Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 28, 2016

Bajet 2017 – Kelegaan Sementara dari Realiti Tekanan Kehidupan

Oleh Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail, Universiti Malaya.

Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri pada 21 Oktober 2016 telah berlaku dalam suasana yang agak pelik apabila sebahagian besar ahli Parlimen dari pihak pembangkang telah keluar dari dewan. Dari satu aspek ianya nampak seolah-olah satu tindakan yang biadab. Namun dari aspek yang lain, tindakan tersebut mungkin boleh difahami. Isu utama bagi mereka ialah penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri dalam hal yang berkaitan dengan 1MDB yang mempunyai kaitan kuat dengan isu kewangan kerajaan. Bagi mereka isu ini masih belum diselesaikan dan hanya boleh diselesaikan jika Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Pembangkang mungkin juga menyedari bahawa tidaklah sukar bagi kerajaan untuk membentangkan satu bajet yang nampak elok di mata rakyat. Dengan peruntukan berjumlah RM260 billion, kerajaan boleh mengumumkan pelbagai skim dan insentif dan lain-lain perbelanjaan. Ada yang berjumlah berbillion ringgit dan ada yang berjumlah ratusan juta untuk berbagai kumpulan rakyat.

Menyedari bahawa jutaan rakyat, terutamanya dari kalangan orang muda dan golongan berpendapatan rendah berasa tertekan dengan masalah perumahan dan ramai yang merasakan kerajaan telah gagal membantu mereka, maka tidak hairanlah senarai skim bantuan kerajaan berkenaan aspek perumahan dalam bajet kali ini adalah begitu panjang dan terperinci.

Bagi membantu dalam masalah kos kehidupan yang tinggi, kerajaan juga memberikan berbagai bantuan lain termasuk menambahkan jumlah bayaran BR1M menjadi RM1200 untuk golongan berpendapatan di bawah RM3000. Bagi golongan masyarakat di kampung-kampung yang merupakan penyokong tegar kepada kerajaan, manfaat bajet termasuklah pemasangan 97,000 lampu jalan yang baru dan 3,000 lampu LED di persimpangan jalan-jalan di 7,500 kampung di seluruh negara serta pembinaan jalan kampung baru sejauh 616km serta jambatan baru berjumlah RM1.2 billion. Bahkan untuk graduan dalam bidang perubatan yang menghadapi masalah mendapat penempatan `housemanship’ kerajaan juga memberi bantuan yang spesifik untuk mereka iaitu memberi kontrak pekerjaan kepada 2,600 doktor yang belum mendapat `penempatan housemanship’.

Malahan jika dikaji, seolah-olah tidak ada kumpulan masyarakat yang tidak mendapat manfaat dari bajet ini. Sudah tentu dan seperti biasa, kerajaan akan merebut peluang dari pembentangan bajet ini untuk menyatakan bahawa ia adalah bukti bahawa kerajaan peka dengan masalah kehidupan rakyat terutama sekali golongan muda dan dari kalangan Bumiputera yang secara kebetulan juga merupakan golongan yang penting yang bakal menentukan keputusan PRU yang akan datang.

Sementara itu, pihak pembangkang pula enggan membiarkan kerajaan mendapat keuntungan sepenuhnya dari pembentangan bajet ini. Selain dari langkah keluar dari dewan Parlimen, mereka juga mengatakan bahawa bajet yang telah dibentangkan tidak lain dan tidak bukan adalah usaha untuk mengalihkan pandangan masyarakat dari salahlaku Perdana Menteri khasnya dalam kes 1MDB di mana hutangnya sekarang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Jika dikaji dengan lebih mendalam, seperkara yang jelas ialah walaupun banyak manfaat diberikan kepada rakyat, sebenarnya kerajaan juga telah terpaksa mengurangkan jumlah perbelanjaannya berbanding tahun-tahun sebelum ini. Jumlah peruntukan sebanyak RM260 billion untuk tahun 2017 adalah lebih rendah berbanding RM267.2 billion yang diperuntukkan untuk tahun 2016. Ini sebenarnya adalah satu keputusan yang agak pelik kerana ekonomi negara telah diramalkan akan berkembang sebanyak hampir 4 peratus. Sudah tentu keputusan ini dibuat kerana kesedaran kerajaan akan kemungkinan pendapatannya menjadi semakin berkurangan di masa akan datang. Akibatnya banyak program kerajaan sedia ada akan terpaksa diberhentikan atau dihadkan dan rakyat akan merasai kesannya nanti pada tahun 2017.
Pun begitu, jumlah perbelanjaan dalam bajet ini adalah melebihi pendapatan kerajaan yang diramalkan berjumlah hanya RM219.7 billion. Ini bermakna kerajaan terpaksa meminjam lebih kurang RM40 billion untuk menampung perbelanjaan tersebut dan ini juga bermakna jumlah hutang terkumpul yang ditanggung oleh kerajaan akan meningkat lagi iaitu kepada hampir RM700 billion. Jika pendapatan kerajaan sebenar pada tahun hadapan adalah lebih rendah dari yang diramalkan, maka sudah tentu jumlah hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi.

Persoalannya penting bagi rakyat ialah adakah bajet ini akan memastikan bahawa rakyat secara umumnya akan hidup dalam keadaan sejahtera pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya?
Sebenarnya ada banyak masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat yang tidak akan dapat diselesaikan oleh bajet kerajaan semata-mata.

Pertama sekali ialah dari segi peluang pekerjaan kepada siswazah. Akibat dari sistem Riba yang diamalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia, kerajaan dan juga sektor swasta akan dibebani dengan masalah hutang yang semakin meningkat. Di Malaysia sektor korporat tempatan mempunyai beban hutang sebanyak RM1.28 trillion atau 103 peratus dari KNK negara. Ini juga situasi yang dihadapi oleh badan-badan korporat luar yang beroperasi di Malaysia. Oleh sebab itulah sektor korporat terpaksa berjimat cermat dan meminimakan kos operasi mereka. Akibatnya mereka keberatan untuk mengambil pekerja baru.

Menyedari keadaan ini, kerajaan terpaksa melaksanakan berbagai skim untuk memastikan golongan ini tidak terus dalam keadaan menganggur. Golongan ini besar jumlahnya dan bakal menentukan keputusan PRU yang akan datang. Oleh itu, di samping skim kontrak kerja untuk graduan dalam bidang perubatan di atas, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk memperkembangkan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang melibatkan 20,000 siswazah pada tahun 2017. Namun, kemungkinan besar setelah peserta tamat program tersebut, sebahagian besar dari mereka mungkin masih tidak akan mempunyai pekerjaan, seperti yang berlaku di kebanyakan negara terutamanya di negara-nagara maju.

Satu lagi masalah yang akan dihadapi akibat dari amalan sistem Riba ialah kenaikan kos kehidupan. Penciptaan wang oleh sistem perbankan yang sentiasa berkembang dengan pemberian hutang yang sentiasa meningkat akan membuatkan kos kehidupan juga sentiasa meningkat. Walaupun kadar inflasi di negara kita adalah di bawah 4 peratus, namun bagi sesetengah keperluan asas rakyat kadarnya adalah jauh lebih tinggi.

Menurut kajian oleh Khazanah Research Institute, perbelanjaan isi rumah yang paling tinggi bagi lebih dari 94 peratus rakyat Malaysia ialah perbelanjaan makanan. Ini terutama sekali bagi yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang berbelanja sebanyak 38.5 peratus dari pendapatan bulanan mereka untuk makanan. Namun kajian KRI mendapati di antara tahun 2010 and 2015 harga makanan telah meningkat sebanyak 30.9 peratus bagi ikan dan makanan laut, 23 peratus bagi telur serta produk tenusu dan 18.7 peratus bagi daging.

Satu lagi kesan akibat dari sistem perbankan yang sentiasa berkembang ialah kos perumahan juga akan sentiasa meningkat. Memang benar kerajaan sedang berusaha untuk membantu rakyat dengan melaksanakan berbagai skim bantuan perumahan seperti yang disenaraikan di atas. Namun dalam jangka panjang, seperti yang juga berlaku di negara lain, masalah ini tidak akan dapat diatasi sepenuhnya selagi sistem Riba terus diamalkan.

Jika kerajaan mempunyai dana simpanan yang banyak, maka kerajaan akan dapat memberi banyak bantuan kepada rakyat dengan jumlah yang jauh lebih banyak dari bantuan yang telah disebutkan di atas. Namun akibat dari pengurusan kewangan yang tidak berhemah semenjak dari zaman Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi, maka sekarang hutang kerajaan yang mencecah hampir RM700 billion telah menyekat kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat. Malah kerajaan terpaksa melaksanakan skim percukaian GST yang telah mengutip RM30 billion dari poket rakyat jelata setakat ini. Jika tren di negara maju lain seperti Jepun juga berlaku di sini, di mana kadar cukai penggunaan (lebih kurang sama dengan GST), telah dinaikkan dari 5 peratus ke 8 peratus dan mungkin 10 peratus pada tahun hadapan, maka tidak hairanlah jika kerajaan Malaysia juga terpaksa memungkiri janjinya untuk mengekalkan kadar GST pada 6 peratus untuk tahun hadapan.

Dalam pembentangan bajet tersebut juga, Perdana Menteri ada menyebut keperluan belajar dari ayat 43 sehingga 49 di dalam surah Yusuf berkenaan kaedah menjaga perbendaharaan negara. Pelajaran utama yang disebut di dalam surah tersebut sebenarnya ialah kerajaan sepatutnya berhemah dalam berbelanja dan menyimpan serta mengumpulkan dana semasa keadaan ekonomi negara baik dan pendapatan dari sumber sektor minyak tinggi, dan hanya berbelanja dari dana tersebut semasa keadaan susah.

Apa yang telah berlaku adalah sebaliknya iaitu kerajaan telah gagal menyimpan dana dengan baik semasa sumber pendapatan kerajaan adalah tinggi dan berbelanja lebih dari kemampuan semenjak hampir dua puluh tahun berturut-turut sebelum ini. Akibatnya kerajaan terpaksa berhutang dan telah menambahkan beban hutangnya dari tahun ke setahun sehingga meningkat ke jumlah yang sekarang mustahil untuk dilupuskan sepenuhnya dalam masa terdekat. Jumlah bayaran bunga pinjaman sahaja yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sekarang telah meningkat ke sekitar RM30 billion setahun. Ini bermakna jumlah kutipan GST hanya mampu digunakan untuk membayar bunga hutang sahaja dan bukan hutang pokok kerajaan.

Hakikatnya ialah selama ini peringatan dan pengharaman Riba sepertimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran telah langsung tidak diendahkan, bukan sahaja oleh kerajaan bahkan juga oleh rakyat yang juga telah berhutang dengan banyak iaitu lebih dari RM1 ribu billion (atau lebih dari RM1 trillion). Sekarang kesan buruk dari sikap sedemikian telah dirasai dan terpaksa ditanggung oleh semua. Jika ramai merasa gembira akibat dari manfaat yang diperolehi dari bajet yang dibentangkan, mereka harus sedar ianya hanya kegembiraan sementara. Realiti tekanan kehidupan akan tetap bersama kita selagi sistem ekonomi serta amalan dan nilai kehidupan tidak berubah. Ia tidak boleh dihilangkan hanya dengan gula-gula di dalam bajet tahunan kerajaan.
-------------------------------------

Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD.
Faculty of Business and Accounting
University of Malaya
50603 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa