Monday, October 10, 2016

Rehatkan pemain veteran bersandiwara di Sabah pada PRU14

Written By Wadah Baru on Sabtu, 8 Oktober 2016 | 2:59 PTG
Oleh Firdani Adam
Setelah setengah tahun Pakatan Rakyat berkubur di Sabah apabila PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan rakannya PAS, kini muncul pula parti-parti baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan slogan “Sabah 4 Sabahan”.

Sebagaimana didakwa pengasas parti yang bakal diumumkan namanya tidak lama lagi, ia lebih bersifat setempat berbanding parti-parti pembangkang sedia ada dari Semenanjung Malaysia. Suatu pendekatan yang kita harus raikan atas kesungguhan memperjuangkan kepentingan warga Sabah yang selama ini teraniaya.

Namun demikian, sebagai warga Sabah yang bijak, beberapa persoalan perlu kita timbulkan dengan penubuhan parti-parti baharu ini, kerana dendangan perjuangan mereka tidak menjanjikan apa-apa.

Pertama, sejauh mana parti-parti baharu ini benar-benar berjuang untuk kepentingan warga Sabah? Cuba kita singkap kembali tabir sejarah politik negeri Sabah, kita dapat lihat pemain-pemain politik ini lebih mementingkan kelangsungan karier politik berbanding berjuang untuk rakyat.

Ada sebahagian ahli politik tersebut pernah memegang jawatan di peringkat persekutuan, tetapi keadaan di pedalaman masih sama dengan jalan raya berlumpur, masalah elektrik dan bekalan air tidak pernah berakhir.

Kalau benar berjuang untuk warga Sabah, kenapa sewaktu menjawat jawatan di peringkat persekutuan dahulu tidak diperjuangkan habis-habisan? Sepatutnya kedudukan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan penyokong sahaja.

Kedua, andai benar mereka berjuang untuk rakyat, kenapa perlu tubuhkan parti berbeza kemudian menyatakan akan bergabung dengan parti-parti tempatan yang akan menentang BN?

Kenapa tidak tubuhkan satu parti untuk pejuang ini berada di dalamnya semua sekali dan menumpukan sepenuh tenaga dan usaha meraih sokongan rakyat yang akan membina sebuah kesatuan kukuh? Bukankah lagi mudah mendapat sokongan rakyat dalam jumlah banyak kerana sokongan itu penting untuk menentukan kemenangan dalam PRU.

Kemudian dengan bangganya menyatakan parti-parti Semenanjung ini tidak diperlukan lagi di Sabah, sedangkan itulah parti yang dahulunya disanjung dan dipuja – parti yang pernah dijadikan tempat persinggahan, selepas melompat daripada parti sebelumnya.

Adakah kewujudan ‘Sabah-based party’ ini benar-benar memperjuangkan kepentingan warga Sabah atau sekadar medan untuk pemain politik ini meneruskan kelangsungan karier mereka? Rekod silam jelas menunjukkan pemain-pemain politik ini banyak sandiwaranya.

Terlalu awal untuk diserahkan segala harapan kepada parti-parti ini kerana PBS yang pernah dijadikan harapan warga Sabah juga kecundang kepada BN dan kini menjadi rakan komponen BN sudah hilang taringnya.

Oleh yang demikian, kita sebagai warga Sabah cintakan negeri inilah yang akan membuat pilihan, pada bahu mana yang kita perlu sandarkan harapan. Jangan pernah lupakan sejarah. Kalau pejuang hak Sabah menyatakan Malaya adalah musuh utama rakyat Sabah, jangan lupa pengkhianatan ahli politik tempatan kita sendiri.

Kita akui, kita ramai ahli politik di Sabah, tetapi kita kekurangan negarawan yang sanggup berkorban demi masa hadapan Sabah yang gemilang. Sudah tiba masanya kita berikan laluan kepada golongan muda untuk menerajui pentas politik Sabah. Kita rehatkan pemain-pemain politik veteran yang banyak sandiwara mereka pada PRU akan datang.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa