Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, May 10, 2015

Isu transaksi Tabung Haji-1MDB: Rangkuman kenyataan

Rangkuman kutipan kenyataan isu transaksi Tabung Haji, 1MDB
Astro Awani |Kemas kini: Mei 10, 2015
(Diterbitkan pada: Mei 10, 2015 16:01 MYT)

Rangkuman kutipan kenyataan isu transaksi Tabung Haji, 1MDB
Kutipan kenyataan berkenaan isu transaksi Tabung Haji, 1MDB
Kemelut kontroversi berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai RM188.5 juta.

Kebimbangan rakyat turut dinyatakan sejak dokumen rahsia urus niaga tersebut didedahkan sebuah blog bertajuk 'The Benchmark'.

"Saya dah suruh pihak pengurusan Tabung Haji mengeluarkan kenyataan sebentar lagi. Mereka akan jawab nanti... biar mereka selesaikan dahulu," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut. - Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim

"Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," - Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah

"Kebocoran kertas cadangan tersebut tidak membuktikan bahawa cadangan pelaburan tersebut telah diluluskan.

"TH tidak pernah sama sekali membenarkan perbuatan mendedahkan maklumat sulit kerana ia bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995 dan polisi dalaman TH," - Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah

"Saya risau. Ini bukan isu politik kepartian. Saya bukan penyokong pembangkang. Tapi ia isu masa depan saya dan negara saya.

"Saya harap pemimpin utama negara ini dapat memberikan satu jawapan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat ini. Kasihanilah kami," tulis Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

"Ya, maaf di atas kesilapan komunikasi. Tidak benar mengenai RM722 juta untuk membeli dua bidang... itu yang saya nafikan," kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerusi laman mikro Twitternya. -

“Itu adalah amanah daripada orang-orang yang hendak melabur untuk pergi ke tanah suci Mekkah,” kata Hudori Muhamed, 42 yang telah pergi ke Umrah sebanyak dua kali.

"Kenapa urusan ini dilakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pencarum serta umum? Apa yang menghairankan Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Rahim juga mengaku tidak tahu sehingga terpaksa menafikannya dalam laman Twitternya pada Rabu". - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

“Kuasa untuk meluluskan pindahmilik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan iaitu di bawah tanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan serta Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Najib dan Tengku Adnan,” kata Rafizi Ramli dalam satu kenyataan kepada media.

“Setelah pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) mengesahkan dakwaan pembelian plot tanah Tun Razak Exchange (TRX), ini menunjukkan bahawa pihak 1MDB terpaksa menggunakan tabungan awam untuk menyelamatkan kegagalan kewangan 1MDB,” ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan media.

“Wang yang ditabung sejak penubuhan Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan Tabung Haji dan subsidi kepada bakal haji.

“Wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji,” ujar Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pembelian tersebut melibatkan integriti jawatankuasa pelaburan LTH dan ahli lembaganya, ataupun tindakan itu merupakan arahan daripada pihak tertentu.

“Pembelian itu dibuat ke atas sebuah lokasi utama, namun adakah perjanjian dibuat berdasarkan nilai pasaran semasa?” ujar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Pembelian tanah ini dikatakan sebagai pelaburan bagi Tabung Haji melalui proses penilaian yang wajar di setiap peringkat.

"Pemuda UMNO tidak menafikan keperluan Tabung Haji untuk membuat pelaburan.

"Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh Tabung Haji bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada para pendeposit Tabung Haji dalam bentuk dividen," kata kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Pemuda UMNO.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun transaksi jual beli itu sah dan berdasarkan kesediaan pembeli-kesediaan penjual, para penyimpan Tabung Haji melihatnya seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban 1MDB.

“Tindakan pemberi maklumat tidak bernama mendedahkan dokumen berkaitan pembelian tanah 1MDB  oleh TH yang nilainya mencecah RM188 juta seharusnya diberikan pujian dan penghormatan.

“Namun, pengumuman oleh Khalid bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan identiti pemberi maklumat dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) adalah mendukacitakan sedangkan keutamaan siasatan adalah mengenai urusniaga itu sendiri kerana ianya melibatkan dana pencarum simpanan TH,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa