Friday, October 7, 2016

Simpang Siur Halatuju PAS Membuatkan Ramai Penyokong Kecewa.

Written By Wadah Baru
Oleh Hayar Hassan

Mengikut sejarahnya, PAS ditubuhkan dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformis Islam di Tanah Melayu seperti  Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh  Tahir Jalaluddin dan Haji Abas Mohd Taha. Nama-nama tersebut mungkin agak asing bagi anak-anak muda generasi baru kita. Menurut Wikipedia, PAS mempunyai idealogi Islamisme, Demokrasi dan Fundamentalisme Islam. Perjuangan PAS adalah  untuk memperkenalkan dan mengamalkan cara hidup Islam berdasarkan Al Quran dan Sunnah melalui proses demokrasi dan tetap menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Singkatnya, PAS turut sama berpolitik dalam sistem demokrasi Malaysia dan dalam waktu yang sama turut juga berdakwah memperkenalkan cara hidup Islam kepada seluruh masyarakat majmuk Malaysia. 

Awalnya PAS bergerak secara sendirian dengan idealisme keislamannya yang hanya tertumpu kepada orang Melayu yang secara kebetulannya beragama Islam. Kejayaan politik PAS pada waktu itu adalah amat terhad sekali, cuma dapat memerintah Kelantan dan memenangi banyak kerusi di Terengganu. Seiring berlalunya waktu, PAS  mula menerima idea untuk berpakat dan pada tahun 1972 telah menerima tawaran Kerajaan Perikatan dan seterusnya bergabung dalam BN mulai tahun 1973 hingga 1978. Kemudian PAS bersendirian lagi untuk 12 tahun . Selepas itu PAS bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah @ APU mulai tahun 1990 hingga 1996. Keperluan untuk bergabung ini dilanjutkan dalam Barisan Alternatif @ BA (1999 - 2004) dan akhirnya dalam Pakatan Rakyat @ PR (2008 - 2015). Prestasi terbaik PAS sepanjang berpolitik di Malaysia adalah semasa berada dalam Pakatan Rakyat, mempunyai begitu banyak kerusi Parlimen dan DUN selepas PRU ke 12. PAS yang telah berpolitik sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan berjaya mempunyai 23 Ahli Parlimen . Sebelumnya Pas hanya mempunyai 7 orang Ahli Parlimen ! Peningkatan sebanyak 329 %. Di DUN pula PAS berjaya mempunyai 84 ADUN. DAP mempunyai 73 ADUN. PKR mempunyai 40. 

Apabila Pakatan Rakyat berkubur pada 16 Jun 2015 , ramai ahli-ahli PAS dan penyokong PR terkejut, kecewa dan keliru apabila PAS  bertegas untuk bersendirian ! Apakah ini suatu pendekatan yang betul dan wajar? Ramai yang mengeleng kepala dan berkerut dahi ! Apakah PAS kini berada di landasan yang tepat dan betul ? Bukankah ini seperti kembali kepada awal tahun 60'an, berundur ke belakang ? Ramai orang berpendapat bahawa PAS telah masuk perangkap UMNO/BN dalam usaha BN memporakperandakan PR. Itulah yang amat dinanti-nantikan oleh BN. Usaha halus mereka selama ini telah membuahkan hasil. " Buah dugheyan udah gugur Yeop , beduit le kume ! ", kata orang Perak . Dasar Pecah Dan Belah UMNO/BN telah berjaya !

Ramai ahli-ahli PAS dan penyokong PR khususnya di Pulau Pinang terkejut besar apabila diberitahu bahawa lebih daripada 1,000 aktivis PAS terpaksa melepaskan jawatan-jawatan yang diperuntukkan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, walau pun PAS hanya mempunyai seorang ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ! YB Dato' Saleh Man , ADUN Permatang Pasir dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang. Di samping itu Ustaz Afnan Hamimi Bin Dato Taib Azamuddin, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ustaz Rushidi Husin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang. 

Ramai daripada aktivis-aktivis PAS dilantik dalam JKKK Negeri dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Buat pertama kalinya, banyak daripada AJK Qaryah mesjid-mesjid di Pulau Pinang dikuasai oleh orang-orang PAS. Sebagai contoh, Haji Omar Hassan, YDP PAS Kawasan Permatang Pauh telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai. Di samping itu juga beliau dilantik sebagai Pengerusi Qaryah Masjid Jamek Seberang Jaya. Masjid ini amat terkenal kerana ianya sering disinggahi oleh orang-orang ramai yang menggunakan PLUS semasa bermusafir. Alhamdullilah, dibawah kepimpinan Haji Omar Hassan, masjid ini lebih terurus dari sudut kebersihan dan kelas-kelas pengajian.

Tenaga pengajar kuliah-kuliah pengajian di seluruh masjid-masjid Pulau Pinang adalah terdiri daripada Ustaz-Ustaz PAS daripada Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Masjid-masjid telah diimarahkan dengan begitu baik. Anak-anak jemaah tidak perlu lagi keluar daripada qaryah untuk menimba ilmu agama Islam. Waktu zaman BN dahulu, hanya Masjid Batu, Permatang Pauh sahaja yang menampong pengajian ustaz-ustaz PAS. Dengan berada dalam Kerajaan PR di Pulau Pinang, banyak manafaat yang telah dinikmati oleh PAS. Di bandingkan dengan DAP Kelantan, cuma  3 orang aktivis DAP diperuntukkan jawatan oleh Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Almarhum TGNA. DAP Kelantan tahu diri, mereka tidak riuh rendah menuduh Kerajaan Kelantan mengenepikan mereka. Melihat kepada realiti politik Pulau Pinang, keputusan PAS Pusat untuk membawa diri jauh daripada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat adalah suatu kesilapan besar. Dakwah Islam yang cuba dibawa oleh aktivis-aktivis PAS Pulau Pinang telah menemui jalan buntu. Orang Islam dan Agama Islam di Pulau Pinang memang banyak dirugikan. Sedih dan kecewa sekali apabila mengenangkan bahawa ianya terjadi kerana pimpinan PAS Pusat tidak bijaksana, terpedaya dan gagal dalam membaca tipu muslihat UMNO/BN.

Mungkin orang-orang Islam di luar Pulau Pinang tidak tahu bahawa masih banyak Sekolah-Sekolah Agama Islam Pulau Pinang masih mampu bertahan semenjak sebelum merdeka lagi. Kalau di negeri-negeri lain, banyak daripada sekolah-sekolah tersebut  sudah berkubur. Pondok Al Khairiah di Pokok Sena, Tasek Gelugor, Pondok Al Masriyah Bukit Mertajam, Pondok Manabil Ulum, Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pondok Padang Lalang, Bukit Mertajam, DMW Kepala Batas adalah antara sekolah-sekolah Agama Islam yang begitu masyhur awal tahun 60'an telah dinaikkan taraf menjadi sekolah-sekolah menengah pendidikan Islam moden. Akhir-akhir ini Pusat-Pusat Tahfiz telah banyak diwujudkan umpama suburnya cendawan selepas hujan. Di Kampong Pelet, sebuah kampong kecil di Kubang Semang Bukit Mertajam pada waktu ini telah mempunyai 3 buah Pusat Tahfiz! Ini adalah suatu rekod yang tidak banyak orang tahu. 

Fenomena ini adalah kerana kesedaran beragama masih kuat di Pulau Pinang di kalangan orang-orang Islam. Apatah lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah PR banyak menyalurkan bantuan-bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama. Hatta para hufaz pun diberikan elaun . Tidak berlaku untuk negeri-negeri lain. Sayangnya pucuk pimpinan PAS Pusat pada waktu ini tidak menyedari perkara-perkara ini. Almarhum TGNA mungkin menyedari akan hal ini kerana beliau lebih kerap ke Pulau Pinang, jika dibandingkan dengan TGHH. Namun begitulah yang terjadi, pucuk Pimpinan Pas Pusat sekarang ini lebih memilih untuk mesra dengan UMNO/BN daripada rakan-rakan yang sama-sama susah dalam PR dahulu ! 

Dalam diam, banyak aktivis PAS Pulau Pinang merasakan kerugian atas tindakan pucuk pimpinan PAS keluar dari PR. Langkah PAS pusat keluar dari PR adalah suatu kesilapan, terburu-buru dan tidak mengambil kira realiti politik negeri-negeri di Pantai Barat Malaysia. Orang-orang PAS dirugikan. Lantaran itu, masyarakat sudah kecewa dengan PAS dan TGHH sendiri sudah tidak disegani lagi ! TGHH mungkin seorang ilmuan agama Islam yang tinggi ilmunya, tetapi bukan lah seorang politikus yang hebat, naif terhadap tipu muslihat musuh-musuh politik PAS dan PR. Sentuhan-sentuhan TGHH sering kali kurang tepat dan banyak menguntungkan UMNO/BN .

Dari sudut lain pula, PAS dilihat gagal dalam memberikan tarbiah akhlak mulia Islam kepada ahli-ahlinya. Masih ramai lagi ahli-ahli PAS dan juga segelintir pimpinan PAS yang tidak dapat meninggalkan tabiat merokok, walau pun merokok itu telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Dalam isu meninggalkan tabiat merokok ini jemaah Islam lain seperti ABIM, IKRAM, NGO-NGO Islam dan Jemaah Sunnah lebih berjaya dalam mentarbiah ahli-ahli mereka meninggalkan tabiat buruk ini. PAS juga dilihat gagal melahirkan pendakwah-pendakwah , penceramah-penceramah yang berakhlak mulia dan dihormati oleh masyarakat. Dalam dunia serba canggih ini, penuntut-penuntut ilmu  mahukan kuliah-kuliah agama yang berkualiti, berlandaskan nas-nas Al Quran dan Hadith-Hadith yang sohih, bukan saranan-saranan yang tidak berasas, berbau bid'ah dan tidak menepati ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan amalan-amalan Salafussoleh. Dalam zaman serba canggih ini, dimana maklumat-maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari, orang ramai berkeupayaan menyemak semula apa-apa yang disampaikan oleh ustaz dan penceramah. 

Contoh penyampaian tazkirah  buruk yang telah disampaikan oleh seorang penceramah PAS baru-baru ini, adalah oleh Ustaz Shaharuddin Ibrahim, YDP PAS Kawasan Padang Serai Kedah. Tazkirah beliau yang tidak tepat telah mengundang bantahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Isi tazkirah yang tidak benar dan berunsurkan fitnah telah menimbulkan masaalah kepada penceramah tersebut. Beliau hampir menghadapi tindakan mahkamah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Akhirnya beliau terpaksa memohon maaf secara terbuka ! Begitu juga yang terjadi kepada Ustaz Abdullah Khairi, seorang penceramah PAS yang juga terpaksa memohon maaf kepada keluarga Presiden PAN, Haji Muhammad Sabu atas perkataan biadap nya sewaktu berceramah di PRK Kuala Kangsar baru-baru ini. 

Demikianlah  kecelaruan-kecelaruan yang telah ditimbulkan oleh PAS dan ahli-ahlinya akhir-akhir ini. Masyarakat ternyata sudah kurang tertarik terhadap rentak politik yang dibawa oleh PAS. Ceramah dan aktiviti-aktiviti PAS sudah kurang menarik. Ianya hanya dihadiri oleh penyokong-penyokong tegar PAS sahaja. Pimpinan PAS perlu berlapang dada dan bermuhasabah diri , mencari kesilapan -kesilapan yang lalu. Masih tidak terlewat untuk PAS berubah supaya parti yang telah lama wujud ini masih tetap  relevan di pentas politik di tanah air tercinta ini. Ulamak besar Imam As Shafie juga ada berpesan di bahagian akhir kitabnya Al Umm, mafhumnya " Jika terdapat hadith-hadith yang sahih, maka lemparlah pendapatku ke dinding, jika engkau melihat hujah diletakkan di atas jalan , maka itulah pendapatku ". 

Hayar Hassan

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa