Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, October 29, 2016

Bagaimana pembalakan perkosa hutan Orang asli di Kelantan

Zulaikha Zulkifli   Hari ini, 29 Okt. 16 1:39 tengahari
 
 
 
 
LAPORAN KHAS l Menyedihkan. Itu perkataan yang terlintas ketika memasuki kawasan pembalakan di hutan simpan kekal (HSK) Gua Musang, Kelantan.

Di sebalik jaminan kerajaan negeri pimpinan PAS bahawa pembalakan di Kelantan adalah terkawal, hakikat sebaliknya nyata berbeza sama sekali.


Malaysiakini menyertai sekumpulan NGO awal bulan ini, meredah perjalanan kira-kira 520 kilometer, selama dua hari untuk melihat sendiri kesan pembalakan yang ditentang aktivis dan Orang Asli setempat.

Jauh di kawasan yang hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda, di sebalik keheningan belantara tebal, siapa sangka kemarahan Orang Asli meluap-luap.

Walaupun kerja-kerja pembalakan itu mendapat lesen kerajaan negeri, ia ditentang masyarakat Temiar yang telah turun temurun menetap di kawasan hutan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Ketika pembalakan di Kelantan turut berlaku di tempat lain, seperti di HSK Ulu Sat, Machang, penentangan suku Temiar kembali mendapat perhatian meluas setelah mereka nekad menghalang pembalak daripada memasuki perkampungan mereka.


Tinjauan Malaysiakini di Rondong, dalam Pos Gob, hutan simpan Kuala Balah – kira-kira tiga jam dari Gua Musang melalui off road– misalnya mendapati kemungkinan berlaku perlanggaran syarat Jabatan Perhutanan.

Pembalakan yang masih aktif itu menyaksikan penebangan berlaku dalam lingkungan 50 meter daripada Sungai Poyan.

'Ikan pun dah tak ada'

Pokok-pokok yang telah ditebang juga dilonggokkan di satu kawasan dan masih 'tidak disentuh'.
Kesan-kesan tebangan pokok juga jelas kelihatan di kawasan berkenaan.


Sedangkan, membalak di dalam rizab sungai adalah satu kesalahan mengikut Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

EIA adalah kaedah mengenal pasti dan meramal kesan sesebuah projek pembangunan terhadap persekitaran, kesihatan manusia, sosial dan ekonomi.

Orang Asli mendakwa “pembalakan melampau” menyebabkan sumber air bagi lebih 20 buah kampung di hutan berkenaan terjejas.

"Herba-herba ubatan tradisional ialah mata pencarian kami.

“Ikan pun dah tak ada sekarang di sungai,” kata Yusman Andok, 35 seorang penduduk di Pos Gob.


Bagaimanapun, bagi Yusman, tempat tinggal mereka itu bukan sekadar tempat berteduh tetapi lebih daripada itu bagi masyarakat setempat.

“Sebab tanah ini nenek moyang. Kami sudah puja gunung-gunung, ini tanah keramat,” kata Yusman, merujuk kepada amalan animisme masyarakatnya.

Bangkai gajah

Di kawasan Rondong juga, pembalakan 'halal' yang dijalankan turut didakwa memusnahkan kawasan perkuburan Orang Asli.

Mereka memberitahu, lokasi yang digondol itu sebelum ini adalah kawasan perkuburan.

Kini, kawasan itu umpama padang jarak padang tekukur apabila pokok-pokok licin ditebas.

Yang tinggal hanyalah, papan tanda bertulis “Tempat kubur Adik A/L Tengah. Kemusnahan syarikat pembalakan. Ayah - Tony bin Adik. Kawasan Rondong.”

Papan tanda itu dipercayai sebagai penanda bagi menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan tanah perkuburan bagi dua individu berkenaan memandangkan tiada penanda atau batu nisan yang kelihatan di tempat tersebut.

"Bila balak masuk, kita hilang sumber air bersih, kubur ditolak. Hilang sumber pendapatan.


“Ini tak ada kaitan dengan siapa-siapa tapi Orang Asli sendiri,” kata Mustafa Along, yang mengetuai kumpulan Orang Asli yang membuat sekatan di Pos Tohoi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Jabatan Perhutanan negeri Kelantan berikutan kejadian di kawasan-kawasan berkaitan.

Penduduk setempat juga membawa Malaysiakini, rakan media lain serta NGO meninjau bagaimana pembalakan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi juga habitat haiwan liar.

Antara ditunjukkan adalah bangkai gajah dewasa yang telah reput dan berulat yang ditemui di belukar berhampiran Pos Bering.

Adalah dipercayai gajah itu dibunuh untuk gadingnya. Ini berdasarkan penemuan lima kelongsong peluru berdekatan bangkai mamalia yang terancam itu.

Gajah malang itu dipercayai ditembak mati dua minggu sebelum lawatan dibuat dua minggu lalu.

Kematian gajah itu terus menjadi misteri tentang siapa yang membunuhnya memandangkan ia bukan senjata yang digunakan oleh Orang Asli.

Kata pepatah Melayu, ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’ - apakah ini membuktikan tidak ada pihak yang prihatin dengan masalah Orang Asli ini dan juga usaha memelihara ekosistem di kawasan hutan simpan kekal semata-mata untuk mendapatkan hasil balak yang lumayan?

1 comment:

  1. Mmg teruk pembalakan dikelantan hinggakan banjir melanda p pinang!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa