Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 25, 2016

UMNO tipu Ali Rustam?

Siapa dia yang namakan diri Ahli UMNO Melaka ni?

Tuesday, October 25, 2016
Sebenarnya Ali Rustam Di Tipu UMNO
Oleh Ahli UMNO Melaka

Bekas Ketua Menteri Melaka Dato Seri Ali Rustam (yang sudah expiry date) mahu memberi gula lolipop pula kepada Ahli Parlimen Pembangkang yang telah bangun keluar Dewan kerana membantah pembentangan Belanjawan 2017 oleh MO1 yang sebenarnya tidak serius dan lebih menghampiri lawak jenaka.   

Ali Rustam mungkin terlupa dia berada dalam Dewan Parlimen dan bukan di perasmian persidangan UMNO atau MIC. Ali sepatutnya memberi gula lolipop kepada MO1 sebab pembentangan Bajet 2017 oleh  MO1 adalah seperti kelakuan budak-budak.

Dulu Ali Rustam memang popular di kalangan ahli UMNO sehingga Ali cukup yakin menjadi calon merebut jawatan naib presiden dalam pilihan parti UMNO. Tetapi malangnya bagi Ali dia tidak sedar bukan sikit pemimpin UMNO yang tidak suka kepada kejayaannya.  

Ali tidak sedar bahawa MO1 sendiri telah berkomplot untuk menghalangnya dari mara ke depan dalam pilihan parti sebab sebarang kemenangan Ali akan memadamkan peluang bagi saudara MOI sendiri  menduduki tampuk pimpinan parti dan pemerintahan negara.

Jadi terpaksalah Ali Rustam kena sabotaj.  Dengan sepantas  kilat lembaga disiplin UMNO mendapati Ali Rustam terlibat kesalahan politik wang. Secepat kilat Ali dilarang bertanding jawatan parti. 
Sebagai seorang pejuang Ali tidak putus asa. Pada PRU13 Ali Rustam telah melepaskan kerusi DUN dan bertanding kerusi Parlimen Bukit Katil pula.  Ali Rustam merasa penuh konfiden akan menangi Parlimen Bukit Katil  sebab beliau adalah seorang Ketua Menteri Melaka yang sangat popular.  Malangnya Ali telah kalah dalam pilihanraya untuk merebut kerusi Parlimen di Melaka.

Ali mendapati sangat sukar untuk menerima keputusan pilihanraya itu. Beliau langsung tidak sangka boleh kalah Bukit Katil dan Ali telah menyalahkan kaum bukan Melayu kerana tidak mengundinya. 

Malangnya bagi Ali dia tidak sedar bahawa sebenarnya UMNO yang telah sabotaj peluangnya untuk menang. Jika Ali Rustam menang  Parlimen Bukit Katil  maka sudah tentu beliau akan dilantik menjadi Menteri. Ramai pemimpin UMNO dan pemimpin pelapis membimbangi populariti Ali Rustam.  

Sudah begitu lama dan dengan begitu tekun Ali telah melabur masa, tenaga dan duit untuk mendekati ahli peringkat bawah. Ahli parti suka kepada Ali Rustam yang sopan dan prihatin. Beliau tidak menunjuk sombong dan selalu menghadiri majlis dan khenduri di seluruh negara. Beliau menjadi 'mentor' kepada ramai Ketua Bahagian dan juga memberi mereka lolipop. Ali sering memberi anugerah Datuk kepada ramai orang dari seluruh negara yang menjadikannya lagi popular.   Beliau juga cerdik dalam mentadbir negeri Melaka. Jentera kerajaan negeri berjalan dengan pantas dan efisien yang telah membawa kemajuan ekonomi kepada penduduk Melaka dan hasil yang lumayan kepada kerajaan negeri.  

Kejayaan pentadbiran Ali Rustam telah menarik perhatian Tun Daim Zainuddin yang menjadi Menteri Kewangan pada waktu itu.  Daim mahu Melaka menjadi negeri contoh yang boleh diikuti oleh negeri lain dari segi pembangunan ekonomi. Dan Tun Daim mendapati bahawa Ali Rustam memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin yang sangat rajin dan efisien dalam menjalankan tugas serta mampu menyiapkan projek-projek pembangunan dalam masa yang singkat. 

Nasib Ali Rustam bertukar menjadi bertambah baik. Dia menjadi 'blue eyed boy' Daim Zainuddin. Ali kerap berjumpa dengan Daim di Kementerian Kewangan untuk mendapat kelulusan bagi projek pembangunan di Melaka. Daim kerap meluluskan permintaan Ali Rustam dengan cepat juga, memandangkan bahawa projek itu membawa faedah dan pembangunan kepada rakyat dan negeri Melaka.

Di bawah pimpinan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri dan dengan bantuan Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan Pusat, Melaka telah berkembang dan maju dengan begitu cepat.  Daim juga telah memberi peruntukan untuk projek membersihkan Sungai Melaka yang kemudiannya  menjadi penarikan pelancongan taraf antarabangsa. 

Malangnya tanpa pengetahuan Daim Zainuddin, Ali Rustam juga sibuk mengutip lolipop dari peniaga dan towkay yang perlu untuk dihadiahkan kepada ramai Ketua Bahagian yang disebut tadi. Ali mengumpul banyak lolipop yang digunakan untuk meng-gula dan me-madukan penyokong dan ahli akar umbi. MO1 mungkin telah belajar dari Ali Rustam cara-cara untuk memberi lolipop kepada penyokong.

Jadi sebab semua inilah Ali pun merasa begitu konfiden dia boleh menangi Parlimen Bukit Katil  dan menjadi ahli Dewan Rakyat. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya ialah pimpinan parti runsing dan tidak senangi popularitinya. Mereka mula bergerak untuk sabotaj peluang Ali Rustam.  

Seminggu sebelum PRU13 Tun Daim Zainuddin telah telefon Ali Rustam dan menasihati 'blue eyed boy' nya bahawa dia akan kalah di Bukit Katil. (Kalau tidak percaya boleh tanya Tun Daim Zainuddin atau tanya Ali Rustam sendiri). Maksudnya Tun Daim telah mendapat maklumat bahawa pimpinan UMNO akan bergerak untuk sabotaj Ali Rustam daripada menang Parlimen Bukit Katil. Dan Daim ketahui maklumat ini seminggu sebelum tarikh pengundian.

Ali tidak mahu mempercayai maklumat yang disampaikan oleh Tun Daim dan telah menyanggah hujah Daim.  Tetapi sepertimana dimaklumkan oleh Daim, Ali telah kalah Parlimen Bukit Katil. Maka kenyataan Ali Rustam yang berikutnya yang kononnya memarahi pengundi Cina di Melaka hanyalah wayang semata dan juga penzaliman terhadap orang Cina.  

Sekarang pula Ali menyokong pendekatan perkauman yang dinaungi oleh MO1. Beliau mengetuai kumpulan silat yang disokong penuh oleh MO1 dan digelar sebagai "third defense force" atau benteng pertahanan ketiga. 'Defense force' untuk melawan siapa? Jepun sudah kalah Perang Dunia. Komunis pun sudah tewas.

Seperti ramai pemimpin UMNO yang lain Ali Rustam kini menyokong puak baju merah. Apabila ahli parti seperti saya bertanya Ali tentang 1MDB, MO1 dan duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadi MO1, Ali memberi jawapan bodoh seperti "Peguam Negara (AG) mendapati tidak ada kes, jadi kita kena terima sajalah." Padahal Pembangkang yang sedang berusaha sungguh untuk mengingati rakyat bahawa duit itu datang dari 1MDB. 

Jho Low dan MO1 bersubahat dalam penipuan 1MDB. Laporan DOJ (Peguam Negara Amerika) sahkan bahawa duit RM2.6 bilion itu memang berasal dari 1MDB.  Pihak Pembangkang pun jelaskan dengan bukti bahawa MO1 telah menipu kita semua. Kemudian Menteri Rahman Dahlan sendiri telah mengesahkan kepada media antarabangsa BBC bahawa  MO1 itu adalah tidak lain tidak bukan Najib Tun Razak.  

Maka sebab itu juga MO1 telah berhentikan Peguam Negara Ghani Patail atas alasan sakit dan berusia dan diganti dengan Apandi yang lagi tua dan lebih sakit dari Ghani Patail.  Sejak menjadi Peguam Negara, Apandi telah keluar masuk wad hospital sebanyak dua kali.  Tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah Apandi telah menutup kes 1MDB. MO1 pun terlepas - buat ketika ini.

Pembangkang mengulangi mesej kepada rakyat bahawa Najib dan Peguam Negara membohong. Kes 1MDB ini sangat serius dan UMNO tidak boleh berselindung belakang kenyataan Peguam Negara bahawa kes ini sudah ditutup.  Rakyat tidak mempercayainya dan rakyat memerlukan jawapan yang benar dan jelas. Kami ahli UMNO di peringkat akar umbi juga memerlukan jawapan yang sebenar dan yang jelas.  Akar umbi masih tidak boleh menjawab kemusykilan masyarakat dan tuduhan Pembangkang.

Begitu juga apabila rakyat merungut dan menyoal kos sara hidup yang tinggi dan kejatuhan matawang Ringgit, ahli akar umbi tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan-soalan mereka. Rakyat tidak mampu membeli rumah sebab harga rumah terlalu mahal. Anak-anak mereka yang telah menghabiskan pengajian di peringkat universiti menjadi penganggur sebaik sahaja lepas universiti sebab tidak ada peluang pekerjaan. Pembangkang kerap mengungkit fakta yang benar bahawa jenayah makin meningkat sebab ramai yang menganggur atau pendapatan orang biasa tidak dapat menampong keperluan hidup. Pembangkang juga menuduh bahawa UMNO menyokong baju merah dan gengster.  Ahli UMNO diseluruh negara menghadapi cabaran dan persoalan yang serupa tetapi kami tidak tahu bagaimana hendak menjawab tuduhan ini. 

Rakyat juga ketawakan kenyataan Ketua Menteri Melaka bahawa tindakan Peguam Negara Amerika (DOJ) mendakwa kes 1MDB merupakan perancangan Amerika untuk menghancurkan orang Melayu.  Amat sukar bagi kami ahli parti untuk menyokong kenyataan bodoh seperti itu. 

Semua rakyat Malaysia tahu yang UMNO sendiri telah melompat-lompat dan menari macam mabuk apabila Presiden Obama datang mengunjungi Malaysia sebanyak dua kali. MO1 juga tiada kesudahan keseronokannya mengambil gambar selfie dengan Obama dan TV1 hingga TV8 terus menyiarkan berita dan gambar MO1 bermain golf dengan Obama.  Maka amat bodohlah bagi Ketua Menteri Melaka menuduh Amerika mahu menghancurkan orang Melayu.

Bagaimana pula dengan Singapura, Switzerland dan negara lain yang juga telah menyiasat kes duit curi 1MDB yang memasuki negara mereka dan telah mulakan pembicaraan kes di mahkamah masing-masing berkaitan 1MDB ini?  Apakah kesemua negara ini juga berkomplot menghancurkan bangsa Melayu juga? 

Kita perlu realistik. Jika kita tidak boleh fahami dan menyelesaikan semua masalah ini pemimpin parti kita sendiri yang akan menjahanamkan bangsa Melayu. Bukan bangsa lain dan bukan negara lain.

Ahli peringkat akar umbi telah lama kesuntukan masa untuk membangkit dan menegur pemimpin parti bahawa seluruh rakyat negara sudah tidak lagi menyokong UMNO dan BN sebab ramai pemimpin parti kita menipu rakyat. Pemimpin parti tidak mahu menyoal atau mencabar MO1. Mereka tidak berani mengakui bahawa seluruh rakyat negara termasuk orang Melayu, faham mereka semua adalah penipu.  Seluruh rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu sudah faham apa maksudnya 'kleptokrasi' ia itu kerajaan pimpinan gerombolan pencuri.

Ini peluang terakhir. Lebih baik UMNO sedar dan bangkit dari tidur 'mandram' sebelum UMNO ditongsampahkan oleh orang Melayu sendiri dan oleh seluruh rakyat Malaysia.

AHLI UMNO MELAKA.

Posted by Syed Akbar Ali at 2:04:00 PM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa