Monday, October 17, 2016

‘Misteri’ Air Terjun Dakota terungkai

Pembalakan Gua Musang: ‘Misteri’ Air Terjun Dakota terungkai
16 Oktober 2016 oleh Hafiz Zainuddin
GUA MUSANG, 16 OKT: Baru-baru hangat apabila sebuah foto menjadi viral di media sosial berhubung kerosakan yang berlaku di Air Terjun Dakota terletak sekitar 20 kilometer dari Pos Gob, kawasan yang terjejas teruk akibat pembalakan.

Pendedahan awal kerosakan di air terjun Dakota yang dibuat aktivis alam sekitar dari Royalti (R) Malaysia Syam Ghaz itu mendapat reaksi Pemuda Pas Kelantan yang kemudian membuat tinjauan ke kawasan tersebut.
Batang-batang balak yang dijadikan laluan pembalakan merentangi Air Terjun Dakota.

Dalam video terkini yang dirakam Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan Nazman Che Ibrahim itu, beliau mendakwa tuduhan bahawa kawasan air terjun tersebut musnah adalah tidak benar.

“Airnya jernih dan mendinginkan. Pepasir nan indah, suasana yang mendamaikan serta dikelilingi kehijauan hutan. Ikan ikan berenang di celahan batu. Cukup indah dan menenangkan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan.
Ashraf menunjukkan laluan balak berhampiran air terjun ini yang tidak lagi digunakan sejak sebulan lalu setelah mendapat bantahan kuat orang asli di sana. Foto Syam Ghaz

Bagaimanapun kenyataan beliau disangkal apabila cuba menyembunyikan foto dan fakta sebenar terhadap apa yang berlaku di kawasan air terjun tersebut.

Dalam tinjauan yang dibuat bersama penganjur NGO Royalti (R) Malaysia, rakan NGO dan media lain mendapati aktiviti pembalakan jelas berlaku di Air Terjun Dakota apabila tebangan pokok dilakukan kurang 50 meter dari kawasan sungai yang merupakan sumber air.

Terdapat banyak batang-batang balak yang berlonggokan di beberapa tempat selain kesan pemotongan pokok.

Selain itu, wujud laluan lori balak yang merentasi sungai berkenaan disambung dengan beberapa batang balak yang merentangi sungai.

Bukti wujud pembalakan di kawasan tersebut juga semakin kuat apabila sebuah kongsi pekerja balak beserta sebuah jentera berada di sekitar 200 meter tidak jauh dari kawasan air terjun itu.
Kongsi pekerja balak dan sebuah jentera penyodok yang berada sekitar 200 meter dari Air Terjun Dakota. Foto Ahmad Yusufi

Menurut pendedahan salah seorang penduduk orang asli yang mengikuti tinjauan kami, pembalakan telah berlaku di kawasan terbabit sejak tahun 2015 dan dihentikan sekitar bulan Ogos lalu setelah mendapat bantahan masyarakat orang asli di sana.

Menurut Syam, gambar dan video yang dimuat naik pemimpin pemuda Pas berkenaan hanyalah dari sudut-sudut tertentu sahaja.

“Usahlah sembunyikan maklumat sebenar, ramai lagi Orang Asli dan pasukan kenderaan pacuan empat roda yang saya yakin dan percaya mereka mempunyai bukti yang cukup jelas.

“Untuk apa sembunyikan maklumat sebenar? Adakah untuk lindungi pembalak? Atau tolong back up kerajaan negeri kerana kebanyakan syarikat yang mendapat lesen di kawasan tersebut adalah dari anak syarikat kerajaan negeri?” kata beliau.

Menurut seorang lagi aktivis, Mohd Fauzi Mohd Azmi, kesan pembalakan di Air Terjun Dakota sangat ketara.
Pemandangan kawasan Air Terjun Dakota yang diambil aktivis Syam Ghaz beberapa bulan lalu.

“Selepas di sana, saya berjalan di beberapa tempat air terjun ini, saya menemui batang-batang kayu-kayu yang dihanyutkan oleh banjir, tetapi kita dapat lihat kesan potong dengan gergaji.

“Kalau hanyut dengan banjir, pokok akan patah sahaja, tapi balak-balak yang dihanyutkan ni ada kesan potong dengan gergaji, bukan patah saja, yang patah pun ada yang potong dengan gergaji pun ada tak kurang 10 batang,” ujarnya.

Isu pembalakan di Gua Musang hangat diperkatakan sehingga kini setelah berlakunya insiden kekasaran samseng pembalak terhadap penduduk Orang Asli Temiar di blockade Simpang Petei, Pos Tohoi dekat sini.


Bantahan dari Orang Asli ini dibuat kerana pembalakan besar-besaran di kawasan mereka telah menjejaskan kehidupan harian mereka termasuk sumber makanan, minuman, ubatan dan pendapatan hasil hutan. 

*Penulis adalah Wartawan Portal Online yang memasuki kawasan perkampungan Orang Asli untuk membuat liputan menyeluruh berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang*

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa