Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 13, 2016

Kelulusan siapa nih: Balak bila dah jadi bala tadak sapa nak ngaku!

Balak bersepah, sumber air tercemar, Orang Asli terancam
13 Oktober 2016 | ARIF ATAN
Balak bersepah di Air Terjun Dakota bukti kemusnahan hutan simpan kekal (HSK) yang di luar pemantauan Jabatan Perhutanan.

Bergelimpangan. Tubuhnya dikerat-kerat. Sebahagian kulitnya tersiat. Ada terkulai di jurang dengan yang bersaiz kecilnya sudah menggelongsor di celahan hutan belukar.

Sekilas membaca mungkin ada menyangka itu adalah gambaran kematian besar-besaran akibat situasi perang. Hakikatnya, itulah situasi kayu balak yang ditebang ketika tinjauan dilakukan di pedalaman Gua Musang, 10 dan 11 Oktober lalu.

Ada yang diletak berlonggok manakala batang balak yang berdiameter lebih kecil kelihatan tidak terurus. Rekod kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia setakat tiga tahun lalu yang hanya berbaki 5.83 juta hektar atau 44.2 peratus daripada jumlah keluasan 13.18 juta hektar tidak mustahil terus mengecil akibat kerakusan pembalakan ini.

Pembalakan secara tebang habis di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di bahagian hulu Kelantan itu dapat disaksikan bersama beberapa kumpulan NGO alam sekitar dalam program kembara anjuran Royalti (R) Malaysia itu.

Diketuai aktivis R Malaysia, Hishamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Sham Ghaz, kemusnahan HSK Balah misalnya dapat dilihat dengan salah satu lesen membalak seluas 239 hektar telah dilanjutkan tempoh membalak sehingga 6 Mac tahun depan.
Masih ada lori dan jentera balak di kongsi walaupun masyarakat Orang Asli mendesak dibawa keluar.

Walau bagaimanapun, penginapan pekerja balak atau ‘kongsi’ di lokasi tersebut ditinggalkan ekoran penghalang jalan yang dibuat oleh masyarakat Orang Asli dengan menuntut supaya syarikat terlibat membawa keluar segala jentera mereka.

Namun, lain pula halnya dengan situasi di HSK Gunung Stong Selatan, aktiviti membalak secara tebang habis seluas 310 hektar sedang giat berlangsung.

Sekurang-kurangnya terdapat lapan longgokan batang balak setinggi kira-kira tujuh meter di lokasi itu dengan setiap satunya mengandungi tidak kurang 30 batang balak yang bila-bila masa akan diangkut keluar.

Sudahlah memusnahkan ekosistem tadahan air hujan, pembalakan luar kawalan itu turut dikenal pasti menceroboh rizab sungai seperti berlaku di Sungai Jawai tidak jauh dari Pos Gob.

Tidak hairanlah kerja-kerja membalak tidak sampai lima meter dari sumber air itu menjadikan sungai tersebut menjadi semakin cetek separas lutut dengan kelihatan mendapan pasir dipercayai dari tapak pembalakan di sepanjang pinggir sungai.
Bahkan cubaan pihak tertentu untuk menafikan wujudnya aktiviti membalak di air terjun Dakota juga terbukti palsu apabila terdapat banyak tunggul kayu dan batang balak ada sebesar dua pemeluk di sekitar air terjun itu.
Anak sungai di kawasan tersebut juga dihalangi dengan batang-batang balak dipercayai sebagai jambatan bagi memudahkan jentera berat memasuki HSK Balah.
Namun, tekanan daripada Orang Asli suku Temiar di kawasan itu menghalang operasi membalak itu daripada diteruskan.
Tidak jauh dari lokasi air terjun itu juga, terdapat rumah kongsi yang didakwa penduduk tempatan baru sahaja ditinggalkan sekitar Ogos lalu.
Hakikatnya, kerja-kerja membalak di kawasan tersebut sebelum ini dikatakan berjalan sejak tahun lalu tetapi dihentikan selepas Orang Asli membuat sekatan jalan.
Selain banyak anak sungai ditimbus alirannya akibat kerja-kerja pembalakan, terdapat bangkai gajah berdekatan Pos Bering. Sumber Orang Asli memberitahu, gajah itu dipercayai dibunuh apabila didapati gading spesis haiwan terancam itu hilang dengan tinggalan lima kelongsong peluru.
Sama ada akibat perbuatan jahat pemburu haram atau pekerja kongsi balak, kematian gajah itu juga dilihat sebagai petanda keburukan pembalakan di hutan berkenaan.
Masyarakat Orang Asli berdemonstrasi menuntut aktiviti pembalakan dihentikan di kawasan rayau mereka.
Turut tidak terkecuali menderita kesan kerakusan pembalakan di Gua Musang itu adalah masyarakat Orang Asli. Seorang pemuda komuniti itu berkata, "Nak cari (tumbuhan hutan) untuk sewang pun semakin susah".
Bagi warga emas pula, kalau boleh diputar kembali ke masa silam, mereka mengimpikan kehidupan yang mewah ketika itu dengan hidupan sungai bersaiz besar.
Demi kesejahteraan hidup generasi Orang Asli pada masa depan serta pemeliharaan flora dan fauna di kawasan hutan di hulu Kelantan, gema pekikan tuntutan mereka hanya satu: Hentikan pembalakan sekarang!

......dan di bawah ini pula kerakusan di Janda Baik
Hutan Janda Baik berdepan risiko kemusnahan
Tan Su Lin, Astro Awani |  Diterbitkan pada Oktober 12, 2016 09:59 MYT
Dua jentera penolak dan jengkaut ditinggalkan di tengah jalan bertujuan menyekat perjalanan kami ke lokasi pembalakan. -Astro AWANI/Tan Su Lin

BENTONG: Sebut sahaja Janda Baik, pastinya terbayang kawasan hutan menghijau dengan udara segar dan dingin seperti berada di kampung.

Namun atas nama pembangunan, kawasan tadahan air semulajadi itu bakal berdepan kemusnahan, ekoran projek pembinaan grid elektrik yang bakal merentasi beberapa sungai utama di Janda Baik.

Kami mendapat maklumat daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan penduduk kampung bahawa berlakunya aktiviti pembalakan tidak terkawal di hutan simpan berkenaan.

Ia dikatakan bertujuan memberi laluan kepada projek pembinaan grid elektrik yang bakal merentasi beberapa sungai utama seperti Sungai Benus, Sungai Chemperoh dan Sungai Tampik.

Untuk ke lokasi berkenaan, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi meninjau kawasan hutan yang diteroka di sekitar Janda Baik.

Kediaman pekerja pembalakan kelihatan sekitar hutan berkenaan menandakan aktiviti pembalakan sedang giat dijalankan.

Namun kehadiran kami disedari dan semua kerja pembalakan dihentikan.

Dua jentera penolak dan jengkaut juga ditinggalkan di tengah jalan bertujuan menyekat perjalanan kami ke lokasi pembalakan.
Jengkaut ditinggalkan di tengah jalan bertujuan menyekat perjalanan kami ke lokasi pembalakan.

Kesan tanah yang masih merah juga menunjukkan jalan yang baharu dibuka dipercayai untuk mengeluarkan kayu balak.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, mendakwa kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Perhutanan bagi pembalakan untuk laluan grid elektrik itu mengambil kesempatan membalak di luar kawasan yang ditetapkan.

"Apa kami lihat dengan jelasnya adalah mereka langsung tidak mengendahkan zon pemampan yang mana tidak sepatutnya berlaku penerokaan dan pengambilan balak juga tidak mengikut diameter. Ini jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.
Kerja-kerja penerokaan itu juga sekali gus menyebabkan anak sungai berhampiran tertimbus.

Malah tinjauan kami juga dapati air sungai sekitar Janda Baik juga semakin cetek.

Wakil Penduduk Janda Baik, Mat Sabri Ahmad Malek bimbang keadaan sungai yang makin kering itu bakal menimbulkan risiko banjir lumpur apabila berlaku hujan lebat.

"Kawasan di mana berlakunya aktiviti pembalakan adalah membabitkan sungai-sungai utama yang membekalkan air ke seluruh kampung. Di kampung ini, kami bergantung sepenuhnya kepada air bukit untuk air minuman dan kegunaan seharian.

"Jadi kalau berlaku pembalakan, air akan tercemar menyebabkan kawasan tadahan air kampung terjejas, dan sekarang air pun makin surut dan banjir sering kali berlaku," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke kawasan penerokaan di Hutan Simpan Janda Baik.  

Tinjauan Astro AWANI ke Sungai Kuala Lurau mendapati sungai berkenaan telah bertukar kepada sungai batu ekoran keadaannya yang kering kontang dan menampakkan batu-batu yang sebelum ini berada di dasar sungai berkenaan.

Sungai Kuala Lurau adalah salah satu daripada lima sungai utama di Kampung Janda Baik termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Cemperoh, Sungai Kepayang dan Sungai Tampik.

Tidak mahu nasib sama menimpa sungai-sungai lain, sekumpulan penduduk Kampung Janda Baik bertindak membantah sebarang aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Rata-rata penduduk mendesak agar sebarang kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air itu dihentikan serta merta.
Rata-rata penduduk mendesak agar sebarang kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air itu dihentikan serta merta.

Selain mendatangkan risiko pencemaran kepada sumber air penduduk, sektor eko-pelancongan Janda Baik dibimbangi terjejas ekoran aktiviti terbabit.

Malah menurut Pengusaha Agen Pelancongan Tempatan, Jeffrey Jais, kemasukan pelancong sedikit terjejas ekoran aktivti pembalakan yang berlaku.

"Saya sendiri menyediakan khidmat membawa pelancong naik ke kawasan air terjun untuk tujuan trekking dalam hutan. Sekiranya sumber hutan diganggu-gugat oleh aktiviti pembalakan, ia akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi penduduk setempat dan tiada orang nak datang melawat kampung Janda Baik ini," katanya kepada Astro AWANI.

Dianggarkan kira-kira 2,000 penduduk kampung Janda Baik bakal terjejas ekoran sumber bekalan air yang tercemar dan kesan eko-pelancongan akibat aktiviti pembalakan berterusan.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa