkara itu dan mencari jalan untuk memulihkannya.

"Saya terus menerus mengimpikan sungai Kelantan kita kembali jernih seperti dulu dan saudara sekelian perlu memikirkan cadangan-cadangan untuk menjayakannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa