OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Published: 14 May 2015 12:53 PM
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tong Lai menunjukkan gambar penstabil helikopter yang masih hilang kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai laporan siasatan Eurocopter Dauphine AS365 N3 di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2015.
Kerosakan penstabil helikopter, yang terjatuh beberapa saat sebelum helikopter dinaiki Tan Sri Jamaluddin Jarjis terhempas berkemungkinan menjadi punca berlakunya nahas insiden helikopter tersebut, kata laporan siasatan.
Pengarah Operasi Penerbangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Yahaya Abdul Rahman berkata, hasil siasatan mendapati, penstabil bahagian kiri helikopter Eurocopter Dauphine AS365 NR-9MIGB itu juga masih belum ditemui sehingga hari ini.
"Penyiasat menemui penstabil helikopter sebelah kanan, namun kami belum menemui penstabil di bahagian kiri helikopter," katanya di Putrajaya hari ini.
Penstabil berkenaan dipercayai terbenam di dalam tanah, ketika helikopter tersebut mendarat di sebuah padang bola sepak di Muadzam Shah.
Siasatan juga mendapati kemungkinan penstabil tersebut terjatuh 5 saat sebelum helikopter berkenaan menjunam jatuh.
Hasil siasatan daripada perakam data juga mendapati, juruterbang pesawat menyuarakan kebimbangan mengenai kebocoran minyak sebelum berhenti di Muadzam.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini turut berkata, penstabil helikopter itu begitu penting kerana ia memberikan kestabilan ketika berada di udara.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati, ketika mendarat di padang bola sepak berkenaan, roda pendaratan kiri helikopter terbenam 20 inci ke dalam tanah dan helikopter condong 13 darjah ke kiri.
"Apabila helikopter mendarat, roda sebelah kiri terbenam dalam tanah, maka dia condong 13 darjah, dan ini menyebabkan keadaan itu memungkinkan bahagian ekor penstabil bawah dan sirip menegak mengalami kerosakan," kata Liow.
"Penstabil ini begitu penting untuk helikopter dapat terbang dengan stabil. Apabila mendarat dan roda terbenam selama 20 inci, ia disyaki mengalami kerosakan," katanya.
Selain Jamaluddin, nahas helikopter itu mengakibatkan 6 terbunuh, termasuk juruterbang apabila helikopter peribadi yang dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Subang itu terhempas di sebuah ladang getang Jalan Sungai Lalang dekat Kampung Sungai Pening di Semenyih, Kajang kira-kira jam 4.50 petang pada 4 April lalu.
Orang kenamaan (VIP) lain yang turut terkorban ialah Ketua Pegawai Eksekutif SP Baiduri Sdn Bhd Datuk Tan Huat Seang dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias.
Turut terbunuh juruterbang helikopter Kapten Clifford William Fournier, pembantu juruterbang Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.
Liow berkata, fakta yang berlaku sepanjang penerbangan itu adalah kemungkinan penstabil helikopter itu rosak dan menyebabkannya jatuh, dan helikopter ini menjunam turun.
"Buat masa ini kita masih teruskan siasatan, kita masih lagi mencari penstabil yang hilang," katanya.
Hasil siasatan juga mendapati, juruterbang helikopter tidak melakukan pemeriksaan meskipun menyedari gear pendaratan terbenam 20 inci ke dalam tanah.
Transkrip daripada rakaman kotak hitam yang disertakan bersama laporan awal siasatan nahas turut mendapati juruterbang bertanyakan kepada Aidana, wanita warga Kyrgystan berkenaan keadaan helikopter di bahagian kiri sebelum berlepas.
"Saksi melihat juruterbang keluar daripada helikopter ditemani penumpang yang keluar dari kawasan rotor.
"Bagaimanapun, dia tidak menjalankan pemeriksaan terhadap helikopter," kata laporan itu.
Yahaya berkata kepada pemberita, adalah menjadi "prosedur standard" untuk juruterbang melakukan pemeriksaan sekiranya helikopter berada dalam situasi tersebut.
Kementerian pengangkutan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. – 14 Mei, 2015.
Nipuuuu je kojenya....@
ReplyDeleteKes tutup yeop.....
Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.
ReplyDeletelemahnya manusia disisi Allah itu pun ada lagi yang nak belagak
Jika helikopter itu tidak jatuh terhempas, maka tiadalah ahli parlimen baru buat Rompin sekarang ini. Itu shj.
ReplyDelete