Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, July 10, 2015

Kegunaan peribadi atau tidak, mengambil dana awam tetap kesalahan besar

09:30PM Jul 09 2015
oleh Alyaa Alhadjri

KOMEN: Pihak yang menyiasat skandal RM42 bilion 1MDB pastinya membuat kesilapan besar jika tujuan utama mereka hanyalah untuk membuktikan perdana menteri Najib Razak tidak pernah menerima apa-apa dana untuk kegunaan peribadinya.
Di sebalik tekanan memuncak mendesaknya untuk mengambil cuti, Najib telah berkata yang siasatan task force bersama itu perlu menentukan  sama ada dakwaan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) bahawa sejumlah US$700 juta 1MDB telah disalurkan ke akaun peribadinya, memiliki asas atau tidak.
Dalam keadaannya sekarang, Najib mungkin enggan melepaskan kedudukannya. Namun beliau tiada autoriti moral untuk mempengaruhi task force tersebut, yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara.
Jika pihak penyiasat mempunyai niat untuk membuktikan kebebasan mereka, mereka perlu mengabaikan arahan Najib dan melihat bukan semata-mata untuk membuktikan beliau tidak bersalah, tetapi benar-benar menganalisis aliran wang dan mengenalpasti pihak yang terlibat.
Hal yang sama juga perlu dipegang pembela-pembela Najib yang bersungguh-sungguh cuba menjejaskan kewibawaan WSJ.
Akibat tergesa-gesa mahu mematahkan pendedahan terbaru WSJ, ketua pegawai eksekutif CIMB Islamic Badlisyah Abdul Gani telah membuat analisis salah ke atas dokumen bank yang mendakwa sejumlah wang yang besar telah dimasukken ke dalam akaun peribadi Najib di Ambank.
Dokumen itu, termasuk ‘SWIFT message’ (pesanan Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication yang digunakan untuk membuat pemindahan wang), disiarkan oleh WSJ pada 8 Julai lalu untuk menyokong laporannya. Dan Badlisyah dalam posting Facebook mendakwa ada percanggahan jelas pada kod Swift dan alamat bank penghantar.
Badlisyah merujuk ‘Swift message’ bagi dua transaksi - melibatkan US$619,999,988 dan US$60,999,988, dikatakan daripada Tanore Finance, melalui Wells Fargo Bank, dan ke akaun yang didakwa milik Najib.
Beliau kemudian menyimpulkan bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan terkejut apabila WSJ “terpedaya” dengannya.
Namun, Malaysiakini kemudian melaporkan tiada kejanggalan dalam alamat bank penghantar.
Laman itu juga menyatakan Badlisyah tersilap menyatakan bahawa kod Swift yang disenaraikan dalam dokumen milik Alfa Bank Moscow.
Dalam satu lagi posting, Badlisyah mengakui kesilapannya namun masih menegaskan dokumen tersebut adalah palsu.
Namun pengakuan itu sudah terlambat, memandangkan pengerusi CIMB Group Nazir Razak dalam responnya berkata yang siasatan dalaman akan dibuat terhadap Badlisyah.
Dalam posting di akaun Instagramnya, Nazir memuatnaik gambar ketua pegawai eksekutif CIMB Group Tengku Zafrul Abdul Aziz sedang menunjukkan sesuatu di telefon pintarnya kepada bekas pengerusi CIMB Group Mohammed Nor Md Yusof, sambil dilihat pengerusi CIMB Islamic Syed Muhamad Syed Abdul Kadir.
Nazir mengiringi gambar itu dengan menulis: “Zafrul dan Syed menunjukkan posting Facebook Badli tentang artikel WSJ kepada Md Nor.”
“Posting itu sudah dipadam kerana ia adalah soal teknikal yang tidak patut diulasnya. Kami memohon maaf dan akan mengadakan siasatan dalaman,” kata Nazir yang juga adik Najib dan lantang mengkritik 1MDB sebelum ini.
Sementara itu, sekurang-kurangnya satu organisasi media telah membangkitkan keraguan ke atas kewibawaan WSJ dan juga menyatakan kesilapan akhbar itu.
Pada 9 Julai lalu, akhbar New Straits Times menyiarkan kenyataan Badlisyah yang silap itu – sebelum Badli memadamnya – bersama-sama laporan lain yang memburukkan WSJ.
Setakat ini, kebanyakan pembelaan terhadap Najib adalah cubaan lemah untuk menutup dakwaan dan memburukkan pihak yang membuat pendedahan.
Bagi pengkritiknya, cubaan tersebut hanya menjadi bahan ketawa. Sehinggakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan amaran terhadap penyebaran material seumpama itu di media sosial.
Dalam kenyataannya 9 Julai lalu, SKMM berkata bahawa penyebaran apa-apa gambar yang diubahsuai, laporan yang tidak disahkan atau spekulasi berkaitan penyiasatan boleh dianggap kesalahan di bawah Seksyen 211 atau 233 Akta SKMM, dan boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun.
Apa-apa pun, Najib bukanlah Robin Hood dan tidak kira apa sahaja yang dikatakan orang bawahnya – sama ada wang digunakan untuk kegunaan peribadinya atau tidak bukanlah soalnya.
Berbilion wang rakyat telah hilang dan seeorang perlu memikul tanggungjawab.
Dan jika aliran wang itu menuju kepada PM, beliaulah perlu bertanggungjawab. Ini kerana meletakkan wang awam ke dalam akaun peribadi jelas merupakan satu kesalahan.
Perbelanjaan wang tersebut perlu melalui saluran dan akaun kerajaan yang sepatutnya.
Seperti yang telah dikatakan, Najib hanyalah seorang individu dan seluruh pentadbiran tidak perlu jatuh bersama-samanya.
Melainkan mereka tidak mahu melepaskan Najib, terlibat dalam kesalahan yang serupa dan tetap ingin mengheret seluruh negara ke dalam krisis keyakinan.

1 comment:

  1. INI MACAM CERITA BUDAK KAMPONG , "SAYA KENTUT TUK SAYA BAU SAJA"

    Kepala Otak !!!!!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa