Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 11, 2016

Kenyataan Media DS Anwar: Tahniah SPRM

*KENYATAAN MEDIA*

Perkembangan mutakhir mengenai hasil siasatan SPRM berkaitan pengumpulan harta oleh Pengarah dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Pengarah, Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah mengejutkan Negara, lebih-lebih lagi apabila kita membaca jumlah besar yang didakwa terkumpul.

Kami mengucapkan tahniah kepada SPRM atas kejayaan menyempurnakan tugas dan mendesak agar SPRM meneruskan penyiasatan dengan segera dan tegas.

Pada masa yang sama, kami menantikan tindakan tegas pihak SPRM terhadap mereka yang terlibat di dalam pencurian wang negara yang didakwa berjumlah lebih RM16 bilion, terutama selepas pemfailan kes oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US Department of Justice). Tanpa tindakan tegas SPRM dalam isu ini, ia bagai memberi isyarat bahawa Perdana Menteri dan kroni-kroninya kebal undang-undang, dan institusi-institusi dimanipulasi untuk tindakan yang selektif.

Namun, berkait isu terkini dengan penangkapan beberapa pegawai kanan Jabatan Air Sabah, apa yang membimbangkan adalah jumlah yang dikaut pegawai-pegawai terlibat. Bayangkan jika pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah ini mampu mengumpul dana RM200 juta; apakah ini merupakan petanda tatakelola dan pengurusan buruk Kerajaan Pusat?

Tambahan apabila adanya kenyataan pemimpin politik Sabah yang berkata dana RM3.3 bilion yang disalurkan terus dari Kerajaan Pusat ke Jabatan Air Sabah tanpa melalui Kerajaan Negeri Sabah - bagaimana hal ini boleh berlaku tanpa pengetahuan menteri Sabah yang berkenaan? Sepatutnya wang rakyat dan Jabatan Air Sabah diurus khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat Sabah.

Maka, insiden ini membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan terus membarah di Negara kita yang tercinta ini. Ia juga menangkis persepsi bahawa jalan penyelesaiannya hanyalah dengan mengapi-apikan sentimen kenegerian. Jelas, kami berpandangan bahawa apa yang diperlukan adalah dasar yang jelas yang mampu menjana perubahan dalam sistem tatakelola, pembanterasan rasuah, serta ketelusan dalam proses pembidaan tender-tender kerajaan. Semua ini perlu berlaku tanpa mengira kaum, agama, mahupun negeri.

Jangan mudah mengalih pandangan seolah pimpinan satu kaum atau negeri adalah penyelesaian. Yang menentukan samada pengurusuan teratur, nasib rakyat terjamin dan terbela adalah dasar, peraturan serta penguatkuasaan yang kemas, dan bukan pimpinan satu kaum atau yang mengapi-apikan kononnya hanya sentimen kenegerian ynag mampu mengatasi kemiskinan dan masalah rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
10 Oktober 2016

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa