Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 28, 2016

Ke mana hala tuju PAS selepas dibohongi umpan perpaduan ‘Melayu-Islam’ Umno?

28 Oktober 2016 oleh Hafiz Zainuddin
Cita-cita peribadi dan misi jemaah adalah sesuatu yang jauh berbeza. Lebih-lebih lagi bila sudah wujud konsensus bersama yang dinamai tahaluf siyasi dalam sesebuah gerakan siasah.

Situasi ini dapat dilihat apabila PAS ‘tercicir’ dari bahtera Pakatan Rakyat sekaligus menguburkan agenda yang disetujui bersama sebelum ini.

PAS makin tertekan bila kegelojohan cita-cita peribadi ‘hudud’ atau setidak-tidaknya sekarang, RUU355 telah dipergunakan Umno untuk kepentingan politik mereka.

Persoalan mula timbul. Adakah Presiden PAS tidak fikir panjang sebelum kemukakan usul itu atau sememangnya ia adalah rancangan bersama apabila beliau, senang dilihat mesra dan baik dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Ada pihak mengatakan hubungan Hadi dan Najib itu demi ‘perpaduan Melayu dan Islam’. Namun, realiti politik tidak memberi ruang untuk itu berlaku memandangkan UMNO yang menjadi nakhoda BN terbukti gagal melaksanakan dasar-dasar adil khususnya dasar-dasar ekonomi mapan yang akhirnya memangsakan golongan pekerja dan miskin – yang kebanyakannya juga ‘Melayu Islam’.

Akhirnya, usul RUU355 yang pada mulanya diletak sebagai usul perbahasan nombor empat kini sudah semakin terkebawah. Pimpinan dan ahli PAS yang riuh bertakbir gembira pada ketika ia dimasukkan dalam Aturan Mesyuarat kini pun sudah ada yang berasa curiga.

PAS terus menerima tamparan memalukan apabila Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin menyatakan bahawa perbahasan RUU355 tertakluk pada kerajaan sama ada mendahulukannya atau tidak. Dalam erti kata lain, hanya kerajaan sahaja yang berkuasa menentukannya.

Malah, jika diluluskan sekalipun dalam perbahasan Parlimen sesi ini, RUU tersebut perlu melalui beberapa lagi sekatan termasuk sebelum perbahasan mengenainya diteruskan.

Kini, PAS semakin terhimpit dalam permainan Umno yang mengatasnamakan ‘Perpaduan Melayu dan Islam’ yang sebenarnya sangat abstrak dan longgar. Mengapa terlalu mudah PAS termakan umpan Umno?

Sepanjang polemik ‘hudud’ dan RUU355 ini, kita telah melihat banyak korban besar berlaku. Anasir pro-Umno di dalam PAS yang senyap-senyap berkempen bahawa ’pendekatan melalui Pakatan Rakyat merugikan PAS’ sebelum ini, sudah memecahkan gerakan Islam tersebut dan merugikan tahaluf siyasi dalam PR yang amat digeruni BN.

Polemik ini juga telah memberi mudarat kepada rakyat negara ini khususnya umat Islam akibat gejala takfiri dan label melabel oleh pemimpin akar umbi PAS terhadap mereka yang tidak meyokong RUU355 tersebut.

Sedang PAS semakin terhimpit dalam ruang lingkup hitam putih dan Umno. Gemblengan baharu oposisi melalui Pakatan Harapan semakin utuh dan berkesan dengan prinsip wahdatul fiqh wahdatul ‘amal (kesatuan fikrah dan kesatuan amal) untuk Malaysia yang lebih baik.

Hanya masa yang menentukan halatuju PAS selepas ini. Mungkin inilah yang dipanggil orang, yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran, kena tipu sampai ke sudah. 

1 comment:

  1. telah di kencing...berterabur basah lencun..
    apo nk di katakan kan lagi...
    nasi bukan lagi jadi bubur..tapi dah hangus..pakat makan sorang sikit walau pun pahit..
    blok ke tiga politik matang golongan ulama cendikiawan ulama politik..
    selamat maju jaya..sedut la bau hancing selepas kena kencing.
    tak pe..mereka tidak memrrlukan gabungan parti lain untuk naik...mereka cukup kuat untuk menghadapi semua in bersendirian...
    semua kata kata orang tak boleh pakai...
    hanya ayat tuan presiden yg benar yg betul..
    siapa la kami nk menegur orang besar besar...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa