Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, May 15, 2015

Bahana berpakat dengan 'parti jahat': Pengajaran untuk siapa?

Korang pikirlah pengajaran ini sesuai untuk parti mana di sini

Pengajaran pilihanraya UK: Mengapakah pembantu pemandunya disingkir? 
01:30PM Mei 14 2015
oleh Tan Wah Piow

PENDAPAT: Parti yang kalah paling besar dalam pilihan raya umum 2015 United Kingdom adalah Parti Demokratik Liberal. Mereka menyertai kerajaan campuran dengan Parti Konservatif selepas pilihan raya 2010, dan pemimpinnya Nick Clegg, dilantik sebagai timbalan perdana menteri, manakala beberapa pemimpin kanan mereka diberi jawatan menteri.
Liberal Demokrat menikmati perhatian dalam lima tahun yang lalu. Semasa kempen pilihan raya 2015, mereka mendakwa telah membuat 'hati' golongan Konservatif mempunyai rasa kasih sayang.
Konservatif, yang dilihat sebagai sebuah parti golongan yang bernasib baik dan mewah, pernah disifatkan oleh pengerusinya sendiri sebagai dilihat secara umum sebagai "parti jahat". Sebagai pembantu pemandu, Liberal Demokrat mungkin boleh mendakwa telah membendung beberapa pemotongan perbelanjaan keterlaluan, dan membantu mengekalkan Akta Hak Asasi Manusia.
Dalam perjalanan kempen pilihan raya, semua undian pendapat telah mendakwa bahawa kedua-dua parti politik utama, Parti Konservatif mahupun pembangkangnya Parti Buruh, tidak boleh memenangi lebih daripada 325 kerusi daripada keseluruhan 650 kerusi untuk membentuk kerajaan. ‘Kepastian’ Parlimen tergantung ini menaikkan semangat Nick Clegg, menggalakkan beliau untuk mengulangi mantera bahawa dengan mengundi Liberal Demokrat, pengundi akan meniupkan rasa kasih sayang dalam parti Konservatif, atau 'akal' dalam Kerajaan Buruh. Dalam erti kata lain, Clegg gembira untuk ‘masuk beradu’ dengan salah satu daripada dua pesaing utama ini. Dengan 57 kerusi yang mereka miliki di Parlimen, Demokrat Liberal berpendapat bahawa apa sahaja keputusannya, mereka masih kekal sebagai sekutu pilihan dalam Parlimen tergantung, dan terus menikmati mendapat jawatan.
Parti Liberal Demokrat memasuki pakatan itu sebagai parti 'tengah-kiri' pada tahun 2010, tetapi selepas lima tahun bekerjasama dengan puak Konservatif, mereka kehilangan identiti mereka, dan dijangkiti 'toksik' jenama Konservatif. Mantera 'hati' dan 'otak' kedengaran mengambil kesempatan. Ramai pengundi muda yang sebelum ini menyokong Demokrat Liberal pada tahun 2010, tidak dapat memaafkan parti itu kerana melanggar ikrar pilihan raya mereka untuk tidak meningkatkan yuran pengajian universiti. Mereka, sebagai rakan pakatan, dipersalahkan kerana kenaikan tiga kali ganda yuran pengajian pada tahun 2012. Tetapi dengan harapan Parlimen tergantung yang palsu, kritikan itu tidak dilihat begitu menggusarkan Clegg.
Oleh itu adalah mengejutkan apabila 15% daripada penyokong mereka meninggalkan mereka di peti undi. Daripada 57 ahli parlimen pada tahun 2010, mereka kini hanya ada cukup ahli parlimen "untuk dimuatkan ke dalam dua buah teksi", seperti yang diulas oleh wartawan BBC pada malam pilihan raya. Ditinggalkan dengan hanya lapan orang ahli parlimen, keputusan ini digambarkan oleh Nick Clegg, dengan mata yang bergenang, sebagai "kekalahan yang paling buruk" dalam sejarah partinya.
Salah satu masalah sebagai ‘pemandu muda’ adalah dakwaan Demokrat Liberal kepada mana-mana dasar kerajaan yang berjaya akan diragui; manakala sebagai sebuah ahli komponen, parti itu dipersalahkan, terutamanya oleh penyokong mereka sendiri, kerana menyokong dasar-dasar yang tidak popular. Percubaan untuk menjauhkan parti itu dari bertanggungjawab ke atas dasar-dasar yang tidak popular, seperti yang berlaku semasa pilihan raya, telah dipandang sinis.
Bagi menyembuhkan luka ini, sehabis baik yang Nick Clegg boleh lakukan dalam tempoh beberapa jam selepas kekalahan itu, adalah menawarkan perletakkan jawatannya sebagai pemimpin parti itu. Beliau menegaskan bahawa keputusan asal untuk berpakat dengan ‘parti jahat’ itu adalah berkorban demi 'kepentingan awam'. Setelah berkhidmat dengan taat kepada parti Konservatif dalam gabungan itu, penjelasan tadi bahkan ditolak mentah-mentah oleh seorang pengulas pro-Konservatif yang berkata "Demokrat Liberal sepatutnya berkeras untuk...perjanjian, menyokong Konservatif pada asas undi demi undi. Sebaliknya, mereka terpaut dengan jawatan dalam pakatan dengan sebuah parti yang mereka tidak miliki apa-apa titik persetujuan."
Ada pelajaran penting di sini bagi mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menyertai pakatan dengan parti "jahat", yang dasar-dasarnya dibangkang penyokong mereka sendiri. Mereka perlu mengambil iktibar daripada fakta kecil dalam Financial Times ini. "William Hague menceritakan sebuah kisah bagaimana, selepas sehari berunding bagi kerajaan campuran Konservatif-Liberal Demokrat pada tahun 2010, isterinya bertanya apa keputusannya. Beliau menjawab 'Saya rasa saya telah membunuh parti Liberal'.”
Dari segi ideologi, penyokong teras Demokrat Liberal adalah lebih dekat dengan parti Buruh daripada Konservatif. Jika pemimpin-pemimpin Buruh dan Liberal Demokrat telah menjangkakan keputusan pilihan raya dan akibat buruknya, dan jika mereka mempunyai keberanian untuk menjalin perikatan yang progresif dan mengetepikan sikap berpuak-puak mereka sebelum bermulanya kempen pilihan raya 2015, sebuah kerajaan majoriti Konservatif pasti dapat dielakkan.
Parti Konservatif telah menikmati keuntungan bersih sebanyak 24 kerusi Parlimen pada pilihan raya tahun 2015 ini, dengan itu memberikan mereka majoriti enam kerusi. Tetapi menerusi analisis undi sebenar terhadap parti Buruh dan Liberal Demokrat di 24 kawasan-kawasan pilihan raya mereka, dapat dilihat yang kemenangan Konservatif boleh dikurangkan kepada hanya satu kerusi jika adanya sebuah pakatan pilihan raya yang progresif di antara kedua-dua parti ini.
Malangnya, sudah terhantuk baru terngadah. Seperti yang dikatakan seorang orang kuat Liberal Demokrat, 50 tahun lagi akan diperlukan sebelum parti ini akan mendapat semula tempat dalam kerajaan.
Jadi, pemandu bersama yang bercita-cita tinggi, berhati-hatilah sebelum anda melompat ke dalam teksi, terutamanya apabila jurupandu arahnya menghala ke sebuah destinasi yang lain daripada destinasi anda.
Tan Wah Piow adalah seorang warga Singapura yang menetap di UK.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa