KJ, kamu dipihak mana?
Sikap yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaluddin menyebabkan ramai pihak tidak dapat menentukan pendirian sebenar Ketua Pemuda UMNO itu.
PETALING JAYA: Kenyataan tidak konsisten Khairy Jamaluddin dalam beberapa isu menunjukkan Menteri Belia dan Sukan itu mengutamakan survival politik berbanding aspirasi dan kepentingan anak muda.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendirian Khairy itu menyebabkan ramai pihak tidak dapat menentukan kedudukan politik Ketua Pemuda UMNO itu.
“Pada suatu ketika dia (Khairy) boleh dikatakan wira ulung bangsa, dan pada ketika yang lain dia merupakan suara keserdahanaan dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Nazmi turut mempersoalkan kerisauan Khairy terhadap isu-isu seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Dia (Khairy) sudah berulang kali menyatakan kerisauan dan meminta jawapan jelas terhadap isu-isu hangat. Tiba-tiba pada hari seterusnya dia menukar pendirian.
“Dan dalam pada masa yang sama, Khairy juga menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dibelenggu kemelut kepimpinan,” kata beliau lagi.
Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) itu berkata, masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda memerlukan pemimpin seperti Khairy.
“Khairy sepatutnya menyahut cabaran Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk meletak jawatan jika beliau tidak boleh menerima jawapan yang memuaskan berkenaan isu-isu 1MDB, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
“Khairy juga sepatutnya memaklumkan secara umum penerangan yang diberikan Perdana Menteri dan juga sebab-sebab mengapa dia tidak berpuas hati. Kegagalan untuk membuat demikian membuktikan bahawa anak muda Malaysia tidak mempunyai suara di Putrajaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa