TMI - Published: 16 July 2015 12:49 PM
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata pendedahan Datuk Abdul Rahman mengatakan beliau terlibat memalsukan dokumen 1MDB berniat jahat dan beliau sudah pun mengarahkan peguamnya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman berkenaan dakwaan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Julai, 2015.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menafikan pendedahan yang dibuat Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung penglibatannya memalsukan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama portal Sarawak Report.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendedahan itu berniat jahat dan beliau sudah pun mengarahkan peguamnya meneliti dengan tujuan mengambil tindakan saman terhadap Ramesh Rao dan individu lain dalam masa terdekat.
"Saya tidak pernah kenal Lester Melanyi atau berhubung dengan beliau. Kali pertama saya tahu kewujudan beliau adalah apabila Rahman mendedahkan mengenai laporan polis.
"Saya tidak pernah memberi arahan kepada Sarawak Report apatah lagi memberi bahan untuk disiarkan Sarawak Report.
"Saya tidak pernah berhubung atau berbincang dengan Clare Rewscastle-Brown, pengendali Sarawak Report mengenai 1MDB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata sepanjang kerjayanya hanya pernah bekerjasama dengan Sarawak Report dalam satu kes skandal pembalakan di Sabah yang melibatkan sogokan RM40 juta yang didakwa melibatkan Michael Chia dan pimpinan kanan Umno Sabah.
Rahman semalam pada satu sidang media mendakwa terdapat pemimpin parti pembangkang yang bekerjasama dengan Sarawak Report bagi memalsikan dokumen berkaitan 1MDB.
Katanya, kenyataan itu diperoleh hasil pengakuan bekas pengarang Sarawak Report Melanyi yang dibuat dalam satu rakaman video.
Bagaimanapun, Brown yang merupakan pengasas dan pengarang Sarawak Report menolak dakwaan Rahman sebaliknya berkata, pengarang yang menerbitkan video "pengakuan" berkenaan tidak bekerja di pejabat mereka di London.
Rafizi berkata, beliau yakin konspirasi yang dibangkitkan itu tidak akan berjaya kerana skandal 1MDB terlalu besar dan faktanya terlalu jelas untuk ditutup.
Katanya, Rahman dikenali sebagai penyokong kuat Datuk Seri Najib Razak dan seorang ahli politik junior yang kalah sebagai ketua Umno bahagian Kota Belud.
"Beliau sudah mendapat manfaat besar dari Najib sehingga dilantik menjadi menteri persekutuan.
"Sudah tentu beliau mempunyai kepentingan untuk mempertahankan Najib dengan apa cara sekalipun kerana jika ada perdana menteri baharu, besar kemungkinan beliau digugurkan dari Kabinet dan kerjaya politik beliau akan tamat," katanya. – 16 Julai, 2015.
Saman SAJA
ReplyDeleteDon't wait wait maa!!!!
ReplyDelete