Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 7, 2016

Selesai isu tanah rakyat, jangan bergantung hasil balak

Selesai isu tanah rakyat, jangan bergantung hasil balak
07 Oktober 2016 | MALAYSIA DATELINE
Che Ibrahim Mohamed. Foto Roketkini

Kerajaan Negeri Kelantan mampu menjana ratusan juta ringgit pendapatan setahun sekiranya isu hak pemilikan tanah yang membelenggu rakyat di negeri itu selama puluhan tahun lalu diselesaikan dengan segera.

Menurut Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Kelantan Che Ibrahim Mohamed, hampir seratus peratus lot dusun dan tapak perumahan yang dibuka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) sekitar tahun 1960 masih belum diberi hak milik.

Ia melibatkan 27 tanah rancangan di seluruh negeri berkenaan dan membabitkan lebih daripada 10,000 peneroka, antaranya kawasan kemajuan tanah Mengkebang, Tujuh Puteri dan Jelawan.

“Saya difahamkan oleh pegawai Pejabat Jabatan Tanah dan Galian, sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan berjaya menyelesaikan isu hak milik tanah ini, kerajaan negeri akan dapat memungut sekurang-kurangnya RM100 juta hasil tanah setahun.

“Sekarang ini tuntutan hasil tanah negeri adalah sekitar 25 juta setahun,” katanya dalam wawancara bersama Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang meminta supaya kerajaan pusat yang ditadbir Umno memberikan royalti minyak kepada negeri itu sebelum aktiviti pembalakan dapat dihentikan.

Bekas menteri kabinet yang juga peguam kanan, Datuk Zaid Ibrahim pula menyifatkan kerajaan Pas negeri sebagai malas kerana menjadikan aktiviti pembalakan sebagai sumber utama negeri.

Isu pembalakan di Kelantan menjadi perhatian baru-baru ini selepas kawasan penempatan Orang Asli di Pos Gob di Gua Musang diganggu oleh pembalak yang mendakwa mendapatkan lesen yang sah untuk melakukan kerja-kerja pembalakan.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, sebahagian besar penduduk di Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang tidak diberi hak milik tanah atau geran meskipun telah menduduki kawasan tersebut berpuluh-puluh tahun.

“Sepatutnya kena selesailah (isu tanah ini) sebab apabila kerajaan beri geran hak milik tanah kepada tuan tanah, kerajaan akan dapat memungut hasil tanah. Bila tidak ada geran, kerajaan tak dapat pungut hasil tanah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hak royalti minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan harus tetap dituntut.

“Itu (royalti minyak) sebahagian sahaja, sebelum kita mendapat hasil daripada royalti, kita selesai dulu pasal masalah yang kita dapati sekarang (isu pemilikan tanah),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa