Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, July 8, 2015

Siapa bocor maklumat siasatan kepada WSJ?

Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Kemas kini: Julai 08, 2015
Siapa bocor maklumat siasatan kepada WSJ?
Siapa bocor maklumat siasatan kepada WSJ? -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persoalan siapa bocor maklumat siasatan kepada Wall Street Journal (WSJ) dilihat akan terjawab selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan supaya siasatan penuh dibuat.

Misteri itu juga akan terjawab apabila gesaan Abdul Gani itu turut disokong Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Siasatan dijalankan selepas laporan yang mendakwa kira-kira RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib tersebar minggu lepas.

Isunya jika diteliti mungkin remeh selepas awal-awal lagi 1MDB sendiri sudah menafikan pernah menyalurkan dana ke akaun milik Najib.

Namun, persoalannya tetap berlegar di fikiran rakyat negara ini apabila Najib seolah-olah tidak dibiarkan tidur 'lena' oleh WSJ dan portal Sarawak Report yang berterusan menyerangnya dengan pelbagai dakwaan serta tuduhan yang 'dilihat' sahih.

Bagaimanapun, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa semua pendedahan WSJ atau Sarawak Report tidak boleh diterima kerana ia tidak disertakan dengan dokumen dan bukti yang kukuh, sekali gus kesahihannya boleh dipertikai.

Menarik apabila Abdul Gani sendiri mengaku isu ini bukan persoalan 'whistle-blowing' kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan.

Namun, apa yang dibimbangkan Abdul Gani adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri.

Najib juga mungkin boleh menghela nafas sedikit lega apabila Gani turut memberitahu perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai 2015 tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai olehnya.

Amaran yang ditimbulkan Abdul Gani nampak jelas, individu dalaman yang membocorkan maklumat sulit siasatan akan berhadapan kesalahan jenayah di bawah masing-masing seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Selain itu individu berkenaan turut berhadapan kesalahan jenayah di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Spekulasi sebelum ini juga dilihat diteruskan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membuka semula kes pembunuhan pengasas AmBank Hussein Ahmad Najadi yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013.

"Pihak polis seharusnya menyiasat sama ada betul atau tidak bahawa pada Mac 2013, Hussein telah dilaporkan ke Bank Negara mengenai sejumlah besar wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dan kemudiannya mengenai sejumlah besar wang yang dikeluarkan dari bank-bank tersebut.

"Dan Hussein telah membuat laporan polis tentang perkara itu pada 28 Julai 2013 apabila tiada sebarang tindakan daripada Bank Negara," dakwa Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Bagaimanapun Khalid pantas menafikan pembunuhan Hussain ada kaitan dengan siasatan yang dilakukan ke atas 1MDB.

Khalid turut dilaporkan berkata tidak akan menuruti saranan orang lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah yang memintanya untuk menahan atau menangkap individu tertentu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Rabu, portal Sarawak Report yang mendedahkan isu ini dilapor mengalami serangan siber, sesuatu yang dianggap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai 'pembalasan' terhadap tindakan laman web itu yang didakwa banyak melakukan pembohongan.

Isu siapa yang mendedahkan sumber juga pernah dibangkit Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu pihak berkenaan perlu mendedahkan sumber sebelum mengeluarkan laporan yang dikatakan sahih oleh mereka.

Klimaknya, Najib sendiri pada Rabu telah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada WSJ bagi meminta pengesahan mengenai laporan akhbar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri di dalam arahan surat itu juga meminta WSJ mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat dan menuduhnya menyalahgunakan dana milik 1MDB.

Najib juga pada akhir kenyataannya menegaskan tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

"Tuduhan Wall Street Journal merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong oleh pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO," jelasnya.

1 comment:

  1. Peguam yg mendakwa DSAI semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan diikuti pula di Mahkamah Persekutuan dulu, hanya dibayar ciput je.... Sudahlah begitu setelah berhempas pulas mengelentong demi kejayaan, tidak pula mendapat ganjaran sewajarnya.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa