12:30PM Apr 20 2015
oleh Rita Jong
PETALING JAYA: Tiada apa yang janggal dengan melantik peguam swasta sebagai pendakwa di mahkamah. Malah ia adalah amalan biasa di England, di mana sesetengah peguam diraja adakalanya turut menjadi pendakwa secara ad-hoc.
Ia juga sudah dilakukan di Malaysia, walaupun tidak terlalu lazim. Dalam beberapa tahun ini, hanya ada dua kes seumpama itu. Yang pertama adalah inkues kematian Teoh Beng Hock.
Peguam Tan Hock Chuan dilantik untuk mengendalikan kes itu pada 2009. Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berpendapat, peguam negara memutuskan untuk menggunakan khidmat luar sebagai pendakwa kerana beliau mahukan pihak yang neutral.
Kes yang lain adalah perbicaraan penuh kontroversi Liwat 2 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Peguam berpengalaman Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilantik untuk menjadi pendakwaraya.
Ia akan dianggap sebagai satu kes biasa jika bukan kerana hakikat bahawa Shafee juga adalah peguam Umno.
“Apatah lagi, tiada apa-apa yang teknikal tentang perbicaraan itu (yang memerlukan kepakaran khusus),” kata Paulsen.
Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, “peguambela boleh dilantik bagi pihak kerajaan untuk mengendalikan kes pendakwaan jenayah, inkuiri atau rayuan jenayah bagi pihak pendakwa raya.”
Peguam itu, yang diberikan “lesen untuk mendakwa”, akan dianggap sebagai penjawat awam dan dibayar dengan dana awam sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Satu situasi di mana khidmat luar boleh ditimbangkan adalah apabila peguam negara berpandangan ada kekurangan kepakaran dalam bidang undang-undang tertentu di kalangan pendakwa raya,” kata peguam New Sin Yew.
Sementara mengambil pengamal undang-undang untuk menjalankan tugas pendakwaraya adalah sesuatu yang diterima, ramai yang mengingatkan agar pemilihan dibuat secara berhati-hati.
Salah satu isu adalah berkenaan etika, dan ramai yang merasakan pemilihan Shafee dalam kes Liwat 2 sangat tidak sesuai. Beliau diketahui umum sebagai peguam Umno.
Adakah tidak beretika baginya menjadi pendakwa dalam kes yang melibatkan ketua pembangkang di parlimen?
(Anwar didakwa pada 2008. Ketika perbicaraan pada 2010, pendakwaan diketuai bekas peguam cara negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abideen. Shafee hanya dilantik ketika perbicaraan di peringkat rayuan pada 2013.)
Paulsen berkata, memang tiada sebarang sebab untuk melantik Shafee.
“Pejabat Peguam Negara ada ratusan timbalan pendakwa raya. Saya pasti ia berfungsi dengan baik dan ada kepakaran untuk mengendalikan kes dakwaan liwat,” katanya. “Selain itu, kenapa anda lantik Shafee, yang ada sejarah permusuhan dengan Anwar?”
Pada mulanya, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan mempertahankan keputusannya melantik Shafee untuk “menghilangkan kerisauan bahawa pejabat peguam negara berat sebelah”.
Ketika mempertahankannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, Shafee dipilih ekoran “kedudukannya sebagai pihak neutral dan seorang peguam swasta”. Barangkali beliau tidak menyedari bahawa kedudukan sebagai peguam Umno sudah cukup untuk mempersoalkan kedudukan “neutral” itu.
Pada 11 Mac, Nancy mendedahkan di Parlimen yang Shafee dibayar RM1,000 atas khidmat tersebut.
Perlantikan Shafee membangkitkan banyak kebimbangan dan implikasi negatif yang sudah pun dirasai apabila Abdul Gani memutuskan untuk mengambil peguam luar.
Peguam perlembagaan Fahri Azzat berkata, lebih-lebih lagi apabila kes terlibat “agak ringkas dan mudah”, seperti dakwaan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
“Ia menandakan tiada siapa dalam pejabat peguam negara yang cukup berpengalaman dan cekap untuk mengendalikannya. Ia menunjukkan tiada pendakdawa bermutu yang cukup, ini memalukan dan membimbangkan,” katanya. “Ia juga mencadangkan jurang besar antara peguam swasta dan mereka dalam pejabat peguam negara.”
Peranan pendakwaraya adalah penting dan juga memiliki simboliknya yang tersendiri. Tindakan mengambil khidmat luar membangkitkan persoalan tentang hak khas untuk mendakwa.
Lebih penting, memilih calon yang sesuai juga amat penting untuk mengekalkan keyakinan awam.
Banyak yang menjadi pertaruhan – menyebabkan setiap pelantikan bukan sahaja perlu dilihat sebagai sah, tetapi juga betul.
Berikut adalah petikan daripada artikel yang terbit kali pertama dalam Focusweek edisi 21 Mac 2015. Untuk bacaan lanjut, layari www.focusweek.my.
Berbelas org peguam Anwar melawan sorang . Dah kalah meroyan pula. Yg nyata peguam Anwar makan gaji buta je lah ye. Kesian Bang non dapat peguam bangang.
ReplyDeleteAmboi sedap kata org bangang. Kamu tu bodo. Dok sokong najib n badak boros
ReplyDelete