Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 23, 2016

Impian Kelantan belum selesai

Perjuangan Impian Kelantan belum selesai
22 Oktober 2016 oleh Fatih Hassan Nordin
‘Bah Kuning’ yang menerpa masuk ke dalam sejarah terburuk Kelantan lewat dua tahun lalu tanpa ketukan amaran telah menjadi semacam gelanggang untuk ahli-ahli politik bersilat lidah dan menunding jari antara satu sama lain – hampir sepanjang tempoh ketika kerja-kerja pemulihan infrastruktur masih diusahakan.

Malah geran bernilai RM20 juta yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada 1,000 penyelidik bagi tujuan menjalankan kajian pasca banjir itu mencapai kata putus yang sama, tanpa sedikit pun menyentuh faktor lain sebagai punca menyumbang kepada terjadinya banjir terburuk dalam sejarah negara itu.

Namun, pihak yang benar-benar mengamati permasalahan berkenaan, sama ada dari luar dan dalam percaya aktiviti pembalakan yang beroperasi sejak beberapa dekad yang lalu, telah menyumbang kepada banjir besar yang telah menenggelamkan dan melumpuhkan sebahagian besar kawasan-kawasan utama di negeri itu.

Ia diakui dengan mata kasar kita sendiri apabila lumpur kuning menyerbak dan terpalit di mana-mana, yang diimani pelbagai pihak berlaku akibat pembalakan rakus dan tidak terurus pemerintah negeri.

Sedang rakyat berendam air mata, meratapi kehilangan harta benda, keluarga tercinta dan kenangan yang pernah tersemat di tangga rumah, lidah ahli politik nampaknya tidak mampu untuk menampung beban yang sedia dipikul mangsa-mangsa banjir.

Sebaliknya, kelompok akar umbi, yang sedia bekerja dan bebas dari tatanan politik lebih cekap mengisi kelompongan yang ditinggalkan ahli-ahli politik tertentu yang ketika itu masih berdiri dan bermain di atas kayangan dan membumi di Amerika Syarikat menikmati terjahan bola glof bersama Barack Obama.

Pada Januari 2015, Impian Kelantan pun ditubuhkan atas usaha murni untuk mengembalikan semangat rakyat yang tercalar dek keabsurbdan alam dan percaturan salah pemimpin.

Dan penyelarasnya, Young Syefura atau lebih mesra dipanggil Rara menceritakan kisah yang meruntun jiwa berkisar seputar kehidupan yang dilalui mangsa.

“Selepas banjir besar mulai surut dan apabila hujan turun semula dengan lebat, anak-anak kampung memang sangat trauma, mereka menangis di waktu malam.

“Saya sendiri mengalami pengalaman tersebut apabila saya tidur bersama anak-anak kampung di asrama Sekolah Rendah Pasir Tumbuh. Mereka memang sangat takut. Mereka menangis dan mereka rasa perkara yang sama akan berlaku lagi.

“Saya rasa amat sedih dan juga kasihan kepada mereka kerana mereka masih anak-anak kecil yang berusia dalam lingkungan tujuh dan lapan tahun, tetapi terpaksa mengalami pengalaman yang sangat dahsyat.

“Apabila kita mendengar cerita-cerita penduduk kampung, kalau kita berada di tempat itu pun kita tak tahu apa nasib kita. Kerana mereka bercerita bagaimana mereka perlu meredah hutan pada waktu malam, tidur di dalam hutan di dalam ladang getah. Yang paling kasihan sekali pada ibu yang baru lepas melahirkan anak.

“Kerana nak larikan diri daripada banjir dari air yang sedang naik itu, mereka terpaksa melarikan diri ke dalam hutan dan perlu bawa anak yang baru dilahirkan, ini antara pengalaman yang mereka hadapi sewaktu itu” katanya.

Kampung Pasir Tumbuh yang terletak di Gua Musang, iaitu antara kawasan yang paling terjejas teruk, merupakan kampung angkat pertama Impian Kelantan bagi meneruskan objektif murni penubuhannnya.

Bagi menceriakan kembali wajah-wajah sugul mangsa banjir, pasukan Impian Kelantan dibantu hampir 20 sukarelawan, berkampung selama lebih enam bulan di sana dengan mengisi tentatif program melakukan kerja-kerja membina, membaiki dan mengecat lebih daripada 60 buah rumah yang terjejas teruk.

“Penerimaan orang kampung sangat-sangat baik, mereka terharu dan sangat gembira dengan kedatangan pasukan ‘medical camp’ daripada Impian Kelantan kerana mereka memerlukan ubat-ubatan selepas banjir berlaku, kehilangan harta benda dan wang. Kesihatan mereka juga turut terjejas.

“Apabila ‘medical camp’ ini masuk ke kampung pedalaman mereka sangat-sangat gembira dengan kedatangan kami,” katanya sambil menambah Impian Kelantan tidak terhenti di situ sahaja, malah turut membantu membaik pulih Pasar Baru di Kuala Krai yang musnah akibat daripada arus deras banjir.

Pandangan mengenai aktiviti kesukarelawan

Dengan berbekalkan ilmu kejururawatan, Rara sememangnya tidak kekok dengan kegiatan kesukarelawan, malah pernah menjalani latihan praktikal di Hospital Mental, Tanjung Rambutan.

“Bukan semua orang ada akses ke dalam wad Tanjung Rambutan,” katanya sedikit ketawa.

Ketika dialihkan perbualan mengenai penglibatan masyarakat dalam lapangan sukarelawan, beliau dengan mata bundar dan tersenyum memaklumkan bahawa banyak tanda-tanda positif sejak akhir-akhir ini, malah, Impian Kelantan menerima kunjungan ramai individu daripada pelbagai latar belakang yang bersedia untuk melakukan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Semangat sukarelawan di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya semakin baik yang saya lihat daripada dulu, kini pelajar universiti semakin aktif, dan semakin bersemangat untuk menyertai aktiviti seumpama ini.

“Kalau kita lihat seperti contoh Impian Kelantan, apabila kita buka untuk program sukarelawan untuk masuk ke kampung selama beberapa hari dan mengecat rumah dan sebagainya, ramai pelajar universiti yang menyertai. Mereka mahu belajar benda baru. Mereka sudah berani keluar tanpa mengira parti apa pun.

“Setiap minggu lebih daripada 100 orang yang Impian Kelantan telah bawa, bukan setakat pelajar universiti malah ada yang sudah berkeluarga dan bekerja. Jadi ini adalah sesuatu perkara yang amat baik untuk rakyat Malaysia.

“Dan kita boleh lihatlah kalau setiap hari Ahad Dapur Jalanan beri makan kepada gelandangan di Kuala Lumpur di Jalan Panggung, kita boleh lihat tiap-tiap minggu mahasiswa yang berlainan datang daripada universiti yang berlainan (menyertai Impian Kelantan).

“Ini perkara yang baik apabila mereka sudah mula berjinak-jinak dengan aktiviti sukarelawan,” katanya.

Peristiwa yang tidak boleh dilupakan

Sebaik sahaja Rara menjejakkan kaki ke bumi Cik Siti Wan Kembang itu selepas air bah mulai surut, hatinya menakung pilu apabila melihat keadaan yang umpama padang jarak padang terkukur, yang menurutnya tidak pernah tergambarkan akan berlaku di tanah air sendiri, namun benar-benar terjadi di depan mata.

“Pengalaman pertama sekali apabila kami datang ke Kelantan selepas sahaja banjir. Pertama kali saya lihat pengalaman di Kuala Krai dan di Manek Urai sangat-sangat teruk.

“Kita tidak nampak pokok yang berwarna hijau tetapi kita nampak semuanya dalam kekuningan iaitu lumpur akibat daripada banjir besar yang berlaku. Jadi memang keadaan anak-anak dan orang tua amat menyedihkan, mereka berdiri di tepi jalan meminta makanan, wang, pakaian.

“Mereka memang menagih simpati daripada kita. Mereka tidak segan dan tidak malu lagi apabila keadaan buruk telah menimpa mereka.

“Itu pertama kali saya menyaksikan sendiri di depan mata dan saya rasa sangat pilu. Saya berada di Malaysia tapi saya rasa keadaan mereka seperti bukan di Malaysia, seperti keadaan di luar negara. Saya tak sangka perkara seperti ini terjadi.

Namun, perasaan itu mulai surut, dengan keringat yang dicurahkan selama hampir setengah tahun, membantu mengembalikan semangat yang merundum di kalangan mangsa banjir, kini, Rara akhirnya mampu tersenyum puas, meskipun masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Kemudian, apabila kita berada di sana enam bulan, kita nampak perubahan semakin baik, sedikit demi sedikit di hadapan mata kita. Saya nampak seperti contoh di Kampung Pasir Tumbuh, perubahan semakin baik dari hari ke hari dan saya rasa sangat gembira.

“Mereka amat berterima kasih kepada kita kerana telah mengembirakan mereka dengan mengadakan program seperti ini kerana mereka amat mengharapkan orang luar untuk mengembirakan mereka selepas bah besar yang berlaku,” ujarnya.

Dua kali raya, rumah tak siap

Selepas hampir dua tahun, setepatnya pada 5 Oktober lalu, Rara sekali lagi berpeluang mengunjungi kawasan kampung-kampung yang pernah dilewatinya sebelum ini dan pernah dibantu pasukannya.

Hasil tinjauan Impian Kelantan, sebahagian besar penduduk telah menerima rumah daripada kerajaan Persekutaan dan negeri.

Namun di sebalik hilai tawa anak-anak yang bermainan di perkarangan rumah baharu mereka itu, masih ada keluarga yang terpaksa tinggal di sebuah kontena yang dijadikan tempat tinggal sementara.

“Saya sebenarnya agak terkejut kerana bukan satu dua nama yang terlepas pandang untuk dapatkan rumah, tapi sebenarnya lebih daripada itu.

“Mereka yang mempunyai ramai orang anak, saya tertanya-tanya bagaimana mereka ini boleh masih lagi duduk dalam kontena dalam rumah yang kita rasa tak layak dipanggil rumah lagi,” katanya.

Rara dengan tegas, mahu kerajaan persekutuan mahupun negeri bertindak sewajarnya dengan kadar segera atas dasar kemanusiaan dan tidak meminggir keluarga berkenaan yang telah melalui trauma banjir sejak dua tahun lalu.

“Sama ada pihak kerajaan negeri atau pihak kerajaan pusat, mereka sebenarnya tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan. Sehingga bila lagi?

“Dua kali raya sudah berlalu, kita nak tunggu hingga raya yang ke berapa?

“Saya mengharapkan pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengambil serius dan prihatin terhadap keluarga yang terlepas pandang.

“Dan juga yang paling penting, walaupun apa parti mereka apa pun politik mereka jangan kaitkan politik dan pilih kasih kerana ini adalah hak rakyat.

“Kita perlu ada sifat kemanusiaan untuk memberikan bantuan yang selayaknya untuk mereka, jangan kerana politik mereka diabaikan. Ini tidak patut berlaku,” tegasnya. – Roketkini.com

ARTIKEL SEBELUM
Orang Asli Temiar terima rawatan percuma di blockade Gua Musang

ARTIKEL SETERUSNYA
Najib gagalkan Wawasan 2020, rakyat akan terpaksa tunggu 34 tahun lagi

2 comments:

  1. Tak apa asal sokong PAS dapat surgo kata pemimpinnya...prmimpun nya sene lene dale banglo...kreto besa..pitihbanyok...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa