UMNO tak terjejas
Tapi kenapa riuh rendah?
Sunday, March 6, 2016
Deklarasi anti Najib - perang psikologi sudah hangat
ULASAN ISU
Perang saraf antara dua puak kini sudah bermula antara orang Najib Razak dengan orang Dr Mahathir plus oposisi sebaik sahaja deklarasi "Anti Najib untuk selamatkan Malaysia" diistyharkan. Para pendokong Najib mengambil tindakan segera, bangkit dengan membuat kenyataan dan ulasan memburuk-buruk dan memperlecehkan deklarasi berkenaan sambil mengecam orang yang terlibat dalam menggerakkan penganjuran itu.
Sosok yang menjadi kecaman kuat ialah Dr Mahathir Mohamad.
Pendokong Najib terdiri dari menteri kanan dan orang yang dilantik untuk menjadi engin dalam MT Umno. Para CEO MT telah muncul awal dengan pelbagai ulasan dan kecaman negatif dan kesat. Ada yang menyifatkan tindakan Mahatir sebagai pengkhianat kepada Umno dan tidak menggambarkan seorang negarawan.
Para pemakan upah Umno (laska panjat maya) juga membuat berbagai poster dan mengepos lata-kata kesat kepada Mahathir termasuk membangkitkan serangan dan dosa Mahathir kepada pembangkang semasa beliau menjadi perdana menteri dahulu. Ini termasuklah tindakan Dr Mahathir memecat dan berlaku zalim terhadap Anwar Ibrahim serta pembunuhan beramai-ramai pengikut Ibarhaum Libya di Memali. Mereka cuba menimbulkan keraguan dan kebencian dari kalangan orang Anwar dan juga Pas kepada Mahathir dengan harapan projek anti Najib dipulaukan.
Bagi mereka (laska panjat dan orang Umno) budi dan jasa Mahathir hilang habis licin bila mana Mahathir tidak menyokong kerajaan dan keluar Umno. Mereka tidak peduli apakah tindakan Mahathir itu benar, logik atau pun demi sebuah negara, yang penting bagi mereka menerima upahan di atas perbuatan dan kerja mereka. Mereka berkedudukan lebih dahsyat daripada serigala atau burung botak di Sahara.
Melupai jasa pemimpin terdahulu selepas ketidaan mereka, perkara biasa dalam politik orang Melayu. Mereka akan lupa dan tidak lagi mengenang sesiapa yang pernah berjasa kepada pertubuhannya apabila seseorang itu sudah meninggalkan sesuatu pertubuhan itu hatta atas sebab fatal dan munasabah sekali pun. Kandatipun pejuang itu telah berkorban dan terkorban mereka tidak peduli. Melayu sangat miskin dengan budi dan kering dengan sejarah. Semisalnya pembaharuan dan pembangunan yang Dr Mahathir gagaskan selama menjadi PM, teralpa begitu sahaja, seperti kemarau setahun terhapus kerana hujan sehari.
Ada yang lain pula telah merendahkan majlis itu kononnya gagal awal-awal lagi dan memberi gambaran tidak yakin gerakan itu mencapai tujuan. Bahawa Najib tidak akan jatuh dengan projek Mahathir itu. Psywar ini sengaja dihemburkan untuk mempengaruhi rakyat, sedang dalam hati mereka sendiri tertanya-tanya dan bimbangan dengan gerakan anti Najib itu yang mendapat dokongan lebih 50 orang tokoh dari pelbagai bidang.
Berbeza dengan pihak di sebelah di sni, mereka berasakan majlis itu sebagai satu sejarah buat mereka, apabila pertama kali mereka yang sebelum ini saling bertentangan kerana berseleheng ideologi politik tetapi dapat duduk bersama dengan nawaitu sama untuk melihat Najib tersingkir.
Misalnya Dr Mahathir yang bermusuh dengan Lim Kit Siang, kerana tidak sependapat dalam urusan mentadbir negara, boros, tidak bersetuju dengan cara Mahathir menggunakan wang rakyat, mengeksploitasikan kuasa untuk kepentingan diri dan kuasa, tetapi dapat duduk bersama dan ironisnya sama-sama pula menuruni tanda tangan menyokong deklarasi yang bermaksud sama untuk menggugurkan Najib.
Ertinya baik Mahathir dan Lim Kit Siang dan lain-lain melihat masalah dan kekarutan dilakukan Najib sangat berat dan berbahaya kepada negara. Sikap politik profesional dan bertaraf "ulul albab" mereka berdua itu sepatutnya menjadi ikutan dan tiru generasi yang berperasaan dari sebuah parti yang kononnya matang untuk menjaga negara dimasa depan.
Bagi setengah rakyat umum pula melihat apa yang berlaku itu adalah satu sejarah yang sangat nostalgik sekiranya ia mendapat sasaran menjatuhkan Najib. Semalam semasa saya ke sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur sempat bertanya kepada beberapa anak muda yang tidak pun mesra dengan politik, tetapi bila ditanya mengenai deklarasi hendak jatuhkan Najib mereka menyokong.
Antara jawaban yang mereka bagi, berbunyi, "bagus". Saya tanya kenapa, mereka jawab "sebab negara kita dalam keadaan teruk (ekonomi) sekarang ini, elok kalau Najib turun dan digantikan dengan orang lain," jawab mereka.
Dan sama ada projek menjatuhkan Najib menerusi rakyat itu berjaya atau tidak ia masih bersifat subjektif. Pengukuran tidak boleh dibuat dalam tempoh sehari dua ini. Gerakan anti Najib baru dirasmikan dan ia akan bergerak secara rasmi pada 27 Mac ini. Tarikh itu akan menentukan apakah projek anjuran Dr Mahathir pluas oposisi itu berjaya atau gagal. Adapun klimeknya ialah pada PRU ke-14.
Sekiranya 27 Mac ini ratusan ribu rakyat keluar menyahut cabaran Dr Mahathir dan mendesak Najib turun, ertinya projek itu berjaya dan ia meletakan Najib di atas panggang api yang membara. Najib tidak boleh menerima seadanya dengan membuat berbagai-bagai helah untuk tidak akur dengan suara dan desak rakyat.
Beliau harus insaf dan sedar bahawa kedudukannya sudah penghujung dan sangat merbahayakan kepada kestabilan sosial dan politik negara. Beliau perlu mengelakkan dari dihimpit keadaan lebih buruk lagi bagi tidak dicetak dengan tinta hitam dalam sejarah siasah negara.
Seperti mana Dr Mahathir yang pada mulanya berkira untuk bertahan dan tidak mahu menghiraukan refomasi anjuran reformis membela Anwar tahun 1998 dahulu, tetapi akhirnya Mahathir terpaksa mengalah juga, meletak jawatan dan diserahkan kepada Abdullah Ahmad Badawi. Jika Najib berkeas dia juga akan melalui lorong gelap dan hitam yang sama.
Mungkin gerakan anti Najib yang dilakukan Dr Mahathir itu adalah terilham daripada refomasi yang digagas Anwar yang mendesak dan meminta beliau berundur.
Dan paling ironis lagi berhubung dengan projek anti Najib ia juga mendapat sokongan Anwar yang masih dalam penjara. Kalau hendak dikira Anwar tidak perlu menyokong Dr Mahathir yang dilihat sebagai telah melakukan penganiyaan dan kezaliman terhadapnya sejak lebih 15 tahun lalu. Tetapi kerana persamaan nawaitu, untuk menjatuhkan Najib demi negara dan rakyat, Anwar sokong. Ini bererti bahawa Najib berada pada tahap paling teruk dan kohong tanpa ada simpatis daripada mana-mana tokoh.
Namun seperti mana diduga ramai, Najib dengan segala kemudahan kerajaan, penguasa yang ada akan menggunakan seoptimunuya untuk menyelamatkan dirinya. Aparat kerajaan akan digunakan oleh Najib baik secara halal atau tidak. Tradisi menyalahkan hak rakyat dan negara seperti dilakukan Mahathir akan dipusaki Najib.
Apa yang dibimbangi mungkin polis akan digunakan untuk menahan dan menangkap sesiapa yang diperlukan. Beberapa akta yang disifatkan digubal tidak mengikut Perlembagaan seperti mana disebut dalam deklarasi rakyat itu, mungkin akan digunakan dan mencari seberapa banyak mangsa pertamanya.
Apakah kalau situasi ini berlaku projek itu dapat diteruskan dan akan mencapai matlamat? Sama ada Najib masih kekal dengan kedudukan setelah berjaya mengatasi dan mengekang projek berkenaan, tetapi dari segi moralnya Najib bukan lagi seorang perdana menteri dan pemimpin disayangi rakyat. Seperti mana saya sebut sebelum ini dalam surat terbuka kepadanya, ekoran pelbagai masalah dan skandal kewangan terkait dengannya eloklah Najib berundur.
Mengenai kepada siapa harus diserahkan jawatan PM sebelum rakyat memberi mandat baharu dalam pilihan raya ke-14, Najib ada dua sahaja calon untuk dipertimbangkan. Pertama timbalannya sekarang Zahid Hamidi dan kedua Tengku Razaleigh Hamzah.
Kalau ia diserahkan kepada Zahid Hamidi, ia tidak membawa apa-apa perubahan dan mendamaikan politik Umno dan negara. Tetapi kalau diserahkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah, mungkin ia memberi sedikit peluang untuk politik negara tenang kerana kumpulan di luar Umno lebih melihat Razaleigh lebih berwibawa dan layak berbanding dengan Zahid.
Namun suasana politik dalam Umno tetap juga berkubang dan gelodak, kalau ahli Parlimen Gua Musang itu menjadi pengganti sementara, keranaTengku Razaleigh tidak berpengaruh dalam Umno seperti mana dimiliki Zahid.
Orang-orang yang gila kedudukan, mahu mencari peluang dan cari makan dalam Umno tetap akan mahukan kepada Zahid walaupun dari segi pengalaman dan ilmu profesional, pentadbiran, diplomatik dan ekonomi, Zahid berada di hujung kaki Tengku Razaliegh. Zahid dilihat mampu dan sedia untuk memberi upah yang lumaya bagi mengukuhkan kedudukannya.
Apa-apa pun kita tengok pada 27 Mac ini sejauh mana gelombang anti Najib bergerak dan mengaum di Kuala Lumpur. Pihak pendokong deklarasi anti Najib kini sedang memanas badan untuk bergerak membawa gerombolan anti Najib ke ibu kota 27 Mac ini seramai mungkin. [wm.kl.11:14 am 06/03/16]
Posted by mohd sayuti Omar at 11:33:00 AM
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa