oleh Sonia Ramachandran
PETALING JAYA: Keraguan terhadap kebebasan, ketelusan dan keberkesanan pihak berkuasa tempatan yang menyiasat dakwaan dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib Razak tidak dapat dielakkan.
Ini kerana Najib adalah perdana menteri dan menteri kewangan negara ini, dan pihak-pihak berkuasa yang menjalankan siasatan berada di bawah, dan perlu menjawab kepadanya.
Inilah sebabnya mengapa Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) menyeru Najib mengambil cuti sehingga siasatan selesai.
“Inilah satu-satunya perkara yang betul dan terhormat, agar penyiasat dilihat benar-benar bebas untuk menyiasat sedalam-dalamnya dakwaan besar ini.
“Mengambil cuti adalah sebahagian daripada aspek tadbir urus yang baik yang dipromosikan Cenbet. Ia bukanlah pengakuan bersalah, tetapi menunjukkan keteguhan dalam prinsip integriti. Ia akan membolehkan perdana menteri fokus menangani kontroversi ini dan tidak diganggu oleh tugas-tugas kerajaan. Cenbet percaya bahawa tiada orang yang bersalah sebelum dibuktikan di mahkamah,” kata pengerusi bersama Gan Ping Sieu.
Gan juga mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil Najib untuk membersihkan namanya di “mahkamah persepsi”.
Katanya, najib perlu mengarahkan Ambank (AMMB Holdings Bhd) untuk menjelaskan tentang dakwaan transaksi seperti yang dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ).
Katanya, Najib juga perlu mengarahkan Bank Negara untuk menyatakan sama ada ia sedar tentang dakwaan transaksi itu. Ini kerana bank pusat itu pasti akan diberitahu tentang pemindahan jika melibatkan jumlah yang besar.
Selain itu, Gan mencadangkan Najib untuk mengarah atau mendesak 1MDB dan Ambank menyaman WSJ kerana memfitnah.
“Jika penyiasat membersihkan Najib daripada apa-apa salah laku dan langkah-langkah di atas mengukuhkan lagi yang beliau tidak bersalah, beliau boleh kembali bertugas dengan penuh maruah.
“Najib pasti akan menunjukkan teladan yang baik dan mengekalkan standard moral yang lebih tinggi di mata rakyat. Ini tentunya memberi kebaikan kepada negara,” katanya lagi.
Pengerusi Islamic Rennaisance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa juga berpandangan yang Najib patut mengambil cuti sementara siasatan berjalan.
“Isunya adalah individu yang disiasat kini juga merupakan seorang yang memegang jawatan penting, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, dan dapat mempengaruhi siasatan.
“Bagi membolehkan siasatan yang bebas dan telus, Najib perlu mengambil cuti sehingga ia selesai. Pada ketika itu, beliau juga patut melepaskan semua kuasa agar rakyat dapat meletakkan keyakinan mereka ke atas siasatan,” kata ahli akademik itu.
Katanya lagi, ini amat penting memandangkan dakwaan serius itu mempunyai dokumen sokongan dan dilaporkan oleh organisasi berita yang berwibawa yang mempertahankan dakwaan mereka.
“Perkara paling buruk adalah apabila ketua pegawai eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abdul Ghani membuat kesilapan dengan cuba mengkritik laporan WSJ demi mempertahankan Najib.
“Malah surat peguam yang dihantar kepada WSJ juga bukan surat tuntutan. Jika ia ingin dipandang berwibawa, surat itu sepatutnya menuntut WSJ menarik balik laporan mereka. Tindakan Najib hanya untuk menangguhkan masa. Beliau sepatutnya menafikan secara terbuka dan berkata akaun tersebut bukan miliknya,” katanya lagi.
Ahmad Farouk menganggap Najib “menghina kebijaksanaan rakyat dengan tidak menjawab dakwaan tersebut”.
“Sebaliknya beliau mengeluarkan kenyataan dengan hujah sia-sia dan tidak menjawab persoalan orang ramai.
“Sebagai seorang Muslim yang baik, beliau sepatutnya bersikap jujur dan telus, terutama di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya lagi.
Gan pula menyuarakan kebimbangannya terhadap kenyataan oleh Peguam Negara Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar 8 Julai lalu, yang membayangkan mereka lebih berminat untuk bertindak ke atas pihak yang membocorkan dokumen sulit berbanding mengesahkan keaslian kandungannya.
“Sikap ‘memburu pemberi maklumat’ ini tidak membantu mengembalikan keyakinan terhadap institusi awam dan mengancam kewibawaan siasatan,” kata Gan.
Bersalah atau tidak, Najib memang perlu menurut nasihat banyak pihak agar beliau mengambil cuti sementara jika mahu rakyat kembali yakin terhadap pentadbirannya.
Jika tidak, namanya akan terus tercemar dengan dakwaan rasuah walaupun selepas namanya dibersihkan nanti. Rakyat akan menganggap siasatan tersebut berat sebelah dan tidak berwibawa.
Mana Najib berani bercuti, sebabnya:
ReplyDelete1. Jika dakwaan WSJ itu benar, dia tidak dapat nak control pasukan penyiasatan.
2. Jika dakwaan WSJ itu tidak benar, dia tentu bimbang pemangkunya nanti akan tikam dari belakang, ini merupakan perkara biasa dlm UMNO.
3. Sama ada dakwaan WSJ itu benar atau tidak pula, MOU dgn RM perlu dimeterai terlebih dahulu.
Itu sahaja.