Tuesday, October 11, 2016

Banjir Kelantan: Lumpur sudah lama kering tapi.......

Banjir Kelantan: Lumpur sudah lama kering, rumah belum ada
10 Oktober 2016 oleh Hafiz Zainuddin dan Fatih Hasan Nordin
Bencana banjir besar terburuk yang melanda Kelantan pada Disember dua tahun lalu sukar luput dari ingatan kita rakyat Malaysia.

Malapetaka ‘bah kuning’ yang telah melumpuhkan hampir keseluruhan bandar utama di negeri ini, khususnya di Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kota Bharu dan Machang, telah menyaksikan kemusnahan melampau harta benda dan infrastruktur termasuk telah meragut banyak nyawa.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai pihak dan agensi kerajaan, kumpulan-kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik dan individu tidak putus-putus menghulurkan bantuan berbentuk keperluan harian seperti makanan, pakaian, khemah-khemah penempatan sementara, khidmat kesihatan dan sebagainya.

Dua tahun sudah berlalu, Kelantan semakin pulih dan bangkit dari igauan ngeri bah terburuk yang pernah dialaminya. Rakyat negeri ini menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

Namun, di sebalik pembangunan baharu Kelantan pasca banjir itu, rupa-rupanya masih ada sebahagian mereka yang tercicir untuk dibela dan menerima bantuan wajar dari pihak berwajib khususnya bantuan perumahan.

Apa yang berlaku, mangsa-mangsa ini terpaksa hidup dalam pondok-pondok uzur yang dibina sendiri dan bagi pemohon yang gagal, mereka terpaksa

tinggal dalam pondok sementara dengan ahli keluarga mereka.

Roketkini bersama penyelaras Impian Kelantan Young Syefura Othman dan aktivis NGO Royalti, Saudara Fauzi pada kali ini berkesempatan melakukan ziarah, meninjau dan menyelami kehidupan masyarakat pasca banjir di dua kawasan yang teruk terjejas iaitu di Kuala Krai dan Gua Musang.

“Deposit jelas, permohonan dah hantar pejabat tanah, tapi tak dapat-dapat.”

Begitu luahan Mohd Shukri Wahab, 34, yang ditemui di Kampung Manek Urai Lama mewakili ayah mertuanya Abdul Wahab Ibrahim (Pak Wahab) yang berusia lebih 60 tahun yang sudah beberapa hari di luar kawasan atas urusan keluarga di Perak.

Kami berasa sayu melihat keadaan rumah yang begitu uzur dibina menggunakan kayu-kayu hanyut, sebahagian dindingnya berlubang-lubang, comot, malah kesan banjir di tapak rumahnya masih jelas kelihatan.

Lebih memilukan, isteri Pak Wahab, Siti Rohany binti Mat Jusoh mengidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis.

Turut sama berada di lokasi rumah Pak Wahab ialah Ketua PAS Cawangan Kederang, Che Aziz bin
Che Haron yang bertindak sebagai jurupandu dan aktivis bersama seorang aktivis Royalti Mohd Zain Yacob yang mesra dipanggil Tok Penggawa (Tok Gawo).

Menurut Che Aziz, sepatutnya pihak kerajaan baik negeri atau persekutuan tidak mempunyai masalah untuk meluluskan bantuan rumah kepada keluarga Pak Wahab itu kerana mereka sememangnya berkelayakan.

“Janganlah sampai jadi begini sebab ‘orang’ marah ke dia bila dia kritik kerajaan kepada media. Bila dalam tekanan, siapa-siapa pun boleh terkeluar marah. Kita sendiri pun macam tu. Lagi-lagi bila tengok semua orang dah dapat (rumah).

“Bila saya sendiri tolong dia, orang marah ke saya. Orang tuduh kita nak menghuduhkan (memburukkan) kerajaan. Kita bukan nak huduhkan kerajaan, kita nak tolong atas dasar kemanusiaan, kita nak tolong atas apa yang mampu, kalau ada orang nak kumpul dana, buatlah.


“Saya ni ada hati ada naluri ada kesedihan, masalah salah tu siapa-siapa pun buat salah dalam dunia ni, tak ada yang betul sokmo, kalau kerajaan buat salah, carilah penyelesaian, jangan abaikan begini, selama mana kita nak abai?” soal Che Aziz.

Tok Gawo mencelah, katanya proses kelulusan bantuan rumah boleh sampai berbelas-belas tahun.

Namun, mengapa dalam kes ini, Pak Wahab masih belum menerima sebarang khabar dan bantuan sedangkan penduduk lain sudahpun menerima bantuan.

“Dia (Pejabat Tanah) kalau proses ni boleh sampai belas-belas tahun, tapi orang lain sudah dapat rumah. Nampaknya macam kena tunggu dua penggal bertanding (pilihanraya),” jelasnya berseloroh.

Rumah kontena keluarga 10 beranak

Dari rumah Pak Wahab, kami kemudian dibawa ke sebuah rumah lagi di Simpang Tiga Manek Urai Lama.

Kali ini, kami menyaksikan keperitan sebuah keluarga 10 beranak yang menyewa di sebuah rumah kayu yang uzur sebanyak RM100 sebulan kerana tidak mampu tinggal dalam kontena kecil yang dijadikan penempatan sementara setelah rumah mereka dihanyutkan air.

Bapa kepada sembilan anak itu, Raja Kechik bin Raja Yusof, 48, berkata walaupun tanahnya memiliki geran, beliau hairan mengapa masih belum menerima jawapan dari Pejabat Tanah.

“Memang ada mintak rumah, isi semua borang, isi Borang A, hantar ke pejabat tanah melalui Tok Penghulu sebab dia yang datang banci.

“Bila sampai sekarang tak ada jawapan, saya hairan,” katanya.


Raja Kechik menjelaskan beliau menerima berita secara lisan bahawa rumahnya sudah diluluskan dan sudah siap dibina.

“Saya tanya Penghulu, dia kata saya dapat di Kampung Peria (kawasan yang sama), dia cakap mulut saja, bila tanya bila akan dapat, dia kata awak tunggulah. Tapi lepas tu saya dengar semua rumah tempat tu dah siap dan orang duduk.

“Bila saya tanya balik Penghulu, dia cakap nantilah saya proses balik (permohonan rumah),” jelasnya.

Dalam keadaan ini beliau berharap supaya masalahnya dapat diselesaikan memandangkan sudah lebih dua tahun keluarganya terpaksa hidup dalam keadaan daif akibat ketiadaan rumah yang sempurna.

Pasukan kami bersimpati terhadap perkara yang menimpa keluarga Raja Kechik.


“Saya nak bertanya kepada kerajaan pusat mahupun negeri mengapa perkara sebegini boleh berlaku, apa masalahnya dan mengapa keluarga-keluarga ini boleh terlepas pandang?” soal Young Syefura.

Menurut Rara, agensi berkenaan perlulah turun padang menyelia dan membuat pemantauan terhadap masalah sebegini, memandangkan kebanyakan keluarga yang terjejas adalah dari kalangan keluarga miskin dan kurang mampu.

“Saya amat sedih melihat apa yang berlaku ke atas keluarga-keluarga ini, pihak Impian Kelantan akan terus membuat tinjauan dan akan cuba mencari jalan, membuat semakan semula supaya penduduk yang terlepas pandang ini mendapat keadilan sewajarnya,” kata beliau.

Berdasarkan pemerhatian dan pendedahan mangsa, wujud isu kelemahan penyampaian kerajaan dan isu pilih kasih dalam pemberian bantuan perumahan mangsa banjir Kelantan.

Lebih malang, ia berlaku akibat perselisihan politik dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Kami kemudian meneruskan perjalanan kami ke Gua Musang untuk menyusuri beberapa buah lagi keluarga yang terjejas akibat banjir.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa