Friday, October 7, 2016

Bukti baru penyelewengan dana 1MDB didedah Switzerland

06 Oktober 2016 | MALAYSIA DATELINE
Skandal kewangan membabitkan anak syarikat 1MDB SRC International disiasat pihak berkuasa Swiss

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh terus berdiam diri dalam skandal RM4 bilion membabitkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Ini ekoran pendedahan siasatan terbaru oleh Jabatan Peguam Negara Switzerland (OAG Swiss).

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua,  siasatan OAG Swiss mendedahkan dana dalam amaun yang sangat besar telah digelapkan dari SRC International, serta muslihat secara skim ‘Ponzi’ telah dilakukan untuk menutup penggelapan wang terbabit.

"Najib tidak boleh terus berdiam diri dalam berhadapan satu lagi siasatan antarabangsa ke atas dana yang dikawal olehnya.

"Beliau mesti tampil ke depan dan menjelaskan sama ada dakwaan pihak berkuasa Swiss adalah tidak benar atau sebaliknya, yang akan memerlukan siasatan terbuka dilakukan di Malaysia," ujarnya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Menurut Tony, Perdana Menteri mesti menyatakan sama ada beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Switzerland yang cuba mendapatkan maklumat dari pihak berkuasa negara ini.

"Siapa yang menguruskan SRC International? Setahu kami, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil telah ghaib dari muka bumi Malaysia bersama seorang lagi pengarah, Datuk Suboh Yassin.

"Dan walaupun tidak dapat dikesan, mereka masih lagi menjadi pengarah SRC International sepanjang lebih setahun lalu," soal Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

"Jika Najib Razak percaya bahawa dakwaan pihak berkuasa Swiss itu tidak benar, beliau mesti segera mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan laporan spesifik ke atas SRC International dan membentangkannya di Parlimen," tegas beliau lagi.

Persoalan orang ramai tentang skandal SRC International, melibatkan wang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang dilaburkan ke beberapa dana tidak diketahui di luar negara masih tidak terjawab.

Tiada mana-mana pihak termasuk Kementerian Kewangan tahu ke mana hilangnya dana terbabit.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan SRC International telah memindahkan, melalui perantara, sekurang-kurangnya RM67 juta ke dalam akaun peribadi milik Najib Razak.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa