Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, May 19, 2014

MH370-Apa Pulak Ni?: 'Penjaga' Diarahkan Berhenti Menghubungi Keluarga Anak Kapal

MAS ‘abai’ keluarga anak kapal MH370 yang minta bantuan guaman
OLEH MUZLIZA MUSTAFA
MAY 18, 2014
LATEST UPDATE: MAY 18, 2014 07:04 PM
Jacquitta Gonzales, isteri kepada seorang anak kapal MH370 bercakap kepada media pada sidang akhbar di Subang Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Shafiq Safiee, 18 Mei, 2014.

Keluarga anak kapal pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu berkata Malaysia Airlines (MAS) “mengabaikan” mereka kerana mereka bertemu dengan firma guaman asing untuk mendapatkan bantuan guaman.
Keluarga tujuh daripada 12 anak kapal terbabit berkata, syarikat penerbangan negara itu menghantar emel dua hari lalu meminta mereka mengarahkan peguam untuk berurusan dengan pasukan undang-undang syarikat untuk semua permintaan berkaitan dengan pesawat yang masih belum ditemui itu.
Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia pesawat Patrick Francis Gomes, berkata emel terbaru dihantar lebih daripada seminggu selepas penjaga mereka diarahkan untuk berhenti menghubungi mereka.
“Pada masa itu beliau beritahu saya mereka diarahkan berhenti menghubungi keluarga anak kapal,” kata Gonzales pada sidang media di Subang Jaya, Selangor, hari ini.“Kami tidak tahu apa yang berlaku. Tetapi apabila saya tidak mendengar apa-apa daripada penjaga yang saya anggap sebagai kawan rapat selama dua hari, saya menghubunginya.
Pesawat Boeing 777-200ER milik MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam perjalanan ke Beijing ketika ia hilang daripada radar awam ketika melintasi Laut China Selatan.
Radar tentera Malaysia mengesan pesawat itu berpatah balik kea rah barat hingga ia hilang daripada kawasan liputan di Laut Andaman.
Hadir pada sidang media itu ialah keluarga anak kapal MH370, Tan Size Yang, Andrew Nari, Foong Wei Yueng, Tan Ser Kuin dan Patrick Francis Gomez.
Wakil keluarga daripada dua lagi anak kapal tidak dapat hadir kerana bekerja.
Gonzales berkata, penjaga berkenaan adalah seperti tali perhubungan keluarga dengan syarikat penerbangan itu.
“Peranan mereka amat penting. Mereka memberi kami maklumat terkini mengenai misi mencari dan menyelamat pesawat itu. Mereka juga adalah sistem sokongan kami, tempat kami mengadu. Mereka yang kami cari untuk minta bantuan ketika susah dan senang.
“Kini mereka diambil daripada kami. Ia rasa seperti satu bentuk hukuman,” katanya.
Katanya, perkara itu berlaku selepas syarikat penerbangan itu mendapat tahu keluarga tujuh anak kapal mendapatkan perkhidmatan penasihat guaman.
“Kami tidak tahu bagaimana mereka tahu dan memperolehi dokumen berkenaan tetapi kami hanya mahu mendapatkan nasihat mengenai perkara yang kami tidak faham.
“Saya orang biasa. Saya tidak faham bahasa undang-undang. Saya ada anak yang perlu dijaga. Jadi, orang yang terbaik untuk dijadikan rujukan adalah peguam.
“Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh ambil penjaga kami. Saya pasti penjaga tahu apa yang boleh diberitahu dan apa yang tidak. Kita tidak perlu cakap mengenai pampasan. Tetapi, belas kasihan dan sokongan emosi diambil ketika kami masih memerlukannya,” kata Gonzales.
Katanya, ahli keluarga tidak menerima maklumat selepas 8 Mei daripada penjaga.
“Saya tidak pernah ada masalah dengan MAS sebelum ini. Selama ini mereka ada bersama kami. Kami tidak pernah cakap buruk mengenai MAS kerana kebajikan kami dijaga. Tetapi kini, rasanya mereka mengabaikan kami,” katanya.
Lee Khim Fatt, suami kepada pramugari Foong Wai Yueng, berkata MAS memungkiri janji.
“Mereka kata kami keluarga. Tetapi lihat apa yang mereka lakukan. Mereka ambil pembantu dan sokongan daripada kami. Mereka menyukarkan keadaan,” katanya.
Lee berkata, ahli keluarga rasa MAS cuba untuk menyukarkan keadaan dengan mengarahkan semua permintaan dibuat menerusi peguam.
“Sekarang perkara kecil seperti meminta tiket penerbangan pun perlu dibuat menerusi peguam dan ini termasuk butiran dan berita terkini usaha mencari dan menyelamat MH370,” katanya.
Mereka bagaimanapun lega apabila pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu temubual yang disiarkan media hari ini mengingatkan MAS tanggungjawab terhadap keluarga anak kapal.
“Beliau menyampaikan beberapa kebimbangan kami. Sekurang-kurangnya ada seorang yang tidak melupakan kami. Kami ucap terima kasih,” kata Lee.
Kelvin Shim, suami pramugari Tan Ser Kui, berkata mereka belum mendengar maklumat berhubung pampasan selepas MAS mengumumkan mengenai pampasan duluan akan dibayar kepada waris pesawat MH370.
“Keluarga tujuh anak kapal tidak tahu mengenai perkara itu. Kami diberitahu keluarga yang tidak melantik peguam menerima panggilan untuk menghadiri mesyuarat bagi berbincang mengenai pampasan.
“Mesyuarat itu bagaimanapun kemudiannya dibatalkan tetapi kami tidak pernah menerima panggilan mengenai perkara itu,” kata Shim dan menambah tujuh keluarga anak kapal itu mendapatkan nasihat guaman daripada firma Ribbeck Law Chartered yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat.
Hishammuddin dalam temubual dengan media tempatan hari ini berkata, MAS perlu diingatkan yang mereka mesti memastikan bayaran pampasan dilakukan secepat mungkin dan usaha membantu ahli keluarga anak kapal patut diteruskan.
“Saya percaya kita mesti memberi keyakinan dan sokongan kepada semua kakitangan MAS bukan sahaja kerana mereka adalah rakyat Malaysia, tetapi kerana mereka tidak bersalah. Ramai kakitangan MAS yang saya jumpa sejak beberapa minggu lalu berterima kasih kepada saya dan pasukan kerana bersama mereka,” kata Hishammuddin.
Selain itu, Hishammuddin pada Khamis berkata, pencarian udara dan permukaan laut dihentikan dan fokus kini ialah kepada operasi bawah laut selepas misi terdahulu gagal mengesan pesawat yang masih hilang itu.
Katanya, pencarian kini meletakkan keutamaan kepada tiga perkara iaitu menganalisis semula semua data; pemetaan lanjutan dan analisis dasar laut dan penghantaran aset. – 18 Mei, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa