Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 21, 2016

Kalau nak marah, marahlah... RUU 355 kabur dan tidak jelas

Kalau nak marah, marahlah... RUU 355 kabur dan tidak jelas, tegas bekas Mufti Perlis
 | MALAYSIA DATELINE
Dr Juanda JayaDr Juanda Jaya
Pas perlu terbuka jika ada pihak yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang dibawa presidennya bukan berdasarkan hukum Tuhan, kata bekas mufti Perlis.
Datuk Dr Juanda Jaya yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jemoreng, Sarawak berkata dengan tiada perincian umum maka RUU itu sekadar dilihat satu cadangan manusia yang diberikan baju agama.
“Sebab itu saya sebut RUU 355, RUU yang kabur. Kalau orang nak marah, marahlah. Sebab kita pun tahu mereka sendiri tak tahu apa yang nak dijelaskan.
“Sekejap kata nak laksana hudud, sekejap kata tidak pula. Undang-undang ini benda yang jelas. Langgar lampu merah kita tahu berapa dendanya. Ini nak laksanakan undang-undang Tuhan.
“Jangan marah jika ada orang kata RUU 355 tidak sakral (kudus). Ia hanya undang-undang cadangan manusia. Barangkali diberi baju agama,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.
Dewan Rakyat yang mula bersidang 17 Oktober lalu dijangka akan membahaskan RUU persendirian Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas bagi memperkasakan mahkamah syariah.
RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016, yang sering didakwa membuka laluan untuk pelaksanaan hudud, dipertikaikan oleh wakil-wakil pembangkang dan Barisan Nasional.
Namun kerajaan dan Pas menafikan ia bertujuan membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, sebaliknya ia hanya bertujuan memperkasakan mahkamah syariah.
Juanda, 44, berkata umat Islam perlu kembali pada sejarah Rasulullah apabila akidah, ibadah dan akhlak diperkukuhkan sebelum membicarakan hukuman syariah.
“Mengapa wahyu pertama dalam Islam bukan hudud tetapi Iqra? Bacalah, pendidikan yang diutamakan. Berapa lama? Lebih 20 tahun.
“Kemudian aspek kepercayaan, ibadah, pembinaan akhlak dan moral. Hujung baru pergi kepada perkara itu.
“Itu pun berapa sahaja dalam catatan sejarah. Sedangkan manusia yang paling lengkap catatannya ialah Rasulullah,” katanya.
Beliau berkata Pas tidak seharusnya mempolitikkan agama dalam RUU yang ingin dibentangkan mereka.
Katanya, apa yang dibimbangkan ialah hudud dimainkan sebagai satu alat untuk menggalakkan ekstremisme dalam Islam.
“Saya minta semua pihak, jangan heret agama dalam agenda politik. RUU 355 ialah RUU yang tidak jelas. Ke mana hala tujunya?
“Kita berada dalam suasana yang saya cukup bimbang. Pencemaran terhadap agama itu sedang menjadi-jadi.
“Kita tahu enakmen di Kelantan dan Terengganu ada banyak masalah. Itu pun tidak selesai lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa