OLEH HAMDAN OTHMAN DI KUNDASANG - 06 JUL 2015
KEADAAN rumah Haili yang musnah akibat gempa bumi di Kampung Mesilau, Kundasang, Sabah
HAILI merenung rumahnya yang musnah akibat gempa bumi di Kampung Mesilau, Kundasang, Sabah.
“Memang hasrat di hati hendak sambut raya di rumah baharu tetapi apa nak buat, rumah yang sedang dibaikpulih itu kini dah berada dalam sungai akibat gempa bumi.”
Sesungguhnya air mata Haili Salim tidak dapat dibendung apabila melihat rumah yang didiami bersama isteri dan enam anaknya musnah sama sekali dalam kejadian yang tak diduga itu.
Segala persiapan untuk menyambut hari raya katanya telah terkubur dan kawasan yang telah didiami sejak 20 tahun lalu itu telah pun diwartakan sebagai kawasan tidak selamat.
KEADAAN rumah Haili yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Mesilau, Kundasang
“Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana ketika kejadian, tidak ada seorang pun anggota keluarganya berada di dalam rumah tersebut.
“Kebetulan kami sekeluarga menumpang di rumah mentua kerana rumah tersebut sedang dibaikpulih untuk menyambut Hari Raya.
"Saya tak dapat bayangkan bagaimana kalau ketika itu, isteri dan anak-anak sedang berada dalam rumah itu,” katanya ketika ditemubual wartawan MalaysiaGazette sambil melihat rumahnya yang berada di dalam sungai di Kampung Mesilau, Kundasang.
Bercerita tentang kejadian yang mengejutkan itu, kata Haili, dia dimaklumkan oleh rakannya sebaik sahaja rumahnya runtuh ketika sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua.
HAILI bersyukur isteri dan anak-anaknya selamat
“Hati saya waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya bergegas pulang dan terkejut apabila melihat rumah saya sudah tiada di tempatnya tetapi di dalam sungai yang terletak kira-kira 70 meter ke bawah.
“Saya hubungi isteri dan waktu itu terasa seperti ingin terus bersujud kepada Tuhan apabila mendapat tahu mereka semuanya selamat.
“Bohonglah kalau saya tak sedih melihat keadaan rumah saya tetapi mengenangkan isteri dan anak-anak semuanya selamat, saya kembali tenang dan menganggap kejadian itu sebagai dugaan Tuhan untuk saya,” jelasnya.
Ujar Haili lagi, selain dirinya, rumah kakaknya yang berada di tanah yang sama juga turut musnah dan tidak dibenarkan tinggal di situ lagi.
MUSNAH. Hasrat Haili untuk berhari raya di rumah baharu kini berkecai.
“Kakak saya baharu sahaja mengeluarkan wangnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina rumahnya tetapi semuanya kini telah menjadi kenangan.
“Begitu juga dengan pinjaman bank yang dibuat untuk memperbesarkan tanaman kebun sayurannya kini terpaksa membayar hutang.
“Pihak bank hanya memberi peluang tidak perlu membayar sekarang tetapi selepas tiga bulan sebagai bayaran pertama. Bukan salah bank tetapi ini adalah takdir yang telah ditentukan,” katanya.
Apa pun kata Haili, walaupun pedih hatinya sukar diubati, hari raya tetap disambut bersama isteri dan anak-anaknya di rumah mentua.
“Kerajaan ada beri kami tapak baharu di tempat yang selamat dan kini saya sedang merancang untuk membina rumah di situ. Tunggulah jika ada duit lebih nanti baharulah rumah itu akan didirikan,” kataya.
Pemimpin Besar SABAH kaya raya ke hulu ke hilir dengan BENTLEY
ReplyDeleteUntong sokong nya Pak NAJIB
Mintak aja Pemimpin Besar sedekah USD1 MILION tuk rumah baru di LUYANG