Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, October 3, 2016

Pemimpin kini tamak, kejar duit

Posted on Saturday, October 01 @ 20:58:25 MYT by paktam
Topik Dipaparkan: Wawancara
NAMA Tengku Razaleigh Hamzah, tidak dinafikan, cukup sinonim dengan dunia politik tanah air. Aura tokoh veteran politik ini masih kuat. Pandangan yang diberikan beliau dalam aspek politik, pembangunan, ekonomi dan lain-lain sentiasa diikuti dengan teliti. Malah karakter dan prinsipnya membuatkan beliau terus dihormati pihak kerajaan atau pembangkang. 

Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, MOHD ZAILANI ABD RAHMAN dan wartawan, NOR AKMALIAH RAZAK berpeluang mendapatkan pandangan beliau, khususnya dalam konteks politik semasa. Ikuti wawancara yang diadakan di kediaman beliau di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini. 

Apa pandangan Tengku terhadap senario politik di Kelantan khususnya selepas lebih 20 tahun diperintah Pas.

Orang Kelantan sudah nampak selesa dengan Pas, terutama sekali dengan pimpinan yang tidak memaksa dia buat sesuatu. Orang Kelantan amat bebas, amat berdikari pemikirannya. Amat selesa dalam Pas tetapi dia cepat jemu dengan Pas kerana sudah lama dalam keadaan begini tidak ada perubahan, tidak ada sesuatu perubahan.

Orang Kelantan juga memikirkan mengenai masa depan, terutama sekali pendidikan anak-anak mereka. Orang Kelantan ini mahu tengok kita lebih daripada orang lain. Jadi kalau dia tengok masa depan anak-anak dia, negeri dia, tidak sebagaimana yang diharapkan, dia akan berubah. Walaupun keadaan itu selesa dengan masa ini, kalau tidak meyakinkan, dia boleh berubah.

Sebab itu pada tahun 1977, apabila bergolak sedikit politik di Kelantan disebabkan krisis pemimpin Pas, orang Kelantan  mengambil kesempatan kerana sudah lama duduk dalam keadaan yang tidak menyenangkan dia.

(Akibatnya) dia bertindak mengubah keadaan. Apabila mereka rasa pihak pimpinan Pas ketika itu bermaharajalela, gadai kawasan balak dengan luasnya - 300,000 ekar lebih - kepada orang luar. Orang Kelantan marah.

Sebab itu orang Kelantan, walaupun dia tahu dia rugi dengan enakmen ‘reservation’. Menyebabkan nilai tanah dalam kawasan rizab Melayu rendah daripada tidak dalam rizab Melayu, dia rasa selamat. Oleh kerana orang luar tidak boleh miliki tanah, orang Kelantan tahu jika dia tidak akan untung banyak, tetapi dia mahu kekal dalam keadaan ini. Tetapi kalaulah situasi itu memaksa dia ubah kerana kedudukan terancang, ia akan ubah. Dia tidak takut hendak hadapi risiko.

Bagaimana Tengku melihat perbezaan politik hari ini dengan zaman Tengku?

Orang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya. Tengok sekarang ini banyak orang memikir kepada kepentingan diri lebih daripada kepentingan rakyat. Kita tengok pemimpin dulu semuanya mati tidak ada duit, tiada ada harta, Tengku (Abdul Rahman), begitu juga Tun Razak dan Tun Hussein Onn, selain pemimpin pembangkang, contohnya Datuk Asri Muda dan Ustaz Fadzil Noor. 

Tetapi orang sekarang bertujuan lain sedikit. Biarlah, keadaan negara kita sudah berubah. Kita sudah maju sedikit dan sudah tentu hendak merasa juga kemewahan yang ada. Tetapi janganlah itu menjadi perkara utama mereka.  Menyertai parti politik (tujuannya) untuk teruskan perjuangan.

Tetapi nampaknya (ada yang) lebih materialistik daripada dulu-dulu. Macam saya dulu, saya masuk bukan niat nak jadi menteri. Kita masuk kerana hendak menyumbang  tenaga. Saya pilih Gua Musang, dulu  (dipanggil) Hulu Kelantan. Saya boleh pilih Kota Bharu (kerana ketika itu) saya jadi Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Tunku Abdul Rahman menjadi pengerusi.

Saya boleh pilih hendak jadi ketua di mana-mana sahaja pun. Di Gua Musang saya terpaksa berjalan kaki berbatu-batu hendak pergi melawat kampung-kampung. Kenapa saya hendak pilih di sini? Kerana saya hendak berkhidmat. Malah rumah yang diduduki sekarang pun saya beli tanah, bukan saya ambil daripada kerajaan. Saya boleh ambil tanah daripada kerajaan, tidak ada siapa tahu pun. Tapi saya tidak ambil.  Ini soal prinsip. Kita buat bukan untuk kepentingan diri. Setakat yang termampu itulah kita lakukan.

Sekarang ini nampak orang yang hendak kepada harta pun bukan hendak satu bilion dua bilion, nak lebih daripada itu. Bukan ratus juta lagi. Mengapa jadi begitu? Kita utamakan lebih soal fizikal daripada soal utama yang kita patut berjuang. Islam tidak ajar kita begitu. Ibu bapa kita tidak ajar kita begitu. Jadi apabila kita sudah masuk dalam arena ini kita rasa tamak. Bagaimana kita hendak berjuang untuk orang kalau kita sudah tamak. Kita sudah tidak amanah ataupun kita sudah rasa tamak.

Pas Kelantan tidak lagi dalam keadaan terbaik selepas pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, saya tengok pimpinan Pas di Kelantan begitu lemah. Oleh sebab itu perpecahan berlaku di dalam Pas. Bukan sahaja pimpinan Pas di Kelantan lemah tetapi, tetapi nampaknya pimpinan Pas sebagai sebuah parti tidak memberi arah tuju yang tetap.

Walaupun ada cadangan nak pinda undang-undang mahkamah syariah, hudud dan sebagainya, nampak orang Pas, walaupun (pemimpin) bersemangat, (ahli) tidak begitu tertarik dengan apa yang dilakukan. Perjuangan ini untuk tegakkan islah, bukan hendak tegakkan hukum. Kalau dahulu tidak dilakukan kenapa dibuat sekarang? Mengapa sekarang ini menjadi lebih menonjol dari dahulu. Jadi ahli persoal itu juga.

Jadi kita pun bertanya diri kita. Mengapa begitu ramai pemimpin Pas meninggalkan Pas, tubuhkan Amanah. Apakah masa depan Amanah lebih baik daripada Pas? Mereka mesti ada perhitungan politik, masa depan mereka dan  rakyat.

Takkan mereka buat keputusan dengan tidak berfikir lebih lanjut! Umpamanya pemimpin-pemimpin yang keluar Pas, orang yang handal-handal dan golongan intelek. (Mereka) pernah jadi pensyarah di universiti dan sebagainya. Ini bukan orang yang ambil kesempatan untuk hendak pegang jawatan sebagai pemimpin, bertanding dalam pilihan raya. Tidak, dia orang ini ideologis, dia orang tinggal Pas, bukan seorang dua, ramai sehingga dapat menubuhkan Amanah.

Adakah ini bermakna peluang Umno Kelantan kembali berkuasa lebih terbuka?

Saya sendiri pun tidak faham Umno Kelantan ini. Kita tengok baru-baru ini, Pas lawan kita di Sungai Besar, Pas juga lawan kita di Kuala Kangsar. Tetapi apabila kita tanya apakah dia menjadi seteru kita, lawan kita dalam PRU nanti, dia (Umno) tidak dapat memberikan jawapan tegas. Tetapi saya rasa kita tetap lawan Pas pada pilihan raya akan datang kerana orang bawahan tidak mahu kita bersatu dengan Pas. Dan, orang Pas juga sama, tidak mahu bersatu dengan Umno.

Adakah Tengku melihat Umno dan Pas perlu berada sepentas?

Dia (Pas) nak perpaduan Islam. Dia kata kita ini tidak ikut kehendak dia. Setakat perpaduan dari segi bangsa sahaja tidak memenuhi syarat yang diperjuangkan oleh Pas.

Maksudnya Tengku tidak bersetuju dengan penyatuan Umno-Pas?

Tidak, saya bukan tidak setuju, cuma  saya tidak tahu apa arah tuju kita ini terutama yang berada di Kelantan. Saya tahu orang Umno di Gua Musang, umpamanya, mereka tetap mahu lawan Pas kerana tidak menerima Pas.

Ramai tak puas hati dengan Umno dan Pas. Dikatakan sekarang ini bangsa Melayu ini tidak berada di tempat yang sepatutnya dan usaha menyatukan dua parti Melayu perlu dilakukan?

Rasa tidak puas hati tu memang ada dalam kalangan sesetengah orang yang jadi ahli fikir atau yang fikir keadaan masa depan orang Melayu dan Islam. Banyak tidak puas hati dengan cara Pas memimpin sekarang ini. Banyak tidak puas hati dengan cara Umno dipimpin sekarang. Itu memang jelas. Itu sebabnya wujud pelbagai puak parti serpihan, kata orang, daripada Umno ataupun Pas.

Hakikatnya, orang Melayu dan Islam tidak berpuas hati dengan kedua-dua parti besar itu. Kalau tidak, mesti dia orang tidak berpecah belah. Sekarang ini kita ada lima parti Melayu, jadi orang Melayu berpecah. Tidakkah ini akan beri peluang kepada DAP bermaharajalela apabila Melayu berpecah, orang Cina bersatu di bawah panji-panji DAP? Tidakkah mudah bagi DAP kuasai kita semua, menakluki kita pada PRU akan datang? Saya tidak fikir semudah itu. Tetapi saya rasa logik juga ada sesetengah berfikir begitu.

Apakah pandangan Tengku mengenai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga wujud parti Bersatu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir?

Ramai tidak berpuas hati dengan pimpinan yang ada dan arah tuju parti-parti besar yang ada sekarang ini. Baik Umno, baik Pas. Itu sebab berlakunya perpecahan yang menyebabkan lahirnya parti-parti baharu. Kerana tidak berpuas hati, bukannya dengan perjuangan parti yang pertama kali dengan arah tuju parti, demikian dengan pimpinannya.

Apa pandangan Tengku mengenai 1MDB? Isunya berlarutan hingga ke hari ini dan masyarakat masih tertanya-tanya apa kesudahannya?

Sepatutnya isu ini berjalan ikut proses undang-undang. Sepatutnya apa yang dituduh sehingga ke hari ini mesti mendapat penyelesaian juga menerusi undang-undang. Jadi kalau tidak ada penyelesaian di peringkat mahkamah menerusi undang-undang, maka kita tidak bolehlah buat keputusan.

Saya setuju supaya tengok semua yang terlibat dalam kes 1MDB, dibawa ke muka pengadilan, tetapi selagi tidak ada tindakan baik di Malaysia ataupun di lain-lain tempat, bagaimana hendak mengharapkan kepada penyelesaian? Jadi yang dibuat di Amerika itu dibuat mengikut prosesnya. Prosesnya makan masa. Kita tidak boleh menghukum apa yang diramalkan oleh sesetengah orang.

Beberapa tindakan Perdana Menteri dalam isu 1MDB dipersoalkan, termasuk memecat pemimpin tidak sehaluan. Ini dikecam pelbagai pihak termasuk daripada pihak Umno sendiri.

Saya tidak boleh cakap betul atau tidak sebab itu adalah kebijaksanaan beliau. Barangkali apa yang beliau rasakan dilakukannya adalah tindakan yang wajar diambil.

Tengku banyak pengalaman politik dengan Dr Mahathir. Apa komen Tengku dengan tindakannya tubuh parti baru?

Saya kawan baik dia, cuma tidak sependapat dengan dia. Dia fikir orang Melayu tidak boleh terima pakatan Melayu dan bukan Melayu pada ketika ini. Orang Melayu mesti berjuang untuk orang Melayu dan perjuangan mesti mendahului kepentingan Melayu. Itulah nampak perjuangan  Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir memikirkan sekarang ini Umno tidak boleh buat begitu. Segelintir manusia sahaja yang mendapat faedah daripada perjuangan Umno sekarang  sebagaimana yang dibawa oleh kepimpinan yang ada. Dia rasa parti yang dia baharu tubuh ini memperjuangkan kepentingan Melayu lebih daripada parti yang ada.

Tun Mahathir bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa pandangan Tengku?

Dia akan lakukan apa sahaja, tetapi dia tidak minta maaf terhadap apa yang dilakukan  beliau terhadap Anwar. Cuma dia pergi jumpa Anwar untuk zahirkan sokongan dia terhadap apa yang dilakukan oleh Anwar kerana tidak setuju dengan undang-undang baharu yang kerajaan buat (berkaitan) Akta Majlis Keselamatan Negara. Dia menentang dan dia bagi sokongan kepada Anwar, kerana nak tahan dari undang-undang itu dilaksanakan.

Dari kaca mata politik seakan dia boleh memaafkan?

Itu saya tidak pasti. Saya tidak fikir sampai ke situ. Bukan sebab saya mengenali Tun Mahathir. Dia menyokong Anwar kerana tindakan (Anwar) yang bersama dengan pandangan dia. Dia tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh pimpinan (kerajaan pusat) yang ada sekarang.

Ekonomi negara kita sekarang dilihat menuju ke arah kemerosotan. Sebagai seorang berpengalaman, pernah menjadi menteri kewangan, apa pendapat Tengku?

Ekonomi dunia sekarang ini sedang menghadapi masalah kerana pelbagai masalah yang timbul. Salah satunya dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak yang mendadak. Dulu kita nak harga minyak jatuh kerana terlampau tinggi, tetapi apabila harga tinggi mereka menyesuaikan segala kos perbelanjaan untuk mengeluarkan segala barang-barang sesuai dengan harga minyak yang tinggi.

Tetapi tiba-tiba harga minyak turun mendadak. Pihak yang keluarkan minyak dengan banyak seperti Arab Saudi ambil beberapa pendekatan termasuk menurunkan harga. Itu adalah tindakan wajar dilakukannya, kalau mereka hendak jamin bahagian pasaran yang mereka kuasai kekal di tangan mereka.

Kita ini pengeluar minyak yang kecil...100,000 ribu barel lebih sehari. Kita tidak boleh keluarkan lebih daripada itu. Kita ada had untuk keluarkan. Apabila harga minyak jatuh, harga minyak kita pun jatuh juga. Kalau kita terus menerus keluarkan minyak yang banyak kita akan alami kerugian. 

Tetapi hakikatnya apabila harga minyak jatuh, walaupun kita keluarkan banyak atau sedikit pendapatan kita akan terjejas. Itu sebab kita mengalami kekurangan dari segi pendapatan. Selama ini kita mendapat minyak yang menyumbang terhadap khazanah kita sebanyak RM70 bilion setiap tahun, tiba-tiba turun kepada RM30 bilion.

Sudah tentu itu memberi kesan tidak baik kepada pemerintah. Jadi ia terpaksa buat penyesuaian. Oleh kerana itu kita berhadapan dengan masalah,  kerana biasa kita alami pendapatan yang baik daripadanya, tiba-tiba merudum dan akhir-akhir RM15 bilion, sedangkan perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung dengan pendapatan daripada minyak selain daripada eksport lain-lain. Tetapi kita sudah mengalami pengurangan kerana kelapa sawit yang kita biasa dapat faedah yang baik daripada eksport pada masa itu juga jatuh harga. Oleh sebab kejatuhan harga bukan saja kelapa sawit, getah asli kita semuanya menyebabkan kita terpaksa menyesuaikan perbelanjaan dalam negara dengan apa kita dapat.

Bagaimanapun faktor kepimpinan dalam mempengaruhi ekonomi negara?

Faktor kepimpinan ada la (sedikit), soal pendapatan negara ini tidak ada kena mengena dengan kepimpinan, melalui perhitungan dia sama ada banyak, kurang dia belanja. Banyak kurang, dia potong perbelanjaan. Itu bergantung kepada kepimpinan. Atas pemikiran dia sama ada apa yang dilakukannya tepat atau tidak, dengan apa jangka berlaku dengan satu-satu masa.

Isu Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) digubal, ada yang berpendapat mengatakan ia tidak perlu diluluskan kerana memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri selaku orang politik. Apa pandangan Tengku?

Ini soal keselamatan, siapa boleh menentu sama ada negara dalam bahaya. Atau tidak dalam bahaya. Hanya pihak yang ada kuasa keselamatan sahaja yang boleh menentu, sama ada suatu tindakan yang dilakukannya, baik atau tidak untuk negara.

Sebab kita semua tidak tahu, kita hanya dengar sana sini, mungkin kita dalam bahaya atau tidak. Tetapi, dia orang tu yang dapat maklum balas daripada tentera, perisik, polis lebih mengetahui daripada kita.

Selain daripada itu, dia dapat maklumat dari luar negara, sebab kalau kita tidak berjaga-jaga mungkin kita akan diancam. Di Laut China Selatan kita diancam pihak China kerana tuntutan terhadap Laut China Selatan, termasuk di kawasan kita di perairan Malaysia ini. Di sebelah sana banyak kemasukan subversif dan elemen yang ekstrem kerana pengaruh agama dan sebagainya. Itu pun mengancam keselamatan kita.

Jadi kita mesti mengawal semuanya ini. Sama ada tindakan kerajaan tepat atau tidak itu perkara yang susah kita nak jawab. Kerana kalau kita kata tidak tepat berdasarkan kepada apa? Kalau kita kata kerajaan tidak patut buat, bila berlaku sesuatu adakah kita perlu salahkan kerajaan?  Mungkin dah terlewat kalau benda itu berlaku, meletup bom di sana, di sini, orang bunuh sana, bunuh sini.

Dia pun mesti buat persiapan juga, supaya dapat mencegah ancaman yang mungkin berlaku terhadap rakyat. Tetapi di sebalik itu pula kita kena berfikir apakah kerajaan perlu memiliki kuasa sebanyak yang dibekalkan kuasa undang-undang MKN ini.

Sehingga diberi kuasa diktator, boleh tangkap, boleh isytihar sesuatu kawasan keselamatan dan sebagainya. Jadi susah kita nak cakap. Tinggal lagi kalau hidup dalam keadaan aman, mungkin kita rasa tidak patut kerajaan bertindak demikian. Dipersoalkan juga oleh sesetengah pihak sama ada patut atau tidak kerajaan lakukan ini dengan tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja, kerana ambil kuasa Raja-Raja dan sebagainya.

Kalaulah terpaksa berbuat demikian, kerajaan patut rujuk kepada Majlis Raja-Raja, dapat pertimbangan Majlis Raja-Raja dan persetujuan mereka sebelum dilaksanakan undang ini. Itu dipersoalkan banyak pihak.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa