Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, November 3, 2016

Najib mahu tarik wang China?

Najib mahu tarik wang China, pulih imej akibat skandal 1MDB: Penganalisis, akhbar
Nov 2, 2016 · 07:16 AM
Najib dan Li menghadiri majlis menandatangani perjanjian di Dewan Besar Rakyat, di Beijing, China, 1 November 2016. Perdana Menteri  di China untuk lawatan rasmi. – Gambar EPA.

BANGI – Perdana Menteri Malaysia yang terpaksa ‘berperang’ di dalam negara sendiri berikutan skandal kewangan yang mendorong siasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS), kini amat berharap lawatannya ke Beijing yang bermula kelmarin dapat menarik pelaburan baharu, bagi memulihkan imejnya setelah dijauhi pemimpin Barat, kata penganalisis.
Datuk Seri Najib Razak akan bertemu Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri China, Li Keqiang dan pegawai kanan Parti Komunis China, Zhang Dejiang, ketika lawatan rasmi tujuh hari itu.
South China Morning Post semalam melaporkan Najib dikaitkan dengan siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS mengenai penipuan besar-besaran dana pelaburan Malaysia yang diasaskannya – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
DOJ dalam saman sivilnya memohon untuk merampas aset bernilai sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion yang dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng dan dimasukkan ke akaun bank di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS.

Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Australia, James Chin dipetik sebagai berkata, Najib mahu menarik lebih banyak ‘wang China’ bagi menampung penurunan pelaburan langsung asing negara Barat selepas dihantui skandal itu.

“Beliau juga mahu menunjukkan bahawa ‘masih ada negara yang berkuasa di dunia ini yang sanggup memberinya layanan lima bintang atau karpet merah’.

“Beliau juga menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kuasa baharu yang sedang meningkat, seperti China, masih sanggup menjadi host kepadanya, kerana adalah agak jelas bahawa beliau tidak lagi akan mendapat layanan serupa daripada negara Barat,” kata Chin.

Akhbar berkenaan melaporkan, walaupun Najib mempunyai kelebihan dalam lawatan itu, Kerajaan China juga berminat untuk meningkatkan pengaruhnya ke atas Malaysia kerana ia memberi keuntungan bagi membangunkan inisiatif One Belt, One Road (OBOR).

Di bawah strategi Xi Jinping bagi mengembangkan pertumbuhan ekonominya, China berusaha memperkukuhkan ‘penguasaan’ ke atas tanah dan laut menerusi kerjasama bilateral dengan negara Asia, Afrika dan Eropah.

Salah satu projek mempercepatkan OBOR ialah rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi dari Singapura ke barat daya China, yang akan melalui Malaysia.

“Bagi pihak China, mereka mahu lebih rapat dengan Kuala Lumpur dari segi ekonomi dan politik kerana ia mahu menarik Malaysia berada di dalam lingkungan pengaruhnya,” kata Chin.

Akhbar itu melaporkan, walaupun Malaysia adalah antara beberapa negara Asean yang mempertikaikan tuntutan mengenai Laut China Selatan, Kuala Lumpur tidak melakukan tuntutan sehebat yang dilakukan Vietnam dan Filipina.

Sementara itu, akhbar berkenaan melaporkan beberapa keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 2014, berkumpul di luar Kementerian Luar China, hari ini, bagi memohon pertemuan dengan Najib.

China muncul pelabur kedua terbesar dalam sektor perkilangan: PM Najib
Bernama, Nov 1, 2016 · 14:26 PM
BEIJING – China merupakan pelabur kedua terbesar Malaysia dalam sektor perkilangan, dengan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dalam 20 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata China terlibat dalam menyokong beberapa projek perdana, yang akan memainkan peranan besar dalam transformasi Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi dan melepasinya.

Antara lain, Malaysia juga berbangga menjadi lokasi pilihan beberapa syarikat besar China seperti China Machinery Import and Export Corporation, Alliance Steel, Sinohydro Corporation Ltd, Comtech Solar International dan Longi.

“Walaupun ekonomi dunia berhadapan tempoh yang sukar, kerjasama Malaysia dan China semakin kukuh,” kata Najib pada majlis makan tengah hari Forum Perniagaan Malaysia-China bertema ‘Memperkukuh Kerjasama, Membangun Peluang’, yang dihadiri lebih 400 ahli perniagaan China dan Malaysia di sini pada Selasa.

Najib yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China sejak Isnin, juga berkata syarikat dari China telah banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia, seperti juga sumbangan syarikat Malaysia dalam pertumbuhan China.

Beliau berkata jumlah dagangan Malaysia dengan China juga meningkat dua peratus antara Januari dan Jun berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Antara projek perdana yang disertai China ialah bandar raya bawah tanah bersepadu yang dikenali sebagai ‘Bandar Malaysia’ yang dibangunkan bersama oleh China Railway Group Limited (CREC) bersama Iskandar Waterfront Holdings, dan pembinaan Melaka Gateway, projek pembangunan mega oleh Powerchina International Group dengan KAJ Development.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat lain yang terlibat dalam sektor perkhidmatan Malaysia termasuk Country Garden dan Greenland Group dalam hartanah, Xiamen University dalam pendidikan, manakala dalam komunikasi, ZTE Corp serta Huawei Centre of Excellence.

Beliau berkata berdasarkan hubungan perniagaan dan udara yang kukuh, hubungan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara dijangka bertambah makmur.

“Dan, menerusi hubungan udara yang lebih luas hari ini, dengan Malaysia Airlines dan AirAsia kini menyediakan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di China, selain perkhidmatan penerbangan sewa khas dari Guangdong ke Melaka mulai bulan lepas, akan menggalakkan hubungan baharu,” katanya.

Najib berkata Malaysia juga menawarkan penyambungan yang tiada saingannya selain berada pada kedudukan sebagai rakan perniagaan strategik di ASEAN, yang secara kolektifnya merupakan ekonomi ketujuh terbesar dan diunjur meningkat ke tahap keempat terbesar di dunia pada 2050.

Lebih 1,500 syarikat Malaysia kini beroperasi di ASEAN.

Bank-bank Malaysia seperti Maybank, CIMB, RHB dan Public Bank, selain syarikat telekomunikasi termasuk DiGi, Maxis dan TM, masing-masing sudah lama bertapak di peringkat serantau.

Penggiat lain di peringkat serantau termasuk YTL, AirAsia dan Malindo, katanya.

“Kita mempunyai asas yang kukuh dalam sektor pembuatan dan tenaga kerja daripada pelbagai etnik dan bahasa yang boleh berkomunikasi secara berkesan dengan kebanyakan pasaran dekat dan jauh,” katanya. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa