Sunday, October 16, 2016

Di Sebalik Tuduhan Najib: Telahan Kadir Jasin

SATURDAY, OCTOBER 15, 2016
Muslihat Di Sebalik Tuduhan Mohd Najib
A Kadir Jasin

APAKAH muslihat Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak membuat kenyataan mengenai “dua individu” yang dituduhnya mengganggu dan mengancam perpaduan negara?

Dua individu yang dituduh berniat jahat tetapi tidak dinamakan itu tidak lain tidak bukan adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adakah Mohd Najib membuat kenyataan di radio Astro Awani itu kerana (1) Majlis Raja-Raja bersidang (2) Dr Mahathir dan Anwar saling sokong menyokong bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasioal dan (3) menyiapkan landasan untuk menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru dikuatkuasakan?

Sebelum Majlis Raja-Raja bersidang minggu ini, Dr Mahathir telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mengutus surat kepada Raja-Raja Melayu yang lain bagi mempersembahkan Deklarasi Rakyat.

Dr Mahathir berjumpa dan berbincang dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 5 September lalu dan seterusnya mengemukakan afidavit menyokong saman Anwar bagi menghalang pelaksanaan Akta MKN.
Pertemuan 5 September

Ini disusuli oleh “perisytiharan perdamaian” antara Dr Mahathir dan Anwar serta kesepakatan bahawa mereka akan berusaha ke arah melancarkan serangan bersepadu atas prinsip satu-lawan-satu ke atas BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin juga menemui Anwar selepas itu bagi memperkukuh rangka kerjasama blok pembangkang.

Atau apakah serangan baru ke atas Dr Mahathir dan Anwar itu helah untuk mengalih pandangan rakyat jelata daripada gunung berapi 1MDB yang semakin ganas ledakannya?

Pada 12 Oktober, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) mengarahkan penutupan Falcon Private Bank atas alasan kelemahan kawalan dan salah laku berkaitan urus niaga yang melibatkan 1MDB.

Dalam kenyataannya, MAS berkata bank persendirian Swiss itu telah mempamerkan kegagalan besar menyekat perbuatan mengalihkan wang haram (money laundering) dan salah laku oleh pengurusan kanannya di Switzerland dan Singapura.

Mei lalu MAS telah menutup BSI Bank yang juga berpangkalan di Switzerland atas sebab yang serupa. Kerosakan kolateral 1MDB sudah menjadi fenomena global.

Tetapi ini mungkin sebab sampingan sahaja kerana Umno dan para penyokong Mohd Najib nampaknya menerima perbuatan haram oleh 1MDB yang beliau sendiri asaskan dan kawal sebagai perkara biasa atau sekadar fitnah.

Jadi kesangsian yang lebih mendalam ialah beliau sedang menyediakan alasan untuk menggunakan Akta MKN dengan menuduh Dr Mahathir dan Anwar berpakat melakukan hasutan bagi memecahbelahkan perpaduan kaum dan mengancam keselamatan negara.

Mohd Najib membuat tuduhan berat ini di saat-saat kegiatan provokasi oleh penyokong-penyokong Baju Merah beliau semakin rancak dan kasar. Dalam beberapa kejadian, perbuatan Baju Merah sudah boleh ditakrifkan sebagai ganas.

Apa pun alasan tersirat dan tersurat Mohd Najib dalam membuat tuduhan di Radio Astro itu dan apa jua tindak-tanduk beliau seterusnya, satu perkara yang jelas dan sahih ialah kelangsungan peribadi adalah matlamat pokok Mohd Najib buat masa ini.

Dengan apa cara sekalipun “survival” akan dipertahankan.

Dalam konteks ini, setiap daripada kita yang sedang berusaha menyelamatkan negara dan mengalihkannya daripada landasan kemusnahan hendaklah sentiasa berhati-hati dan sedar bahawa kita berdepan dengan suatu kuasa hitam - dark force - yang sangat berbahaya. Moga-moga Allah berikan petunjuk dan kejayaan kepada kita.

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 5:21 AM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa