Friday, May 6, 2016

Timbalan Menteri Noriah Kasnon mangsa pertama

Timbalan Menteri Noriah Kasnon mangsa pertama nahas helikopter Sarawak
Astro Awani |  Mei 06, 2016 19:13 MYT
Timbalan Menteri Noriah Kasnon mangsa pertama nahas helikopter Sarawak
Noriah dalam perjalanan dari Betong ke Kuching sebelum helikopter yang dinaikinya hilang dari radar 20 minit selepas berlepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah mengesahkan mayat pertama yang dijumpai di Sungai Lupar ialah Datuk Noriah Kasnon.

Mayat beliau telah diterbangkan dari Sebuyau dengan helikopter khas kira-kira jam 3.48 petang tadi. Helikopter tersebut membuat pendaratan di padang IPK Sarawak sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk urusan seterusnya.

Noriah, 52 dilaporkan dalam perjalanan dari Betong ke Kuching pada kira-kira jam 4.12 petang Jumaat sebelum helikopter RPC 6828 yang dinaikinya hilang dari radar 20 minit selepas berlepas.


Noriah memulakan kariernya sebagai seorang peguam, mempunyai pengalaman luas dalam bidang
pentabiran kerajaan.

Bermula sebagai setiausaha parlimen Kementerian Penerangan selama empat tahun sejak Mac 2004, Noriah, Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor dinaikkan jawatan kepada timbalan menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat di bawah Kabinet baharu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada April 2009, di bawah pentadbiran baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau dilantik sebagai timbalan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pada 2012, beliau ditukarkan menjadi timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan setahun kemudian selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau dipindahkan ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi hingga sekarang.

Lulusan bidang undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1988, beliau aktif dalam UMNO sejak 1992 dan merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar sejak Pilihan Raya Umum 2004.

Dalam arena politik pula, Noriah pernah menjadi setiausaha Wanita UMNO Selangor pada 1992 sebelum dilantik sebagai setiausaha Barisan Nasional Selangor selama empat tahun dari 2000.
Pada 2005, beliau dilantik sebagi pengerusi Biro Penerangan Wanita UMNO Selangor dan menjadi anggota jawatankuasa Biro Wanita UMNO Malaysia.

Anak kelahiran Tanjung Karang itu mempunyai empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

1 comment:

  1. Alfatihah. Moga rohnya dirahmati Allah swt.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa