Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Saturday, November 5, 2016

Pertemuan Muhyiddin - Hadi: Jangan Muhyiddin terbelit sudahlah!

Friday, 4 November 2016
HADI BERTEMU MUHYIDDIN 8 NOVEMBER

Beberapa jam setelah Hadi Awang mengeluarkan kenyataan pada 2 November lalu bahawa Pas kini terbuka kepada perundingan satu lawan satu dengan parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, ia segera mendapat reaksi positif daripada PPBM.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pas dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.

Pas telah menyatakan persetujuan ke arah itu serta tarikh pertemuan juga sudah ditetapkan, kata Muhyiddin lagi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin juga memberitahu, PPBM turut dijemput menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam tempoh terdekat ini.
Pada tarikh 2 November itu juga adalah hari PPBM mengumumkan barisan pimpinan tertingginya dan mengadakan mesyuarat khas buat kali pertama di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Difahamkan, dalam mesyuarat itu Muhyiddin telah memaklumkan keinginan Hadi untuk mengadakan perbincangan bagi tujuan kerjasama dan tarikh yang telah ditetapkan untuk beliau bertemu Presiden Pas itu ialah pada 8 November ini.

Dalam mesyuarat itu juga diputuskan bahawa pada pertemuan pertama ini ia hanya perlu melibatkan Muhyiddin dengan Hadi saja, kemudian baru disusuli dengan perbincangan yang mungkin melibatkan antara lapan hingga sepuluh pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Ternampak bahawa sebelum Hadi mengeluarkan kenyataan "sudah lama membuka pintu untuk satu lawan satu", parti itu turut mengorak langkah yang seiring ke arah perbincangan dan perundingan.

Mungkin selepas ini Pas akan turut mengadakan perbincangan dengan PKR dengan tujuan yang sama. Walaupun terlihat sukar untuk Pas mengadakan perundingan dengan Amanah dan seperti menutup pintu untuk berbincang dengan DAP, jalinan kerjasama dengan PPBM dan PKR sekurang-kurangnya sudah memadai untuk merealisasikan formula satu lawan satu.

Ini kerana Pas tidak mungkin bertembung dengan DAP kerana kedua-duanya bertanding di kawasan yang berbeza. DAP tidak mengacau kerusi Pas selama ini dan sekiranya Pas setuju tidak mengganggu kerusi DAP, masalah kedua-duanya boleh dianggap selesai meskipun tidak mahu bertemu dan berunding.

Kalau pun barangkali timbul masalah ialah kerusi untuk Amanah, tetapi dengan Amanah merupakan komponen Pakatan Harapan, jalan tengah masih boleh diusahakan.

Sekali lagi, moga-moga Pas kekal istiqamah dan tidak berubah-ubah. Diharapkan juga tiada lagi kenyataan-kenyataan seperti "Pas ingin menjadi kuasa ketiga dalam negara", "Pas mahu bertanding di kerusi-kerusi DAP" atau "Pas menolak untuk bekerjasama bagi menjatuhkan Najib dan kerajaan".

Pertemuan awal Muhyiddin dengan Hadi pada 8 November ini amat dinanti-nantikan dan semoga memberi hasil yang positif dan membanggakan. (SH 04/11/2016).

2 comments:

  1. Hadi adalah org terakhir utk dipercayai..........mengikut track record.

    ReplyDelete
  2. Siap sedia utk dipermainkan oleh hj hadi.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa