Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 2, 2016

Siasat samseng balak yang bermaharajalela - PSM

SIASAT SAMSENG BALAK YANG BERMAHARAJALELA!
HORMATI TANAH ADAT ORANG ASLI!

PSM menggesa agensi-agensi kerajaan mengambil berat terhadap insiden yang berlaku pada hari Rabu, 28/9/2016 di kawasan Orang Asli Pos Tohoi/Pos Simpor di Daerah Gua Musang Kelantan di mana  sekumpulan lelaki yang dipercayai ‘samseng’ daripada syarikat pembalakan memakai kekerasan terhadap masyarakat tempatan untuk meneruskan dengan kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Mengikut laporan di surat khabar STAR hari ini (30/9/2016), pihak pembalak telah memakai pemotong berantai ! chainsaw untuk memecahkan blockade yang didirikan oleh Orang Asli tempatan dan dalam itu hampir memotong kaki seorang ahli masyarakat orang asli tempatan.

Golongan ini juga dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan. Ada juga dilaporkan bahawa 3 orang lelaki yang memakai ves polis telah “menangkap” beberapa pemimpin masyarakat tempatan dan mereka ditahan dalam kenderaan milik pembalak. Perkara ini juga telah diakui benar oleh KPD Gua Musang (Star 1/10/16) tetapi mempertahankan tindakan polis sebagai meredakan situasi di situ.

Tindakan polis yang mencurigakan !

Apa yang pelik ialah anggota-anggota polis ini tiba di blokade dengan bukan dengan kenderaan polis. Kenyataan KPD Gua Musang dan tindak-tanduk anggota polis mewujudkan prasangka berkenaan hubungan diantara IPD Gua Musang dengan tauke pembalak di kawasan ini.

PSM mahu pihak polis ambil tindakan segera untuk memastikan perkara-perkara berikut:

 Adakah anggota polis yang berada di blokade ketika insiden menjalankan tugas rasmi ataupun bertindak bagi pihak pembalak ?
Siapakah yang melepaskan tembakan senapang di situ?
Adakah dia pegang lesen yang sah? 
Adakah lesennya membenarkannya melepaskan tembakan dalam situasi di mana wujud pertengkaran diantara Orang Asli dan syarikat pembalakan? 
Adakah polis bercadang membatalkan lesen senapang orang yang terlibat? 

Penembak ini boleh dikenalpasti dalam video yang telah diserahkan kepada polis dan juga yang diterbitkan oleh The Star TV (http://www.thestartv.com/episode/exclusive-thugs-breaks-up-orang-asli-blockade-with-chainsaw/)

Mengapa 3 aktivis OA ditahan dalam kenderaan milik pembalak?

Kerajaan Kelantan gagal membela hak Orang Asli!

Kerajaan Kelantan perlu kaji semula keputusan meluluskan lesen pembalakan di kawasan yang dituntut sebagai wilayah adat OA di Gua Musang. PSM juga mahu Kerajaan Negeri Kelantan bertindak segera untuk memastikan perkara-perkara berikut:

Adakah syarikat pembalak memegang lesen untuk melakukan pembalakan di kawasan itu?
Adakah syarikat pembalakan telah menjalankan pembalakan di luar kawasan konsesinya?
Adakah syarikat pembalakan dibenarkan masuk ke kawasan tanah adat masyarakat Orang Asli tempatan? 

Jika ya, adakah OA telah dirunding dahulu? 
Jika dikatakan telah mendapat persetujuan JAKOA, adakah betul JAKOA mewakili kepentingan penduduk di sana?

Adakah konsesi pembalakan melibatkan hutan yang terletak kurang daripada 5 kilometer daripada kampong-kampung Orang Asli tempatan

Sudah 6 bulan lebih memorandum diberikan, masih menunggu tindakan!

Kerajaan Negeri Kelantan tidak harus mendiamkan diri dan berharap isu-isu ini akan selesai dengan sendirinya. Biro OA PSM bersama JKOASM (Jaringan Kampung OA Semenanjung Malaysia) telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kelantan pada 30/3/2016 terhadap isu Tanah Adat Orang Asli di Lojing secara khususnya dan Gua Musang secara amnya tetapi sampai sekarang belum dijemput untuk mesyuarat dengan pihak kerajaan terhadap keluhan-keluhan mereka.

Surat jawapan yang diterima bertarikh 24/4/16 hanya dapat nyatakan bahawa MB kurang sihat dan tidak dapat bertemu.Tiada apa-apa jawapan lain walaupun dua surat telah dihantar selepas itu.

Memorandum kepada Ketua Jajahan Gua Musang pada  25/7/2016 juga tidak mendapat apa jua tindakan. Mengapa kelewatan dalam mengendalikan isu penting ini sehingga berlaku pertempuran antara syarikat pembalakan dan masyarakat tempatan?

PSM menyeru pada Kerajaan Negeri Kelantan untuk menangguhkan segala aktiviti pembalakan di kawasan Pos Tohoi/ Pos Simpor sehingga isu-isu yang disenaraikan di atas dapat disiasat dan di selesaikan melalui perbincangan dengan masyarakat tempatan. Di samping itu, isu pencerobohan wilayah adat OA di Lojing juga perlu dihentikan sehingga penyelesaian dicapai.

PSM ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Kelantan bahawa kuasa kerajaan Negeri di bawah Kanun Tanah Negara merupakan suatu amanah suci yang sepatutnya dipakai untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat Kelantan termasuk masyarakat Orang Asli dan bukan untuk mencari keuntungan untuk pihak syarikat pembalakan ataupun Kerajaan Negeri.

Menteri Wan Junaidi tak peka isu hak orang asli

PSM tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Alam Sekitar (The Star 1/10/2016) yang menafikan bahawa OA tidak mempunyai hak ke atas wilayah adat OA kerana tidak diiktiraf oleh undang-undang Malaysia.

Malah, kenyataan beliau bahawa OA adalah penduduk haram (squatters) dan hanya negeri (state) yang memiliki tanah; menunjukkan betapa ceteknya pemahaman beliau sebagai seorang Menteri.

OA telah wujud di bumi Malaysia sebelum kedatangan mana-mana manusia yang lain. Ini juga telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia melalui menandatangani United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples 2007 (UNDRIP).

Kenyataan beliau bahawa OA menggunakan taktik 'militancy' juga merupakan satu kenyataan yang memesongkan pembaca. Blokade di Pos Tohoi/Pos Simpor merupakan langkah terakhir selepas semua jalan lain gagal menyelamatkan hutan mereka. Provokasi dan kekerasan di blokade dimulakan oleh pembalak dan polis dan bukannya OA sendiri.

PSM juga ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi/Pos Simpor. Kita semua mempunyai tanggung jawab untuk memastikan semua lapisan masyarakat Malaysia dilayan secara yang adil terutamanya golongan-golongan terpinggir seperti masyarakat Orang Asli Gua Musang.      

Suresh Kumar
Biro Orang Asli
Parti Sosialis Malaysia
1/10/2016

1 comment:

  1. Barangkali bagi pilis2 tu tokey balak yg bayar gaji meteka bukan rakyat...semoga Allah menghukum nereka dengan berat kerana tidak jujur dalam tugas...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa