Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, October 22, 2016

Bajet Najib dah jadi tahi telinga kepada telinga rakyat

Saturday, October 22, 2016
ULAS BAJET

Saya bukan pakar dalam bidang kewangan jadi tidak layak untuk mengulas Bajet 2017 yang dibentang Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Najib Razak semalam. Kita serahkan kepada pakar penganalisis ekonomi dan kewangan untuk membuat ulasan dan sorotan.

Tentu pula pakar ini tidak sependapat dan berbeza pandangan dan analisa. Ia tergantung kepada kapasiti dan kedudukan mereka. Pakar-pakar yang berjawatan dan ada kepentingan diri dengan kerajaan tentu akan memberi ualasan yang memuaskan hati pembentangnya. Memuji memuja bajet Najib sebagai baik dan berpandangan jauh, berjiwa rakyat dan sebagainya.

Manalaka mereka yang kurang senang dan tidak setuju dengannya sudah muak dengan gula-gula manisan ditabur Najib pada setiap kali pembentangan bajet, akan melontar kritikan dan sindiran sinis kepada bajet Najib itu. Apapun mereka tetap juga mengulas tetapi dalam laras yang negatif.

Mudah sahaja untuk mengenali dua golongan ini. Penganalisa yang disiarkan oleh media massa PB atau membuat ulasan langsung dalam tv, adalah mereka yang berjawatan dan berkepentingan diri. Mereka adalah propagandis kerajaan yang sanggup menyembunyikan kebenaran dalam poket. Bila dengar ualasan mereka kita jadi seronok tetapi hakikatnya kosong, retorik.

Jika mereka sarjana, mereka tidak akan diangkat menjadi Prof Madya atau Prof sekiranya mereka berkata benar berdasarkan teori dan pengalaman mereka. Dalam hal ini jarang mereka akan melihat kepada situasi semasa dan realiti kehidupan rakyat. Jadi mereka terpaksa bercakap mengikut irama yang dimainkan walaupun mereka tidak tahu seni kata.

Manakala mereka yang membuat ulasan dari media alternatif atau bercakap dalam blog dan media peribadi di pentas forum bebas adalah mereka yang sudah muak dengan Najib. Pandangan mereka sangat negatif sehinggakan sukar untuk mencari setitik pun kebaikan dari bajet itu. Tetapi mereka ini bagi saya lebih boleh dipercayai daripada golongan pembodek tadi. Mereka ada integriti dan tidak melacurkan pengetahuan yang ada. Mereka tidak menjahit poket dengan benang kerajaan.

Saya dah katakan saya tidak mengulas angka dan unjuran yang Najib bentangkan itu. Bagi saya yang jahil ini, bajet Najib untuk tahun depan sama dengan bajet Najib tahun 2016, 2015 dan 2014. Yang berubah ialah angka-angka dan muka surat sahaja. Najib tetap mengulangi mauduk yang sama. Janji-janji palsu yang disapu cat baharu.

Perubahan paling ketara jika diperhatikan masa pembentangan bajet itu hanya baju Melayu Najib pakai dari biru kepada hijau muda dari hijau muda kepada pink dan bervariasi. Itu sahaja. Seolah-olah  bagi Najib pakaian dan penampilan lebih penting daripada isi dan hakikat bajet.

Dalam tilikan saya kelainan dalam bajet Najib kali ini kehebatan Najib memanipulasian beberapa isu. Tampak sangat sikap dan tindakan ini menunjukkan Najib terdesak. Bajet bukan lagi fakta atau solusi untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membangkitkan semangat ekonomi, tetapi tempat untuk dia menjaja murah kehebatan dirinya yang tidak hebat di samping untuk memburukkan oposisi.

Ada beberapa perkara diangkat Najib semasa membentang bajet semalam menyerlahkan keterdesakkan beliau. Antaranya dia menyentuh pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim yang dianggap kononnya Mahathir sudah terdesak sanggup bersua dengan orang yang dibencinya selama ini. Najib tidak patut menyentuh perkara itu dalam ucapan yang penting sebegitu jika dia seorang berkredibel dalam bidang kewangan.

Ironisnya dalam masa sama Najib menunjukkan kebaikannya sebagai seorang Islam dan cuba mempamerkan yang dirinya seorang muslim yang baik. Beliau menyebut dan mengakui Dr Haron Din Mursyidul Am Pas yang meninggal dunia baharu ini sebagai sahabatnya. Memuji akan keilmuan ustaz bomoh berkenaan. Kenapa Najib baharu menyedari ketinggian ilmu Haron Din sesudah sang bomoh Islam itu mati? Apakah selama ini mata Najib kabur?

Selain itu ada beberapa perkara yang dieksploitasikan Najib bagi menunjukkan pentadbiran dan usahanya untuk membangun masyarakat bawahan sebagai berjaya. Beliau memanggil beberapa orang bawahan yang berjaya menerusi dasar ekonominya, seperti pemandu teksi, usahawan eletrik, penjual kueh, tokoh pendidik dan sebagainya.
.
Tidak cukup itu dipanggil juga Tok Batin Orang Asli ke parlimen bagi dipamerkan kepada wakil rakyat bahawa orang asli negara ini sudah berubah dieranya. Atlet paralimpik yang berjaya mengendong emas disukan olimpik juga ikut sama dibawa ke parlimen.

Kesah seorang mahasiswi yang menjual nasi lemak untuk menyara kehidupan kerana tidak ada pekerjaan juga dijadikan modal sebagai perangsang kepada belia-belia lain. Najib menyebut dan memuji mahasiwi berkenaan yang berniaga nasi lemak dengan jenama "nasi lemak anak dara". Apakah Najib tifdak faham dengan langkah mahasiswi itu bahawa ia satu sindiran kepada pemimpin seperti Najib, walaupun membidik segolong ijazah tetapi terpaksa 'menjual nasi lemak dalam negara yang begini kaya.

Najib seharusnya malu dengan tindakan siswi itu. Tetapi apakan daya Najib adalah Najib yang suka mengulang perkara sama, membaca sumpah keramat pahlawan Bungis dan tidak sudah-sudah menyebut dan mengiklankan kehebatan bapaknya Razak Hussein.

Itulah, dalam tilikan saya kejayaan Najib dan kelainan bajet 2016 ini. Yang lain-lain masih perkara sama yang hanya diulang-ulang sehingga semuanya telah menjadi tahi telinga yang memenuhi telinga rakyat. [klia2. 2:22 pm 21/10/16] * tanpa edit.

Posted by mohd sayuti Omar at 2:44:00 PM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa