Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, February 9, 2015

Bukti tunjuk Anwar bebas, hanya jika mahkamah bebas, kata pemerhati

OLEH ANISAH SHUKRY
Published: 9 February 2015 8:54 AM
Para pemerhati berpendapat, kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan, namun tangan-tangan ‘politik’ mungkin muncul dan menyaksikan bekas timbalan perdana menteri itu dipenjara buat kali kedua. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Februari, 2015.

Esok, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetahui untung nasib beliau, sama ada hilang kedudukan politiknya, atau dibebaskan daripada dakwaan liwat dan terus kekal sebagai ketua pembangkang.
Mahkamah Persekutuan bersedia mengumumkan  keputusan kes kontroversi yang bermula pada 2008, ketika Anwar mengaku tidak bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di mahkamah. Ia kali kedua beliau berhadapan dakwaan liwat, selepas kali pertama pada 1998 susulan pemecatannya daripada kerajaan.
Anwar berasa nikmat kemenangan pada 2012, apabila Mahkamah Tinggi membebaskan beliau, namun Mahkamah Rayuan tahun lalu mengetepikan keputusan itu, beberapa hari sebelum beliau dijadualkan bertanding pilihan raya kecil Kajang. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan atau kekal dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
The Malaysian Insider mendapatkan pandangan pemerhati mengenai jangkaan mereka terhadap keputusan esok. Mereka berpendapat, kemungkinan Anwar akan dibebaskan, namun tangan-tangan "politik" mungkin muncul dan menyaksikan bekas timbalan perdana menteri itu dipenjara buat kali kedua.
TMI: Berdasarkan pemahaman anda mengenai kes ini, bagaimana anda menjangkakan keputusannya, dan mengapa?
Phil Robertson, timbalan pengarah Hak Asasi Manusia (Asia) Human Rights Watch: Menyedihkan, saya berpendapat beliau akan didapati bersalah. Kebanyakan mereka dalam komuniti antarabangsa, dan kerajaan lain turut mempunyai pendapat yang sama.
Kes ini satu lagi contoh di mana Malaysia membuat sesuatu yang menjatuhkan dirinya sendiri. Banyak isu yang perlu diselesaikan namun atas sebab-sebab tertentu kerajaan obses untuk mengambil tindakan terhadap pembangkang berbanding menyatupadukan rakyat.
Saya berpendapat beliau akan disabit kesalahan kerana kerajaan bertungkus lumus menggunakan sistem yang ada dalam kes ini. Kami berharap mahkamah akan bebas dan tidak berpihak serta membuat keputusan berdasarkan bukti.
Kerajaan merosakkan imej Anwar selama tujuh tahun melalui pendakwaan ini, yang kesannya besar terhadap pengundi Melayu – mereka menuduhnya dengan teruk sekali, melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kepercayaan masyarakat Melayu berhubung orientasi seksual dan jantina, mendakwa beliau atas sesuatu yang bukan merupakan satu kesalahan, memanjangkan kes, mengalih perhatiannya daripada tugas sebagai ketua pembangkang, dan cuba menyumbat beliau balik ke penjara. Keseluruhan proses itu amat memalukan.
Hakikat yang kerajaan tetap meneruskan tindakan itu menunjukkan kurangnya visinya terhadap bagaimana Malaysia dilihat di mata dunia. Ini titik hitam untuk Malaysia. Saya berpendapat, kerajaan akan berhadapan kemarahan yang hebat di peringkat antarabangsa jika Anwar dipenjarakan.
Lim Chee Wee, presiden Majlis Peguam: Anwar harus dibebaskan, mudah sahaja, kerana bukti yang lemah. Dalam banyak aspek, kebarangkalian mencadangkan pendakwaan terpilih dan konspirasi.
Dr Bridget Welsh, penyelidik kanan Pusat Kajian Demokratik Asia, Universiti Kebangsaan Taiwan: Saya berpendapat tidak elok kita membuat spekulasi terhadap kehakiman, biarkan hakim membuat keputusan mereka berdasarkan lunas-lunas perundangan.
Jika begitu keadaannya, daripada perspektif perundangan, daripada beban pembuktian, beliau akan dibebaskan. Jika sebaliknya, itu keputusan politik.
Kes itu perlu dilihat secara keseluruhannya. Jelas terdapat beberapa persoalan di sini daripada segi pelaksanaan undang-undang. Namun yang penting, biar pihak kehakiman jalankan tugas mereka.
Persoalan berkenaan cara pengendalian bukti, persoalan berkenaan penggunaan undang-undang daripada segi pendakwaan terhadap beliau, dibandingkan dengan orang lain (dibangkitkan). Ia kelihatan seperti pendakwaan terpilih.
Datuk Sri Ambiga Sreenevasan, penaung Negara-Ku: Saya tidak boleh menjangkakan keputusan pada Selasa ini. Bagaimanapun, berdasarkan hujah yang dilaporkan dan yang saya dengar di mahkamah, saya menjangkakan beliau akan bebas.
Selain isu perundangan, saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan kes liwat DSAI (Anwar). Sudah tiba masanya ia dihentikan. Beliau bukan Superman! Tidak bolehkah mereka jawab saja hujahnya di Parlimen? Kes ini, pada pendapat saya, mencerminkan rasa tidak selamat pihak yang berkuasa.
Dr Ooi Kee Beng, timbalan pengarah, Institut Kajian Asia Tenggara: Sekiranya keadilan wujud dalam kehakiman, jika kita ada kehakiman yang tidak dapat disangsikan, saya rasa beliau akan dibebaskan... ia lebih daripada sekadar keraguan yang munasabah.
Jadi, sekiranya saya melihat keseluruhan kes ketika ini, jika saya melihatnya hanya berdasarkan perundangan, pihak pendakwa kelihatan tidak melakukan tugas dengan sempurna.
Namun, ini hanya jika perundangan itu tidak dapat disangsikan.
Bagaimanapun, saya rasa keputusannya 50-50. Kerana kita perlu mengambil kira kemungkinan sebenar isu politik yang terlibat di sini.
Dalam kes ini, kita memang syak sesuatu yang mencurigakan berlaku. Saya tidak fikir ada penganalisis yang tidak mengesyaki sebarang manipulasi politik dalam perbicaraan yang memakan masa begitu lama ini. Selain daripada kes Anwar, berapa ramaikah lagi rakyat Malaysia yang didakwa dan disabit atas kesalahan liwat? Saya tak yakin tiada seorang pun rakyat Malaysia yang tidak melakukan liwat.
John Malott, bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia: Sukar meneka keputusannya, kerana kes ini bermotifkan politik sejak awalnya, bermula daripada pertemuan Saiful dengan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) sebelum pendakwaan difailkan.
Ini bukan sahaja pendapat saya, malah kerajaan dan organisasi hak asasi manusia turut merasakannya. Ini perbicaraan politik. Fikirkan tentang hakikat yang, dalam sejarah Malaysia, hanya tujuh kes seperti ini dibawa ke mahkamah, dan dua daripadanya melibatkan Anwar. Dan, pastinya kedua-duanya dihadapkan pada ketika yang baik daripada segi politik untuk kerajaan.
Jika hakim membuat keputusan semata-mata berdasarkan fakta, Anwar akan dibebaskan. Mark Trowell, peguam Australia yang memerhatikan perbicaraan asal di Mahkamah Tinggi bagi pihak Inter Parliamentary Union, menulis buku 300 muka surat menjelaskan secara terperinci segala bukti dan keterangan.
Saya percaya Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang tepat; sementara Mahkamah Rayuan bertindak seperti mahkamah kangaroo, mengadakan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman hampir serta merta, yang mana keseluruhan kes mengambil masa dua hari sahaja.
Saya kagum Mahkamah Tinggi bersetuju dengan perbicaraan yang agak lama dan soalan yang ditanya tidak berat sebelah. Peguam baru Anwar, Gopal Sri Ram, menyerang pendakwa raya kerajaan habis-habisan.
Sudah pasti, saya berharap Anwar akan didapati tidak bersalah. Tetapi, ini Malaysia, siapa tahu? Kita sudah banyak kali dikejutkan sebelum ini. – 9 Februari, 2015.

3 comments:

  1. Pak Pandir: wira tolol Melayu berkata Anwar akan bebas? Selamat Malam ajelah PKR, bye, bye...

    ReplyDelete
  2. Anwar Ibrahim akan bebas...

    Hakim Hakim pun takut mati dan Azab Kubor.

    Semua pun dah nak masok Mahgrib dah tunggu masa saja nak ke Bukit Kiara.

    ReplyDelete
  3. Fikirlah secara rasional anonymous.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa