Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 1, 2016

Patriotik?.......kantung dulu mau kasi penuh beb!

Patriotikkah ahli parlimen BN untuk selamatkan Malaysia?
01 November 2016 | LIM KIT SIANG
Lim Kit Siang

Ucapan Perbahasan Belanjawan oleh Ketua Ahli Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Isnin 31 Oktober 2016.

Adakah kita mempunyai Ahli-ahli Parlimen BN yang cukup patriotik untuk maju ke depan dan berganding tangan bersama Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang patriotik untuk menyelamatkan Malaysia daripada penghinaan sebagai sebuah kleptokrasi global?

Sebagai Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang paling lama, setelah berkhidmat selama lebih empat puluh tiga tahun dalam sepuluh daripada tiga belas penggal sejak 1969 sehingga kini - kecuali dalam Parlimen Kesembilan pada November 1999 hingga Februari 2004 - saya amat sedih untuk mengumumkan bahawa sepanjang 43 tahun itu, saya tidak pernah berasa begitu malu dan marah melihat keadaan negara yang menjadi satu-satunya cinta hati dan patriotisme saya, yang saya rela berkorban apa sahaja termasuk jiwa raga, telah jatuh ke tahap yang begitu teruk sehingga menteri dan Ahli-ahli Parlimen langsung tidak tersinggung apabila dunia menggelarkan negara sebagai sebuah kleptokrasi global.

Apa yang telah berlaku kepada Malaysia? Adakah para Menteri dan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan pemimpin-pemimpin di negara ini telah betul-betul kehilangan kompas moral, walaupun Ahli Parlimen bermula dengan doa berikut sebelum setiap sidang Parlimen:

“Ya Allah, yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas Pemerintah dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan… Kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Rakyat, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negara Malaysia, bagi rakyatnya sekalian. Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu hidayatMu dipohon menyuluh memandukan, pada ketika kami berunding menimbang bertukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaran Allah, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan, bagi negara Malaysia, serta penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Tuhan seru alam sekalian”

Adakah doa ini telah kehilangan ertinya?

Adakah kita telah menjadi munafiq, sehingga habis terlupa doa yang kita baca di setiap pembukaan sidang Parlimen sehingga kita langsung tidak terganggu atau berasa malu dan marah untuk negara yang dikenali dunia sebagai sebuah kleptokrasi global, sebuah negara yang diperintah Tiga P’ pencuri, perompak dan penyamun.

Apa itu kleptokrasi? Ia ditakrifkan sebagai pemerintahan oleh pencuri atau sekumpulan pencuri.

Adakah begini akhirnya, apa yang dicita-cita dan diimpikan oleh para bapa-bapa kemerdekaan dan bapa-bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Tun Razak, Tun Tan Siew Sin, Tun V. Sambanthan, Tun Fuad, Tun Mustapha, OKK G.S. Sundang, Temenggong Jugah, Datuk Haji Openg, Ong Kee Hui, Ling Beng Siew dan James Wong ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 1963?

Adakah kita boleh berasa bangga bahawa Malaysia kini dikenali dunia sebagai negara ditadbir Pencuri, Perompak dan Penyamun?

Jika Malaysia tidak sepatutnya dikenali dunia sebagai sebuah kleptokrasi global, maka pemimpin dan institusi Malaysia, bermula daripada Kabinet dan Parlimen, mesti menolak dan membantah secara jelas agar dapat didengari seluruh dunia bahawa fitnah dan nista terhadap nama baik negara dan reputasinya adalah salah dan tidak berasas.

Jika ada pun asas untuk gelaran kleptkrasi global bagi Malaysia di mata dunia, maka Parlimen dan seluruh warganegara yang patriotik haruslah melibatkan diri dalam proses untuk membersihkan negara daripada kehinaan tersebut dengan menyingkirkan daripada sistem dan jabatan mereka yang bertanggungjawab ke atas kehinaan tersebut, tidak kiralah tinggi mana pun pangkat mereka.

Bukan menjadi pilihan untuk Parlimen dan negara terus berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa ke atas penghinaan terhadap Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global, kerana membisu dan tidak berbuat apa-apa, apatah lagi menerima sahaja gelaran itu menjerumuskan kita semua di mata komuniti dunia sebagai rakyat sebuah negara yang ditadbir Pencuri Perompak dan Penyamun.

Ini sebabnya kenapa saya terkejut bahawa ucapan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang berlanjutan selama hampir dua jam, langsung tidak berusaha untuk menolak penghinaan kelptokrasi global itu. Malah lebih mengejutkan, Najib bercakap tentang segala sesuatu, malah menjadikan ucapan belanjawan yang begitu serius menjadi ucapan provokatif ala Trump, tetapi langsung tidak menyebut walau sepatah pun mengenai komitmen negara membanteras rasuah.

Saya begitu terkejut bahawa sejak hari pertama daripada sidang Belanjawan 25 hari ini, Ahli-ahli Yang Berhormat tidak dibenarkan bertanyakan soalan tentang saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) di bawah Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) untuk menyita harta terkait 1MDB berjumlah lebih US$ 1 bilion di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland akibat kecurian dan pengubahan wang haram dana 1MDB sebanyak lebih US$ 3 bilion.

Ini sebabnya kenapa saya memboikot Sesi Soalan Menteri, yang diperkenalkan dalam sidang kali ini sebagai satu langkah penambahbaikan Parlimen bagi menjadikan Parlimen Malaysia lebih relevan - kerana bagaimana Parlimen Malaysia boleh mendakwa ia telah memajukan diri daripada menjadi Parlimen Dunia Ketiga menjadi Parlimen Dunia Pertama, apabila untuk tiga sesi soalan menteri dalam dua minggu pertama Parlimen kali ini, soalan saya kepada Perdana Menteri tentang apa langkah kerajaan untuk menafikan penghinaan terhadap negara sebagai kleptokrasi global telah ditolak oleh Speaker.

Mesejnya nampak jelas, bahawa boleh ada cakap-cakap tentang penambahbaikan dan transformasi selagimana isu pokok kleptokrasi dan pentadbiran yang tidak demokratik tidak ditangani. Ertinya reformasi parlimen hanya kulit, sedangkan intipati sebenar pentadbiran yang tidak demokratik tidak ditangani.

Saya katakan bahwa Parlimen Malaysia telah menjadi satu keaiban, kerana setelah dua minggu bersidang, ia tidak bersedia untuk melakukan apa-apa bagi membersihkan negara daripada penghinaan sebagai sebuah kleptokrasi global.

Adakah sebarang cahaya di hujung jalan, bagi membersihkan negara daripada penghinaan sebagai sebuah kleptokrasi global akibat skandal kewangan mega 1MDB pada skala global, saman sibil DOJ terhadap harta terkait 1MDB bernilai US$ 1 bilion di bawah KARI dan siasatan serta tindakan oleh pihak-pihak berkuasa di Switzerland, Singapura, Abu Dhabi, Australia, Luxembourg, Hong Kong dan United Kingdom terhadap skandal 1MDB?

Atau adakah tiada jalan untuk isu-isu integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam skandal mega 1MDB dibedah oleh Parlimen Malaysia bagi mendapatkan jawatan dan akauntabiliti oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri-menterinya? Adakah jawapan-jawapan ini hanya mungkin didapatkan sekiranya berlaku perubahan dalam Kerajaan Persekutuan dalam Pilihanraya Umum ke-14?

Reaksi rasmi terhadap ucapan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Parlimen bertanyakan soalan tentang skandal mega 1MDB bukanlah sebab untuk kita mempercayai bahawa kerajaan UMNO/BN bersedia untuk membiarkan Parlimen menyiasat skandal 1MDB.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa teleh menolak mentah-mentah ucapan Husni dan berkata bahawa bekas Menteri Kewangan II itu langsung tidak mengatakan apa-apa perkara baharu dalam siri soalannya berkaitan skandal 1MDB.

Saya amat terkejut dengan komen Annuar kerana saya telah mengikuti kisah menyayat hati skandal 1MDB sejak sepanjang tujuh tahun lalu, dan setakat yang saya tahu, inilah kali pertama Husni telah meluahkan kebimbangannya tentang skandal kewangan mega global 1MDB di khalayak umum.

Amaran Husni bahawa Malaysia mungkin akan terus dihantui skandal 1MDB dan soalannya berkaitan masalah 1MDB yang berpunca daripada kehilangan US$ 4 bilion dalam Aabar (BVI), saman arbitrasi US$6.5 bilion dengan syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi serta pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC bukanlah rahsia, walaupun baru pertama kali dibangkitkan oleh Husni dalam forum awam sebegini.

Adakah Annuar mencadangkan bahawa Husni telah memberi amaran sedemikian dan telah membangkitkan persoalan mengenai skandal 1MDB ketika berada dalam kerajaan atau UMNO sebelum meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan II?

Apa yang lebih mengejutkan ialah pendedahan Husni dalam ucapannya di Parlimen bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang paling setia dan profesional, dengan KPI yang paling baik dalam kalangan menteri, beliau telah difitnah dan diserang oleh cybertrooper UMNO di media sosial, selepas beliau meninggalkan Kabinet.

Nasib yang sama turut menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Saya juga amat terperanjat apabila Speaker, Tan Seri Pandikar Amin Mulia menyebut pada Khamis lalu bahawa bekas menteri Muhyiddin, Shafie dan Husni mungkin telah memungkiri sumpah simpan rahsia Kabinet ketika membahaskan Belanjawan 2017 di Parlimen.

Saya tidak tahu bagaimana untuk menanggapi komen Pandikar ini kerana ia merendahkan persepsi umum dan imej integriti serta kebebasan Speaker daripada cabang Eksekutif apabila beliau mencadangkan bahawa tiga bekas menteri kabinet ini telah memungkiri ikrar simpan rahsia mereka dalam ucapan di Parlimen, dan lagi, beliau nampaknya turut mencadangkan kepada pihak Eksekutif dan juga terutamanya kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan terhadap tiga bekas menteri kabinet ini di bawah Akta Rahsia Rasmi atau apa-apa undang-undang laim untuk apa yang diandaikan sebagai kesalahan yang telah dilakukkan oleh bekas-bekas menteri ini dalam ucapan mereka di Parlimen.

Pandikar sebagai Speaker seharusnya sedar tentang kepentingan doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman, serta tanggungjawab khasnya sebagai Speaker Parlimen untuk membela kebebasan dan integriti Parlimen daripada diserap atau dilanggar oleh pihak Eksekutif.

Mana ada di dunia ini boleh kita temukan Speaker Parlimen yang mencadangkan kepada Eksekutif untuk mendakwa Ahli-ahli Parlimen yang merupakan bekas menteri kabinet lantaran ucapan mereka di Parlimen kerana melanggar sumpah rahsia Kabinet?

Muhyiddin, Shafie dan Husni semuanya dilindungi keistimewaan Parlimen untuk apa yang mereka sebutkan di Parlimen, kecuali dalam kes-kes spesifik membabitkan pelanggaran Akta Hasutan yang melibatkan empat isu sensitif seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan - yang langsung tidak dilakukan oleh ketiga-tiga orang itu.

Malah sebenarnya Speaker sepatutnya membela tiga bekas menteri ini atas apa yang mereka ucapkan di Parlimen sekiranya pihak Eksekutif mahu memulakan prosiding jenayah ke atas mereka, seperti yang pastinya akan secara tradisinya dilakukan oleh mana-mana Speaker di lain-lain Parlimen.

Kenapa Pandikar melanggar tradisi Parlimen dengan terus mencadangkan supaya Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bertindak ke atas tiga bekas menteri kabinet ini? Malah sekiranya salah seorang mereka melanggar hak istimewa Parlimen, adalah menjadi tugas Speaker atau Timbalan Speaker untuk menghalang Ahli Parlimen tersebut daripada berbuat demikian. Jika tidak, kerusi Speaker lah yang akan bersalah kerana pengabaian tanggungjawab sekiranya tidak menghentikan seorang Ahli Parlimen daripada menyalahgunakan keistimewaan Parlimen.

Tidak sekali pun dalam tiga keadaan ini, Pengerusi memberhentikan mana-mana seorang bekas menteri daripada bercakap ekoran risiko melanggar keistimewaan Parlimen. Dan adalah memeranjatkan apabila Speaker pula yang beriya-iya mendakwa tiga bekas menteri ini mungkin telah melanggar undang-undang dalam ucapan mereka di Parlimen.

Ini adalah sesuatu yang sangat tidak patut dan suatu perilaku yang langsung tidak sesuai untuk Speaker Malaysia!

Telah dilaporkan bahawa Husni telah dipanggil oleh pihak polis lewat hari ini ekoran ucapan Parlimennya berkenaan skandal 1MDB, yang menjadi tajuk komen Speaker bahawa Husni telah melanggar undang-undang, yang kemudiannya membuatkan para juak-juak UMNO untuk membuat laporan polis terhadap Husni.

Husni wajar menarik perhatian pihak polis yang ditugaskan menyiasatnya kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, dan memberi amaran kepada pegawai polis itu bahawa ia mungkin bersalah menghina Parlimen dan boleh dihukum mengikut Klausa 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang melindungi Ahli-ahli Parlimen daripada halangan melibatkan tindakannya di dalam Dewan Rakyat, termasuk ucapannya ketika perbahasan Belanjawan, kecuali jika ia telah kehilangan keistimewaan itu di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Hasutan kerana mempersoalkan satu daripada empat isu sensitif, yang tidak terpakai dalam keadaan ini.

Pihak polis pernah melancarkan siasatan ke atas saya ekoran apa yang saya ucapkan di Parlimen, yang tidak ada kaitan dengan mana-mana empat perkara sensitif yang menghilang keistimewaan Ahli Parlimen. Tetapi apabila saya maklumkan kepada pegawai polis yang datang berjumla dengan saya bahawa beliau sedang menghina Parlimen dengan menghalang seoran Ahli Parlimen daripada menjalankan tanggungjawbanya dan menarik perhatian beliau kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memintanya supaya kembali meminta nasihat pegawai atasan dan Jabatan Peguam Negara, pegawai tersebut berundur dan tidak kembali lagi.

Sekiranya pihak polis menyiasat Husni untuk ucapannya di Parlimen disebabkan laporan polis ke atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi, Parlimen harus bersidang menentang tindakan penghinaan oleh pihak polis demi memelihara hak dan keistimewaan Ahli Parlimen.

Dalam pertembungan antara Parlimen dan Polis dalam hal keistimewaan dan penghinaan terhadap Parlimen, Speaker mesti melepaskan haknya untuk duduk di kerusi Pengrusi dalam mana-mana prosiding Parlimen yang berlanjutan dariinya, kerana Speaker mungkin menjadi berat sebelah ekoran kenyataannya dalam sidang media Khamis lalu.

Adakah kita mempunyai Ahli-ahli Parlimen BN yang cukup patriotik untuk maju ke depan dan berganding tangan bersama Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang patriotik untuk menyelamatkan Malaysia daripada penghinaan sebagai sebuah kleptokrasi global?

Saya berada di Keningau Sabah pada hujung minggu lalu di mana saya merasmikan majlis pecah tanah untuk projek air Impian Sabah di daerah Bunga Raya Keningau.

Saya menerima dua kejutan.

Pertama, 20km dari Keningau, pekan kelima terbesar di Sabah yang selama empat dekad lalu telah menjadi kawasan pemimpin PBS, yang telah pernah menjadi Ketua Menteri atau Timbalan Ketua Menteri Sabah; ada kampung yang tidak mempunyai bekalan air bersih pada tahun 2016.

Kedua adalah fikiran tentang apa yang boleh dicapai untuk pedalaman Sabah sepanjang setengah abad yang lalu, sekiranya negeri tersebut mempunyai urustadbir yang baik berbanding ‘belalang-belalang politik’ sepanjang lima dekad lalu.

Projek air Keningau oleh Impian Sabah adalah projek air paling mahal setakat ini, memakan belanja RM250 ribu untuk membina sistem air graviti untuk membawa air bersih ke lima buah kampung, yang akan memberi manfaat kepada 300 buah rumah atau 1,500 orang.

Jika 60 peratus daripada RM3.3 bilion - atau sekitar RM2 bilion - yang diperuntukkan untuk projek infrastruktur air luar bandar tidak dicuri akibat rasuah dan kleptokrasi, ia boleh membiayai 8,000 projek seperti projek air Impian Sabah di Keningau, menyediakan sistem paip air graviti ke rumah-rumah di pedalaman bagi manfaat 12 juta orang, i.e. 8000 x 1500 orang (empat kali ganda populasi Sabah sekarang).

Tidak ada sebab langsung kenapa hampir setiap isirumah di pedalaman Sabah tidak dapat diberikan kemudahan air bersih, bukan sahaja pada 2016 tetapi sekitar dua puluh tahun lalu, sekiranya tidak terjadi rasuah dan kleptokrasi di negeri tersebut.

Skandal RM3.3 bilion Jabatan Air Sabah, di mana 60 peratus daripada peruntukan RM3.3 bilion daripada Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk memperbaiki bekalan air bersih dan terawat di negeri itu, telah dicuri ke poket-poket peribadi beberapa orang perasuah, adalah contoh terbaru untuk menunjukkan bagaimana selama separuh abad, Sabah telah menjadi antara negeri paling miskin di Malaysia walaupun mempunyai kekayaan sumber asli.

Dalam masa separuh abad, Sabah telah menjadi negeri dengan jurang-jurang yang amat ketara - negeri termiskin, dengan keadaan sosio-ekonomi rakyat miskin yang lebih buruk daripada Kelantan, namun merupakan negeri paling kleptokratik dengan ahli politik paling kaya dalam negara.

Saya tertarik dengan kenyataan bakal presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili bahawa PBS akan berjuang untuk syarat-syarat yang terabai dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan PBS akan menaja usul bersama Sarawak untuk mengembalikan syarat-syarat yang hilang daripada perjanjian tersebut.

Apa yang menariknya ialah pemimpin PBS itu, yang merupakan seorang Menteri Kabinet Persekutuan, langsung tidak mampu menyenaraikan apakah syarat-syarat yang hilang daripada Perjanjian Malaysia 1963 itu, mahupun membahaskan perkara tersebut di Parlimen.

Selama lebih empat dekad, Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak telah diambil mudah oleh Kerajaan Persekutuan UMNO-BN, dilayan sebagai perca untuk mencukupkan bilangan bagi memastikan hegemoni UMNO berlanjutan dalam Kerajaan Persekutuan namun tidak sangat penting, memandangkan koalisi pemerintah itu sentiasa menang dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Lanskap politik dan persamaan elektoral telah ebrubah sejak pilihanraya umum ke-12 pada thaun 2008, apabila koalisi persekutuan UMNO-BN kehilangan dua pertiga majoriti buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Namun 57 kerusi di Sabah dan Sarawak menjadi begitu penting hanya pada PRU ke13 pada 2013 apabila 47 Ahli Parlimen BN menyelamatkan UMNO-BN dengan tidak berpihak kepada pembangkang.

Ini kerana koalisi UMNO-BN hanya menang 86 kerusi Parlimen di Semenanjung, tidak mencukupi untuk membentuk majoriti mudah daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan di Putrajaya.

Hanya dengan 47 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO-BN di Sabah dan Sarawak maka Datuk Seri Najib Razak dapat terus menjadi Perdana Menteri dengan 133 kerusi, walaupun sebagai Perdana Menteri minoriti pertama di Malaysia, memandangkan koalisi UMNO-BN hanya memenangi 47% undi popular daripada jumlah populasi yang keluar mengundi.

47 Ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak adalah justeru merupakan ‘kingmakers’ kepada kerajaan persekutuan UMNO-BN selepas PRU ke 13, namun malangnya mereka setakat ini telah gagal untuk menggunakan pengaruh, peranan dan input terhadap halatuju dasar negara dan pembangunan.

Tanpa sokongan 47 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak, Kerajaan Persekutuan Najib di Putrajaya akan gagal dan runtuh.

Saya menyeru 47 Ahli Parlimen BN ini untuk memainkan peranan mereka sebagai ‘kingmakers’ kerajaan Najib dengan melaksanakan tiga tanggungjawab penting bagi mempertahankan asas sekular pembinaan negara Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 serta menyelamatkan Malaysia daripada nasib malang sebuah kleptokrasi global.

Pertama, 47 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak harus menyatakan dengan jelas kepada Najib bahawa mereka akan menarikbalik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan, lantas menyebabkan ia runtuh, sekiranya Najib tidak bersedia untuk memberi jaminan bahawa konsensus BN yang negara Islam dan undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan serta tidak sesuai untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia, dikekalkan. Ini bermakna komitmen jelas bahawa Kerajaan Persekutuan BN tidak akan menyokong Rang Undang-undang Persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

Kedua, 47 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak ini mesti mendesak supaya Kerajaan Persekutuan Najib mengambil semua langkah perlu untuk megembalikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak, sesuai dengan semangat Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Inter-Government dan Perjanjian Malaysia 1963.

Ketiga, 47 Ahli Parlimen BN ini mesti memberi mesej jelas kepada Najib bahawa penghinaan terhadap Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global - negara yang ditadbir pencuri dan penyamun - mesti disangkal dan dijawab, atau dibersih, supaya rakyat Malaysia tidak menanggung malu, dan boleh berasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila mereka merantau dan melancong ke luar negara, dan tidak dilihat sebagai rakyat yang datang dari negara yang ditadbir perompak dan pencuri.

47 orang Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak harus menyatakan dengan jelas kepada Najib bahawa tiga tuntutan ini tidak boleh dikompromi, kerana ia berkaitan asas, integriti dan nama baik Malaysia, serta pembinaan negara Malaysia, dan sekiranya Perdana Menteri dan Kabinetnya tidak komited kepada tiga perkara ini, 47 Ahli Parlimen BN ini mesti menarikbalik sokongan mereka kepada kerajaan Najib, demi kepentingan negara.

Adakah 47 orang Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak ini, yang telah diletakkan sebagai ‘kingmaker’ bersejarah di persimpangan penting sejarah Malaysia, akan dapat melaksanakan tugas kepada negara, yang pastinya akan membawa kesan besar dan panjang kepada generasi Malaysia akan datang?

Lim Kit Siang ialah ahli Parlimen Gelang Patah 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa