KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
MUAFAKAT RAKYAT SELAMATKAN MALAYSIA
Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.
Kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini ada menunjukkan kecenderongan mereka menerima hakikat bahawa sistem kerajaan yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri adalah berbahaya. Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh.
Pakatan Harapan menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara. Pakatan Harapan juga mempertahankan kehendak rakyat supaya sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh (termasuklah pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa salahguna kuasa), bukannya setakat menukar Perdana Menteri tetapi mengekalkan sistem sedia ada.
Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mengalu-alukan semua pihak untuk merangka kempen bersama yang akan digerakkan secara bersepadu melibatkan semua golongan dan kumpulan rakyat. Untuk tujuan itu, Pakatan Harapan akan memanggil satu sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini. Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac 2016 di Bangunan Parlimen.
1 Mac 2016
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP
TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa