04:30PM Jul 03 2015
oleh V Shuman
SEKILAS PANDANG: Sekali lagi, 1MDB telah menjadikan Malaysia sebagai tajuk berita! Dan sekali lagi, ia bukanlah berita yang baik.
Akhbar Amerika The Wall Street Journal (WSJ) dan laman Sarawak Report hari ini membangkitkan bagaimana sejumlah US$700 juta (RM2.63 juta) wang 1MDB didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri Najib Razak.
WSJ memetik dokumen daripada satu siasatan kerajaan, dan berkata pemindahan wang itu memang diketahui oleh penyiasat Malaysia.
Jika benar ini adalah kali pertama Najib – yang berada di bawah tekanan untuk letak jawatan atas pelbagai isu – terkait secara terus dengan badan dana penuh masalah itu, kata akhbar itu lagi.
“Dokumen siasatan itu adalah apa yang penyiasat percaya sebagai pergerakan wang tunai di antara agensi kerajaan, bank dan syarikat yang terkait dengan 1MDB, sebelum ia berakhir dalam akaun peribadi Najib.
“Dokumen yang dilihat Wall Street Journal termasuk borang pemindahan wang oleh bank dan carta aliran yang dilakarkan penyiasat kerajaan yang menunjukkan pemahaman mereka terhadap aliran wang tunai itu,” kata laporan itu lagi.
Akhbar itu juga bercakap dengan seorang jurucakap kerajaan, yang berkeras mengatakan Najib tidak pernah mempergunakan wang 1MDB untuk kegunaan peribadi.
Sarawak Report pula berkata, wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi Najib melalui pelbagai syarikat yang memiliki kaitan dengan 1MDB. Ia dilakukan secara beberapa kali, termasuk dua bulan sebelum PRU ke-13.
Menurut laporan itu, Nik Faisal Ariff Kamil – nama yang sering muncul dalam kontroversi 1MDB – telah diberi surat kuasa wakil (power of attorney) ke atas akaun peribadi Najib itu.
Maklumat bank tersebut turut didakwa dimiliki beberapa penguatkuasa undang-undang di Malaysia, termasuk peguam negara.
Setakat artikel ini ditulis, Jabatan Perdana Menteri masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Namun 1MDB telah menafikannya dengan berkata, mereka “tidak pernah memberikan apa-apa dana kepada perdana menteri.”
Dalam satu kenyataan, ia berkata, “untuk membayangkan sebaliknya, seperti yang dilakukan sesetengah media, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan satu percubaan sengaja untuk menjejaskan syarikat.”
Ia memetik beberapa laporan berhubung dakwaan percubaan mencemarkan imej syarikat, misalnya melalui penerbitan dokumen yang diubah.
1MDB merujuk kepada warga Switzerland Xavier Andres Justo yang kini dalam tahanan polis Thailand. Justo didakwa mengugut bekas majikannya berkaitan isu 1MDB.
Pihak berkuasa Malaysia juga telah menyatakan yang bekas pengarah IT itu telah mengubah dokumen dan memberikannya kepada laman berita, termasuk Sarawak Report. Namun setakat ini, belum terbukti sama ada dokumen-dokumen memang telah diubah.
“Maka kami terkejut apabila dokumen-dokumen ini, yang kewujudan dan kesahihannya tidak disahkan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas untuk mencetuskan dakwaan-dakwaan baru yang tidak berasas kepada 1MDB.
“Pada masa ini, 1MDB sedang bekerjasama dengan beberapa siasatan yang dijalankan oleh badan-badan termasuk Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Bank Negara. Pihak-pihak autoriti ini memiliki semua maklumat yang relevan, dan kami berharap semua pihak untuk menunggu hasil siasatan mereka sebelum membuat lebih banyak dakwaan dan tergesa-gesa membuat andaian,” kata kenyataan itu lagi.
Bukankah kita sudah mendengar alasan sama sebelum ini?
Jika dakwaan terbaru ini benar, keadaan benar-benar parah. Persoalan yang lebih besar adalah, jika pihak berkuasa dalam kerajaan memang sedar dengan traksaksi itu, mengapa tiada tindakan yang diambil?
Apakah ada percubaan untuk menutup aliran wang itu? Walaupun jika Najib tidak menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi, mengapa perlu menyalurkan dana ke akaun peribadinya, apatah lagi ketika PRU?
Kita memang sudah biasa terdengar dakwaan Umno BN membeli undi ketika pilihanraya. Bagaimana mereka mahu buktikan sebaliknya?
Apakah tindakan Najib yang seterusnya? Kita boleh jangkakan penafian rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri. Tetapi adakah Najib akan melangkau lebih jauh lagi dengan membuat laporan polis terhadap Sarawak Report, dan berusaha untuk menghalang rakyat Malaysia masuk ke laman itu? Dan bagaimana pula dengan WSJ? Adakah Najib akan saman mereka juga?
Satu lagi senario yang mungkin berlaku adalah Nik Faisal dijadikan kambing hitam (memandangkan beliau memiliki surat kuasa wakil akaun Najib), seperti yang telah kita saksikan beberapa kali sebelum ini.
Beban kini terletak di bahu kerajaan untuk membuktikan segala dakwaan ini adalah tidak benar. Dan itu tidak bermakna hanya mengeluarkan lebih banyak penafian. Sebarang penafian perlu diiringi dengan bukti kukuh bahawa traksaksi tersebut tidak pernah berlaku, serta dimanakah wang tersebut sekarang.
DUIT KELUAR MASOK BANK DI REKOD BANK NEGARA
ReplyDeleteJANGAN DI PENCEN ZETI SUDAH.....
Ekonomi negara dilandasan yang betul.. bla bla bla.. Bangkrap Negara.Mesia,. Apa punya BANK? kah kah kah
DeleteMana ada orang yang mengaku dia KENTUT !
ReplyDelete