Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 11, 2016

Penendang setan merah: Komen Naib Presiden PAS.....

PAS: Penendang bukan jawapan pada BERSIH

Jika kumpulan baju merah mahu menyaingi kempen BERSIH 5 yang kini digerakkan melalui siri jelajah konvoi mereka, ia perlu dilakukan dengan lebih bertamadun, kata PAS.

Naib presiden parti itu Idris Ahmad berkata penendang bukanlah jawapan kepada kempen dilaksanakan BERSIH ketika ini.

"Sekarang zaman milenium baru, bukan cara berpolitik tahun 1960-an yang bersifat barbarian.

"Politik hujah melawan hujah, program lawan program. Bukan konvoi lawan penendang.

"Baju merah boleh kerah sebanyak mungkin (penyokong mereka) untuk buat seperti konvoi BERSIH 5. Bukankah negara kita negara demokrasi?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia disiarkan portal rasmi PAS,Harakahdaily.

Semalam berlaku kekecohan di beberapa tempat membabitkan kumpulan penyokong BERSIH 5 dan baju merah.

Antara paling serius ialah serangan tendangan terbang ke atas penunggang motosikal berbaju kuning di Sabak Bernam, Selangor.

Selain ditendang, mereka juga dilempar telur ketika dikepung beramai-ramai oleh penyokong baju merah.

Malaysiakini pada 6 Oktober lalu menyiarkan laporan mengenai kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz yangmenafikan tindakan kumpulan itumelambangkan sikap parti terbabit.

Walaupun Umno mengeluarkan kenyataan begitu, kehadiran pemimpin kumpulan itu seperti Datuk Seri Jamal Md Yunos menyebabkan tindakan mereka dikaitkan dengan parti berkenaan.

Jamal adalah ketua Umno Sungai Besar.

Pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu sedang menjalankan kempen mengajak orang ramai turun ke Kuala Lumpur pada 19 November ini untuk menjayakan perhimpunan BERSIH 5.

PAS bagaimanapun berpendirian untuk tidak menyertainya walaupun pada prinsip mereka menyokong matlamat asal gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, BERSIH 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti Islam itu pada masa kini.

Idris berkata tindakan penyokong baju merah menyerang dan menendang pasukan konvoi BERSIH 5 perlu dikutuk.

Pada masa sama katanya orang ramai diminta tidak membawa budaya samseng dalam politik Malaysia.

"Walaupun PAS tidak sertai perarakan BERSIH 5, bukan bererti PAS menyokong tindakan tidak bertamadun ini. PAS juga bersetuju dengan tuntutan BERSIH untuk (amalan) pilihan raya adil.

"PAS menentang sebarang bentuk kezaliman dan tindakan tidak bermoral. Kerana ini merupakan ajaran Islam sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Bantulah saudara kamu yang dizalimi.

"Jangan biarkan budaya samseng ini menular dalam masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa