Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, May 16, 2014

Aduan ‘Islamisasi‎’ Di Program Sekolah Sarawak

Sarawak hentikan program Anak Angkat selepas aduan ‘Islamisasi‎’
OLEH DESMOND DAVIDSON
MAY 15, 2014
LATEST UPDATE: MAY 15, 2014 09:48 PM
Jabatan Pendidikan Sarawak hari ini menghentikan program kontroversi Anak Angkat di sekolah ekoran bantahan daripada ibu bapa yang mendakwa ada cubaan untuk menarik pelajar beragama Kristian masuk Islam.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman yang mengarahkan program itu dihentikan bagaimanapun berkata, isu yang berlaku cuma salah faham.
Katanya, program motivasi yang menyasarkan pelajar daripada keluarga miskin itu dibenarkan dan dibiayai Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Desa.
Daud berkata, semua elemen keagamaan dalam modul program akan dihapuskan pada masa akan datang.Katanya, program itu dijalankan oleh badan bukan kerajaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) yang berpusat di Bangi, Selangor.
"Tidak ada sebarang cubaan untuk menukar agama penganut bukan Islam dalam program ini," katanya.
Semalam, Menteri Pembangunan Sarawak Tan Sri Dr James Masing menimbulkan isu ini selepas ibu bapa pelajar SMK Balai Ringin mengemukakan aduan mengenai program tersebut.
Ibu bapa pelajar berkenaan memberitahu Masing, pertama kali program diadakan di SMK Serian, 60 kilometer daripada bandar Kuching, dihadiri 50 orang dan majoriti bukan Islam pada 8 Mac lalu.
Program kedua pula diadakan di Balai Ringin, 60 kilometer daripada SMK Serian pada Sabtu lalu tetapi jumlah pelajar yang hadir hanya 21 orang.
Keseluruhan program dijadualkan berlangsung dalam tempoh 10 minggu setiap Sabtu.
Pelajar juga mengadu mereka yang terpilih wajib menghadirinya kerana ia sebahagian daripada aktiviti kokurikulum, tetapi mereka juga ditanya tentang Islam.
Tambahan semua fasilitator program adalah beragama Islam dan ada ceramah agama.
Daud berkata, penggantungan itu bagi membolehkan jabatan pendidikan menilai semula modul program supaya sebarang unsur yang mengaitkannya dengan unsur pertukaran agama dibuang.
"Apa yang terjadi di SMK Balai Ringin amat dikesali.
"Walaupun niat asal program itu baik, ia disalahertikan oleh pelajar dan ibu bapa," tambah Daud.
Katanya, jika didapati ada cubaan oleh NGO Haluan menggunakan program terbabit untuk menarik pelajar Sarawak masuk Islam, tindakan akan dikenakan.
"Kami percaya tukar agama itu satu pilihan. Sebarang cubaan untuk menukar agama bukan Islam kepada Islam adalah salah," katanya.
Daud menjelaskan, menjadi polisi negeri bahawa agensi agama di Sarawak sama sekali dilarang terlibat dalam usaha menarik penganut bukan Islam tukar agama.
Katanya, bagi mengekalkan keharmonian antara agama, Majlis Islam Sarawak sentiasa memantau semua aktiviti dakwah di negeri itu.
"Mana-mana kumpulan atau gerakan dakwah yang datang ke negeri ini akan disemak dan program mereka akan diteliti," katanya.
Katanya, jika didapati melanggar undang-undang negeri, mereka akan dihantar pulang ke tempat asal.

Haluan bermula pada tahun 2009 dengan mensasarkan motivasi kepada pelajar miskin untuk berjaya dalam akademik. – 15 Mei, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa