Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, July 6, 2015

Sukar bagi Najib..........Adakah akaun peribadi wujud?

Sukar bagi Najib harungi skandal 1MDB, kata majalah perniagaan antarabangsa
TMI - Published: 6 July 2015 11:37 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mendapati dirinya sukar mengharungi skandal terbaru yang melibatkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak kiralah terbukti atau tidak AS$700 juta (RM 2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadinya, kata majalah perniagaan Forbes.
Menurut artikel bertajuk "Can Najib Razak Survive 1MDB Scandal?" (Bolehkah Najib Razak harungi skandal 1MDB?), walaupun jika tuduhan tersebut dibuktikan palsu, ia timbul pada masa yang sukar bagi Najib.
Ini kerana faktor-faktor lain, seperti perbalahan dalaman Umno sementara ia cuba menerima realiti tidak lagi mempunyai 'hak automatik' memenangi setiap pilihan raya, menyebabkan parti itu tidak pasti jika Najib pemimpin dimahukan parti tunggak kerajaan itu dalam suasana politik lebih kompetitif.
Kolumnis Forbes juga mengatakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan beliau menerima dokumen mengaitkan Najib dengan 1MDB dan dilaporkan berkata terdapat potensi bagi perkara itu membawa kepada dakwaan jenayah sekiranya tuduhan tersebut benar.
"Najib Razak, perdana menteri Malaysia sejak 2009, berdepan cabaran terbesar dalam kepimpinannya – termasuk risiko dakwaan jenayah," kata artikel tersebut.
"Malaysia merupakan tempat di mana reputasi amat bermakna dan publisiti yang tidak baik akan kekal.
"Walaupun Peguam Negara tidak merasakan terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa, wujud perasaan yang Najib kini dilemahkan juga," kata kolumnis kewangan Forbes, Chris Wright.
Selain daripada skandal 1MDB, Najib juga dilemahkan dengan serangan daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menentangnya dan menggesanya meletak jawatan susulan cara beliau mengendalikan firma pelaburan strategik tersebut, kata Forbes.
Semua ini berlaku di Malaysia pada masa di mana pengeksport komoditi sedang bergelut dengan harga yang semakin jatuh, kata artikel tersebut.
Najib yang juga menteri kewangan, ialah pengerusi kepada lembaga penasihat 1MDB. Beliau sudah lama dikritik kerana hutang RM42 bilion dan urus niaga yang tidak telus, namun dakwaan terbaru ini menyentuh unsur peribadi kerana wang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya pada 2013, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei tahun itu.
Khamis lepas, Wall Street Journal dan laman berpangkalan di UK, Sarawak Report membuat pendedahan yang sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) didakwa disalurkan ke dalam dua akaun bank di bawah nama Najib dengan AmBank pada 2013.
Perdana menteri itu, bagaimanapun, menafikan mengambil wang dari 1MDB bagi kegunaan peribadi dan meletakkan kesalahan kepada laporan terkini tentang Dr Mahathir yang juga didakwanya sedang bekerja untuk agen asing terhadap pentadbirannya.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang menyerang Najib kerana membuat "penafian yang kabur" sementara WSJ mempertahankan pendedahannya, mengatakan laporan tersebut berdasarkan bukti dokumen yang kukuh.
Tuduhan itu dibuat susulan dakwaan lebih awal, yang juga dilaporkan WSJ, mengatakan 1MDB secara tidak langsung menbiayai kempen pilihan raya Najib pada 2013 melalui pembelian aset yang terlebih mahal dari Genting Group. – 6 Julai, 2015.
Akaun peribadi wujud atau tidak, soal bekas peguam negara kepada Najib
OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Published: 6 July 2015 6:55 AM

Datuk Seri Najib Razak perlu segera menjelaskan sama ada beliau mempunyai beberapa akaun peribadi di sebuah bank swasta, berikutan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) yang sebanyak RM2.6 bilion dikreditkan ke dalam akaun di bawah namanya, daripada berfikir untuk menyaman akhbar perniagaan itu, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.
Beliau berkata, dakwaan terhadap perdana menteri itu sangat serius dan penjelasan perlu untuk melindungi integriti jawatannya.
"Kesan memfailkan saman undang-undang terhadap WSJ akan mengambil masa yang lama. Perkara segera adalah bagi perdana menteri untuk menjelaskan sama ada beliau mempunyai akaun di bank itu," kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider.
Najib berkata semalam, beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi apakah tindakan akan diambil terhadap WSJ berhubung laporan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan ke dalam akaun di Bank AmPrivate di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015.
Perdana menteri pada sidang media semalam memberitahu, beliau sudah berunding dengan peguam berkenaan "dakwaan berniat jahat" itu.
"Merujuk kepada tuduhan-tuduhan liar yang dibuat terhadap saya, yang saya didakwa mencuri AS$700 juta daripada 1MDB dan meletakkannya di dalam akaun peribadi saya, saya sudah merujuk kepada peguam dan mereka akan memberi nasihat tentang tindakan undang-undang dan lain-lain lagi yang boleh saya ambil, dalam dan luar negara.
"InsyaAllah, saya akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari berkenaan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap tuduhan berniat jahat itu," kata beliau di Masjid Bandar Rinching di Semenyih semalam.
Bagaimanapun, para pembantunya menghalang kakitangan media daripada membuat sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu selepas Najib memberi kenyataan.
Abu Talib berkata terdapat pihak akan mengeksploitasi dan mensensasikan perkara itu dan ini tidak baik bagi perdana menteri dan Malaysia.
"Semua orang ingin tahu sama ada perdana menteri mempunyai akaun dengan bank dan ia tidak adil jika beliau diserang berterusan," katanya.
Abu Talib, yang merupakan peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, beliau juga berpendapat ahli-ahli politik tidak perlu ke mahkamah untuk memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka.
Selain itu, bank berkenaan juga boleh menjelaskan kedudukan Najib selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, katanya.
"Mereka perlu mengesahkan atau menafikan. Mengapa membuang masa pasukan petugas untuk menyiasat dan bukan menjelaskan isu itu dahulu kerana kedudukan perdana menteri adalah penting," katanya.
Minggu lepas, WSJ mendakwa sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib di Bank AmPrivate, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
Najib bagaimanapun menjawab, beliau tidak pernah mengambil apa-apa dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan laporan terkini kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa peletakan jawatan Najib.
Bagaimanapun, ahli-ahli politik pembangkang menyelar "penafian kabur" Najib, manakala WSJ mempertahankan laporannya, dan berkata ia berasaskan bukti yang kukuh.
Peguam Negara Tan Sr Abdul Gani Patail mendedahkan dalam satu kenyataan pada Sabtu, pasukan petugas khas menyerbu 3 syarikat yang dikaitkan dengan dana didakwa disalurkan kepada akaun bank peribadi Najib dan beliau menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.
Gani berkata, beliau meneliti semua dokumen dan memberikan nasihat lanjut dan arahan kepada pasukan petugas yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia.
Gani berkata, para pegawai pasukan petugas menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan pejabat Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat dan mendapat lebih banyak dokumen.  – 6 Julai, 2015.

3 comments:

  1. Saya yakin bahawa Najib tidak menggunakan wang MDB untuk kegunaan peribadinya... mungkin beliau akan bersumpah sekali lagi di masjid. Samalah sumpah beliau dulu yang beliau tidak membunuh atau terlibat membunuh Altantuya...
    (Memang pun... aku pun berani bersumpah kalau mcm tu).. orang tuduh orang lain, dia yang sibuk pergi bersumpah... Orang tuduh ada duit masuk akaun, dia pergi jawab, sumpah aku tak guna duit 1MDB... he he he!!! ptuiii

    ReplyDelete
  2. Yang LUCU NYA ada Juta Juta Melayu BODOH kan Diri Mereka Sendiri percaya dan sokong Penipu Tegar ini.

    Yang Kaya Ber Gaya hanya sekerat due Ekor saja TAPI yang Papa Kedana dengan BALA ini dalam Juta Juta

    Bahalol SAJA

    ReplyDelete
  3. Kalau dh sarat dgn mcm2 tuduhan mcmana jiwa nk tenteram. Nila padah jdi PM utk kesenangan diri.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa