Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, July 4, 2015

“Kejayaan” Nik Aziz tidak dipedulikan: Kebanyakan pimpinan PAS rupa-rupanya sedang tersilau akan tarikan yang lain

Tiga perkara utama dalam kepimpinan Nik Aziz
Posted on Friday, July 03 @ 10:03:45 MYT by paktam
Oleh Dinsman
Saya diminta berbicara mengenai buku ‘Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan’ untuk program baru yang diadakan di Madinah Ramadan, Kota Baru, menjelang waktu berbuka puasa pada 29 Jun 2015. Alhamdulillah.

Buku ini ditulis pada 2012 dan diterbitkan awal 2013, waktu Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat masih menteri besar Kelantan.

Judulnya ‘Kelantan 22 Tahun’, bukan ‘Kelantan 23 Tahun’; sedangkan Nik Aziz mentadbir Kelantan selama 23 tahun, apabila dia mengundurkan diri selepas PAS berjaya mempertahankan kemenangannya di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.


Hari ini mengenang kembali tema buku itu – bukti kejayaan – saya cuba menyemak pemikiran sendiri apakah yang segera hadir apabila hal itu dikenang dan diapresiasi.

Tidak lain yang segera hadir pertamanya ialah sebuah kerajaan Islam yang dibangunkan Nik Aziz, secara perlahan-lahan selangkah demi selangkah, hingga akhirnya ia hampir sempurna sebagai sebuah pentadbiran Islam; walaupun masih tertakluk kepada beberapa peraturan pentadbiran dan undang-undang sekular yang ditentukan dan dikawal Kerajaan Persekutuan. 

Teringat saya kepada kata-kata seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang senior waktu ditemuramah untuk video dokumentari ‘20 Tahun Membangun Bersama Islam’ – Omar Muhamad: “Mana lagi yang kurangnya Islam dalam pelaksanaan di negeri ini?”

Lebih kurang begitulah.

Maksudnya, para alim ulama di Kelantan sentiasa bersama dengan Nik Aziz bagi memastikan yang Islam dilaksanakan di negeri itu semaksimum yang termampu.

Memang hudud belum dilaksanakan. Ada -masalah tertentu menghalang pelaksanaannya. Namun itu tidak mengganggu Nik Aziz melaksanakan hal-hal lain yang difikirkannya (berdasarkan keilmuan Islamnya) perlu dilaksanakan, bagi membangunkan sebuah masyarakat Islam dan sebuah pentadbiran Islam yang terbaik dan termampu dilakukannya.

Hampir sempurna sebagai sebuah kerajaan dan pentadbiran Islam, dengan pendekatan Nik Aziz yang tersendiri.

Tidak dinafikan ada kelemahannya, tetapi kejayaannya jauh lebih besar dan penting; malah dilihat dalam konteks perjuangan umat Islam di seluruh dunia. Inilah intipati dan mesej yang dikemukakan dalam buku itu, dengan menyifatkannya sebagai “bukti kejayaan” kepemimpinan Nik Aziz, dan juga sebagai suatu pencapaian tertinggi yang dicapai dalam perjuangan PAS selama ini.

Sayangnya kerana sebab-sebab tertentu (yang menjadi terserlah selepas Nik Aziz meninggal), “bukti kejayaan” ini tidak begitu diberi perhatian oleh kebanyakan pimpinan PAS, yang rupa-rupanya sedang tersilau tarikan yang lain.

Hari ini, akibatnya, ternyata mereka sedang menghadapi masalah dan krisis paling besar dalam sejarah parti tersebut; (dan eloklah kita tidak bercakap mengenainya).

Itu yang pertama – sebuah kerajaan Islam sebagai produk atau hasil daripada perjuangan, pemikiran, pentadbiran dan kepemimpinan Nik Aziz.

Yang kedua ialah soal definasi tugas dan tanggungjawab Menteri Besar itu sendiri.

Siapakah Nik Aziz atau Tok Guru Nik Aziz itu yang sebenarnya?

Dia ialah seorang ‘tok guru’. Sewaktu hadir buat pertama kalinya ke pejabat Menteri Besar (Oktober 1990) untuk mengambil tempat sebagai ketua pentadbir bagi sebuah negeri, dia adalah seorang ‘tok guru’.

Mengikut Pegawai Kewangan Negeri pada waktu itu (Datuk Abdul Razak Salleh), Nik Aziz belum lagi dipanggil Tok Guru pada waktu itu.

Dia dipanggil Ustaz Nik Aziz, dan orang ramai kenal dia sebagai seorang ustaz atau guru agama yang kerja utamanya ialah mengajar agama.

Dan dia seorang yang dihormati masyarakat kerana keperibadian dan akhlaknya, yang berpegang kuat dengan prinsip-prinsip agama.

Jadi Nik Aziz hadir ke pejabat menteri besar bagi kali pertama untuk bertugas itu, dilihat oleh pegawai-pegawai kerajaan waktu itu, dia adalah seorang ulama dan guru agama, dan bukan sebagai tokoh politik. (Ini dijelaskan dalam bab pertama buku itu).

Orang boleh saja melihat itu sebagai satu kebetulan, tetapi bagi saya itu bukan kebetulan.

Itulah Nik Aziz menteri besar yang baru, yang bukan saja membawa imej baru (dengan serban dan baju Melayunya) tetapi juga memberi definasi baru kepada jawatan menteri besar.

Nik Aziz sebagai menteri besar tidak sama makna, tugas dan tanggungjawabnya dibandingkan dengan menteri besar atau ketua menteri yang lain.

Apa bezanya? Banyak bezanya. Pertama, dia seorang guru agama dan imam solat, dan terus menjalankan tugas-tugas itu sebagai tugas utama menteri besar.

Bangun pagi setiap hari tugas pertamanya ialah menjadi imam solat subuh di masjid di sebelah rumahnya, dan kemudian memberi tazkirah selepas solat itu.

Ini dilakukannya sejak belum menjadi menteri besar lagi, dan terus dilakukannya sepanjang masa menjadi menteri besar, dan hingga selepas itu pun.

Pada hari Jumaat pula dia memberi kuliah Tafsir Al-Quran (dengan pendekatan terkini) di tengah-tengah bandar Kota Baru.

Ini diakuinya suatu tugas yang penting, yang dia sentiasa mempastikan hadir kecuali ada hal yang tak dapat dielak.

Dan ini juga dilakukannya sejak belum menjadi menteri besar, dan terus dilakukannya sepanjang masa menjadi menteri besar, dan hingga selepas itu pun.

Ertinya, tugas utama menteri besar bagi Nik Aziz ialah mengajar agama, atau mentarbiyah rakyat supaya hidup secara beragama mengikut syari’at.

Tugas ini sama sahaja dengan yang dilakukannya sebagai guru agama atau ‘tok guru’ sebelum dia menjadi menteri besar.

Bezanya ialah jawatan menteri besar itu memberi dia kuasa untuk melaksanakan ilmu yang diajarnya itu.

Ada orang yang sebelum menjadi menteri besar dia seorang ‘tok guru’, tetapi apabila menjadi menteri besar dia meninggalkan tugas ‘tok guru’, untuk menjalankan tugas-tugas baru selaku menteri besar.

Berbeza dengan Nik Aziz, yang membawa tugas-tugas ‘tok guru’ untuk diteruskan dan serentak dengan itu mengubah dan memperbaharui  tugas dan fungsi seorang ‘menteri besar’.

Cuba kita perhatikan portfolio atau bidang tugas yang dipegang oleh Nik Aziz sepanjang dia menjadi menteri besar. Tidak sama dengan portfolio atau bidang tugas yang selalu menjadi pilihan menteri besar lain. (Rujuk bab tiga buku berkenaan).

Perancangan ekonomi, industri, perniagaan, kewangan, pembangunan tanah – itu bidang yang selalu menjadi pilihan mereka yang menjawat jawatan menteri besar.

Tetapi Nik Aziz tidak memilih bidang-bidang tersebut. Oleh itu, hasilnya, dia pun tidaklah menjadi sibuk sepertimana menteri-menteri yang lain.

Bidang-bidang atau portfolio berkenaan itu menjadi pilihan menteri-menteri besar ialah kerana kaitannya dengan pembangunan dan projek-projek pembangunan, yang dianggap sebagai tugas utama menteri besar dalam fahaman konvensional.

Nik Aziz pula tidak memilih demikian kerana dia mahu tumpukan kepada tugas mengajar, mendidik dan mentarbiyah rakyat.

Tugas mentarbiyah rakyat adalah lebih utama daripada mengurus projek-projek pembangunan.

Lagipun Nik Aziz percaya kerja-kerja membuat projek pembangunan dan seumpamanya itu (yang lebih bersifat dan memerlukan kemahiran teknikal) boleh dibuat oleh ramai orang lain.

Apa yang perlu diperhatikan di sini (sekarang kita masuk pada perkara ketiga) ialah konsep pembangunan mengikut Islam yang cuba dilaksanakan oleh Nik Aziz di Kelantan.

Konsep ‘pembangunan’ penting dalam pentadbiran dan kepemimpinan Nik Aziz, walaupun ia nampak seolah-olah tidak penting.

Mengapa saya katakan konsep dan fahaman pembangunan penting dalam kepemimpinan Nik Aziz, sedangkan umum beranggapan sebaliknya? Mudah saja.

Buktinya ialah slogan yang digunakan secara meluas oleh kepemimpinan Nik Aziz sejak awal pentadbirannya dan terus dikekalkan hingga 20 tahun lebih itu ialah “Membangun Bersama Islam”.

Nik Aziz berusaha mengubah fahaman orang ramai terhadap satu perkara penting dalam kehidupan harian hari ini, iaitu ‘pembangunan’.

Apa maksud ‘pembangunan’ yang sebenarnya dalam kefahaman Islam? (Insya Allah kita akan sambung bicara ini dalam kesempatan yang lain).

3 comments:

  1. Saya impikan sekurang2nya 5 6 orang pemimpin mcm Allahyarham Tok Guru Nik Aziz ada dlm PAS. Namun sekarang impian lebur dgn keghairahan melampau golongan tertentu yang tidak memahami politik dan dakwah yang ditunjukkan oleh allahyarham.

    ReplyDelete
  2. Dunia

    Dunia

    Kegilaan Dunia membuat pemimpin PAS lupa sepenuhnya Ajaran NABI SAW dan pendidikan Arwah Nik Aziz

    PAS sudah setanding UMNO akhirnya

    ReplyDelete
  3. Setiap yg bermula akan tamat juga akhirnya. Begitulah yg akan berlaku dgn kerajaan pimpinan PAS di Kelantan. Akibat terlalu taksub dgn pemimpin tertentu yg terbukti GAGAL mempertahankan Kedah dan Terengganu walaupun Allah beri peluang utk melaksanakan pemerintahan Islam di sana. Pemimpin inilah yg bakal menyumbang ke arah jatuhnya Kelantan semula ke tangan UMNO.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa