Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 18, 2016

Hudud Terhad: Aku harap depa jadi kawin

HUDUD TERHAD: UMNO DAN PAS SUDAH BOLEH BERSALAMAN
Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

Selama ini, nampaknya penghalang terbesar kerjasama antara UMNO dan PAS yang disebut adalah pelaksanaan hudud. (Sebenarnya, yang lebih besar, tetapi tidak disebut secara terbuka adalah kepentingan diri.)

PAS tidak mahu berganjak daripada perjuangannya untuk melaksanakan hudud seolah-olah ia adalah satu-satunya ukuran sama ada sebuah negara itu “negara Islam” atau tidak.

UMNO pula serba salah. Di satu sudut, ia takut dituduh menentang hudud yang akan menyebabkan pengundi-pengundi Melayu/Islam lari kepada PAS. Oleh itu, ia ingin menunjukkan bahawa ia juga menyokong pelaksanaan hudud. Di sebaliknya, ia takut pula kepada parti-parti sekutunya yang bukan Islam yang terang-terang menentang pelaksanaan hudud. Jika mereka menarik diri dari BN, UMNO akan kehilangan langsung pengundi bukan Melayu/Islam. Akibat kedua-duanya kepada UMNO adalah serius.

Perkembangan politik tanah air dalam beberapa tahun di kebelakangan ini menampakkan PAS telah renggang daripada sekutu pakatan pembangkang. PAS juga mungkin telah sedar bahawa bagaimana tak-islamnya sekalipun UMNO, UMNOlah yang paling berkemungkinan menyokong usaha PAS untuk melaksanakan hudud. UMNO juga menghadapi ancaman daripada sekutu-sekutunya, baik di Semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, UMNO dan PAS mula nampak tentang kemungkinan keduanya bekerjasama. Jalannya semakin terbuka selepas kematian Dato’ Nik Aziz dan keluarnya kumpulan Mat Sabu daripada PAS. Majoriti orang Melayu/Islam pun suka melihat kedua-dua parti itu bekerjasama.

Selain daripada masalah pembahagian kerusi, UMNO tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan PAS. Ia tidak ada masalah ideologi.

Tetapi, PAS mempunyai masalah. Pertama, PAS masih merasa pedih kerana telah dikeluarkan daripada BN. (Walau bagaimanapun, faktor ini tidak lagi menjadi penghalang terbesar lagi selepas kematian Nik Aziz.)

Kedua, modal politik PAS yang paling besar adalah hudud. Hudud adalah janji politik yang murah. (Tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk menunaikannya dan ia meraih undi. Jika ia tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan Perlembagaan dan undang-undang, PAS boleh menyalahkan UMNO.) Maka, PAS tidak boleh mengetepikan perjuangannya untuk melaksanakan hudud. Ia mesti hidup dan mati dengan hudud, sekurang-kurangnya itulah gambaran yang perlu dipertahankan. Maka PAS tidak boleh bertolak ansur mengenai hudud, termasuk untuk bekerjasama dengan UMNO.

Untuk menunjukkan kesungguhannya untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam (termasuk hudud dan qisas), dalam tahun 1993, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (Kelantan) 1993. PAS tahu ia tidak mungkin akan boleh dilaksanakan, tetapi ia adalah modal politik yang besar yang pasti menarik pengundi Melayu/Islam, apatah lagi di Kelantan.

Ia tersadai selama 20 tahun. Kemudian, dalam tahun 2013, apabila Brunei mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, ia menarik perhatian semula. Buat kali pertama, saya melihat Enakmen itu. Dalam ucapan-ucapan saya yang bermula dalam bulan Januari 2014, saya mengatakan bahawa Enakmen itu tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan tidak sah kerana DUN Kelantan telah membuat undang-undang (legislate) mengenai undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Anehnya, pandangan saya itu diterima oleh PAS. Maka PAS cuba mencari jalan untuk mengatasinya. Maka, timbullah cadangan untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen.

Tetapi, entah atas nasihat perundangan oleh siapa, sebelum berbuat demikian, dalam tahun 2015, PAS telah membuat sedikit pindaan pada Enakmen itu. Saya ulangi bahawa Enakmen itu tetap tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan tidak sah atas alasan yang sama. Dalam satu seminar, saya bertanya: mengikut Mazhab Syafie, sahkah jika seorang qadi menikahkan seorang perempuan tanpa mendapat keizinan walinya terlebih dahulu dan selepas itu baru hendak mencari wali? Peserta ketawa.

Biar apa pun, sekarang PAS telah mengemukakan satu usul untuk meminda Akta 355 untuk membuang sekatan yang menghalang pengenaan hukuman hudud, selain daripada hukuman mati.

Pada mulanya, niat sebenar PAS kurang jelas. Adakan ia hendak mengesahkan Enakmen 1993 itu secara retrospektif yang termasuk kesalahan-kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan atau adakah ia akan membawa Enakmen itu ke DUN untuk diluluskan semula atau hanya separuh daripadanya?

Selain daripada mengulasnya dalam beberapa ucapan saya, saya menulis beberapa rencana mengenainya. Dua daripadanya disiarkan dalam The New Straits Times dan Utusan Malaysia. Kemudian, pada 5 Oktober 2016, Harakah Daily memuatkan satu kenyataan media yang bermula dengan:

“Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pandangan Tun Abd Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara, yang dibuat melalui 2 Artikelnya bertajuk: “Amendment To Act 355; The Real Effect” bertarikh 29/9/2016 dan “Thoughts On PAS Private Bill” bertarikh 2/6/2016”

dan berakhir dengan

”JUHAM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan berbanyak terima kasih kepada Tun Hamid atas kedua-dua tulisan tersebut. Ia adalah pencerahan tuntas dan mudah difahami oleh rakyat terbanyak khususnya bagi yang tidak memiliki latar belakang perundangan. JUHAM berharap pandangan Tun Hamid dapat menjernihkan kekeliruan dan menyumbang kepada pencerahan RUU355 serta kejayaan pelaksanaannya.”

Dalam kenyataan itu, JUHAM nampaknya bersetuju sepenuhnya dengan semua butiran yang saya sebut dalam rencana-rencana saya itu. Paling penting ialah JUHAM menerima bahawa:

“(e) Tiada apa-apa kesalahan baru boleh diperkenalkan oleh mana-mana Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri di luar daripada Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Tegasnya jenis kesalahan masih sama, namun had hukuman bagi kesalahan yang sama dapat dipertingkatkan;” ...

“(g) Dalam apa keadaan sekali pun, Akta 355 hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja dan langsung tidak melibatkan bukan Islam ...”

“(j) Hudud dan Qisas secara lengkap dan sempurna tidak mungkin dapat dilakukan sekalipun RUU355 diluluskan oleh Parlimen. Pakej lengkap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 1993 (Pindaan 2015) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ...”

Jika itulah pendirian PAS, maka nampaknya PAS memahami dan menghormati peruntukan Perlembagaan dan bersedia untuk berbuat sesuatu hanya dalam lingkungan Perlembagaan. Ertinya, PAS telah mengambil pendirian yang realistic dan bukan lagi rhetorik.

Jika itulah pendirian PAS, bagi saya tidak ada apa-apa masalah lagi bagi UMNO untuk bersetuju menyokong cadangan pindaan Akta 355 itu, tertakluk pada gubalan yang betul, jika ia mahu bersetuju. Dengan itu, UMNO boleh menunjukkan kepada pengundi-pengundi Melayu/Islam bahawa ia juga menyokong pelaksanaan hudud. Parti-parti sekutu UMNO tidak boleh membantah kerana, jika selepas itu, DUN Kelantan membuat undang-undang untuk mengenakan hukuman hudud kepada beberapa kesalahan yang tertentu itu pun, ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Bagi PAS, ia boleh menunjukkan kepada penyokong-penyokongnya bahawa perjuangannya untuk melaksanakan hudud telah berjaya. Bahawa ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya bukan salahnya. Sebaliknya, PAS boleh menyalahkan Perlembagaan, Kerajaan Persekutuan dan UMNO.

Dari segi politik, UMNO dan PAS sama-sama “menang”. Bagi kedua-duanya, ia akan menjadi langkah penting dalam kerjasama selanjutnya, antara mereka. Kebanyakan orang Melayu/Islam akan menyambut baik perkembangan itu.

Dalam kata-kata lain, UMNO dan PAS sudah boleh bersalaman. Jika mereka ingin saya menjadi saksi, saya bersedia.

Tetapi, bagi saya, apa yang lebih penting ialah hakikat bahawa persetujuan dalam hal ini akan membuka jalan begi UMNO dan PAS bekerjasama dalam PRU 14 untuk menyelamatkan kerajaan yang ada sekarang di peringkat Persekutuan, dan apa yang boleh dilakukan selepas itu. Selepas itu, saya harap kedua-duanya akan bersama-sama menumpukan perhatian kepada isu-isu kenegaraan yang lebih besar daripada pelaksanaan sejenis hukuman jenayah. Mereka patut menumpukan perhatian kepada usaha menjadikan Malaysia sebuah negara moden Islam contoh dengan pencapaian maqasid al-syariah yang paling tinggi dan menjadi pemimpin ulung dunia Islam di abad ini. Ini bukan impian. Kita sudah pun berada di hadapan dalam banyak perkara. Malangnya kepentingan politik kepartian menyebabkan kita memperkecil-kecilkan pencapaian kita sendiri.

12 Oktober 2016

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa