Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 13, 2016

Tontowi dan RM10,000 lagi........tegak benang basah atau luruskan benang kering?

Nasrudin Tantawi dinasihat tidak tegak benang basah
13 Oktober 2016 | MALAYSIA DATELINE
Dokumen mahkamah mencatatkan kekesalan Nasrudin menerbitkan artikel yang mengelirukan tentang Guan Eng.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dinasihati agar tidak mengalihkan isu kegagalannya membayar kos RM10,000 yang diperintahkan mahkamah dengan menimbulkan perkara-perkara yang kurang relevan, nasihat Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Raja Syarafina Raja Shuib.

Malah Ketua Penerangan Pas itu diminta menerima hakikat bahawa beliau telah melahirkan perasaan kesal dan menarik balik artikel yang memfitnah Guan Eng tanpa syarat selepas disaman malu dan diarahkan membayar kos RM10,000.

"Janganlah cuba menegakkan benang yang basah!" kata Raja Syafarina menjawab kenyataan akhbar Nasrudin.

Menjawab kenyataan Nasrudin, Raja Syafarina menjelaskan bahawa penghakiman termeterai (sealed order) dengan tuntutan pembayaran RM10,000 telah diserahkan kepada peguamcara Nasrudin pada 19 September lalu.

"Walaupun YB Nasrudin berada di luar negara sehingga akhir September 2016, pihak kami tidak pernah menerima apa-apa permohonan lanjutan masa untuk pembayaran daripada YB Nasrudin dan/atau peguam beliau dalam tempoh tersebut.

"Dalam zaman internet ini yang membolehkan komunikasi merentasi sempadan negara dengan cepat, takkan payah sangat untuk YB Nasrudin memaklumkan kepada kami bahawa beliau perlukan masa untuk membayar?" soal beliau.

Raja Syafarina menambah, oleh kerana tiada bayaran diterima sebelum luputnya tempoh pada 2 Oktober lalu, peringatan pembayaran bertarikh 7 Oktober telah dihantar kepada peguam Nasrudin dan diterima pada 11 Oktober.

Walaupun tiada pembayaran dibuat selepas tiga minggu berlalu, Raja Syafarina kesal kerana Nasrudin sebaliknya memilih untuk menyerang beliau dalam kenyataan akhbar.

Beliau turut menegaskan bahawa Nasrudin boleh didakwa menghina mahkamah kerana enggan menjelaskan bayaran yang diperintahkan mahkamah.

"Meskipun saya mempunyai kelulusan undang-undang dan pengalaman, saya terharu dengan kesanggupan YB Nasrudin untuk mengajar pemahaman konsep dan prosedur undang-undang.

"Beliau harus ingat bahawa Penghakiman Persetujuan tersebut ialah arahan daripada mahkamah yang mulia untuk beliau membuat bayaran sebanyak RM10,000 kepada YAB Ketua Menteri sebagai kos serta membuktikan bahawa beliau menzahirkan perasaan kesal beliau atas tuduhan yang tidak berasas ke atas YAB Ketua Menteri dan menarik balik artikelnya," jelasnya.

Menurut beliau oleh kerana penghakiman persetujuan telah diserahkan kepada peguam Nasrudin seawal 19 September lalu, kegagalan atau keengganan pemimpin Pas itu membayar jumlah yang diperintahkan adalah satu pengingkaran dan boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Raja Syafarina turut menjelaskan isu bayaran kos RM500 membabitkan Guan Eng yang disentuh Nasrudin dalam kenyataan akhbarnya.

Beliau menjelaskan bahawa bayaran kos RM500 masih tidak dituntut oleh peguam Nasrudin daripada Guan Eng sehingga hari ini dan perintah mahkamah termeterai juga tidak pernah diserahkan kepada peguam Ketua Menteri itu.

"Surat terakhir daripada peguam YAB KM kepada peguam beliau berhubung dengan perkara ini adalah setakat 3 Oktober 2014; dan selepas 3 Oktober 2014, tiada apa-apa tuntutan bayaran pernah dihantar kepada peguam YAB KM sehingga hari ini.

"Berdasarkan fakta-fakta diatas, tidak wujud isu YAB menghina perintah Mahkamah kerana tidak ada sebarang tuntutan dibuat ke atas YAB KM. Sebaliknya, eloklah YB Nasrudin menyemak fakta yang betul sebelum mengetengahkan isu sebegini," katanya.

Raja Syafarina juga mengingatkan Nasrudin bahawa peguam Guan Eng belum membuat tuntutan tambahan kos RM2,000 yang diarahkan mahkamah setelah hakim  menolak permohonan beliau untuk mengetepikan saman fitnah Guan Eng pada 20 April 2015.

"Mahkamah telah memerintahkan YB Nasrudin untuk membayar kos sebanyak RM2,000 kepada YAB Ketua Menteri. Akan tetapi, peguam YAB Ketua Menteri masih belum membuat tuntutan kos RM2,000 daripada YB Nasrudin.

"Peguam YAB KM telah diberikan arahan untuk menuntut bayaran ini daripada YB Nasrudin dengan secepat mungkin. Dalam pada ini, harus juga ditekankan bahawa jumlah kos RM10,000 (dan RM2,000 yang akan dituntut kelak daripada YB Nasrudin) akan diberikan kepada peguam YAB Ketua Menteri. Tidak sesen pun daripada jumlah tersebut akan YAB Ketua Menteri simpan," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa