Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, April 20, 2015

Umno sokong Najib bukan kerana presiden

Posted on Monday, April 20 @ 14:16:10 MYT by paktam
Oleh Subky Latif

SEJAK Tun Dr Mahathir Mohamad minta Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak menjelaskan beberapa isu yang boleh menjejaskan wibawanya sebagai presiden Umno dan perdana menteri, secara umum orang Umno tidak teragak agak menyebelahi Najib dan tidak kurang pula mulai membertikai wibawa Dr Mahathir yang dirasakan menyerang secara langsung kepimpinan dan pentadbiran Najib.

Belum ada antara penyokong Umno yang menyatakan perkecualiannya dalam kejadian sekarang terutama pemegang jawatan dalam parti itu. Paling sedikit lunak orang-orang seperti Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Idris Harun mahu Najib diberi peluang sewajarnya bagi membuktikan kepimpinannya, atau seperti Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen, 

Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa semua soalan yang dibangkitkan oleh Mahathir itu lebih baik dijawab oleh Najib sendiri.Bukan keduanya tidak boleh menjawab bagi pihak Najib tetapi eloklah Najib sendiri menjelaskannya kerana dia lebih tahu semua tohmah yang ditujukan kepadanya itu.

Sikap dua orang itu adalah dikira terbaik, bukan saja pertanyaan memerlukan jawapan Najib tetapi tidak siapa yang benar-benar tahu apa yang Najib buat dan niat.

Kes yang Umno hadapi perbezaan antara Mahathir dan Najib sekarang tidaklah sama dengan kes pertandingan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah merebut jawatan presiden parti itu dulu. Dalam pertandingan itu dulu ahli-ahli dan penyokong Umno dikehendaki memilih siapa antara keduanya yang lebih berwibawa dan atas amalan masing-masing siapa yang boleh memimpin lebih baik.

Masing-masing boleh menghakiminya mengikut kepercayaan sendiri, dari kajian dan penelitan masing- masing atau kebiasaan bagi Umno siapa yang boleh memberi banyak habuan.

Para hakim pun tidak dapat memberi kata putus apa yang Umno patut buat bagi  memilih antara keduanya.

Masing-masing boleh menggunakan tipu muslihat dan akal hendak memihak kepada siapa. Jika ada yang kata Mahathir lebih baik, tiada kayu ukur yang tepat bagi mengatakan dia yang baik. Jika ada yang mengatakan Tenkgu Razaleigh dan regunya Tan Sri (Tun) Musa Hitam kurang baik, tiada juga kayu ukur yang tepat bagi menyokong kepercayaan itu.

Akan tetapi apa yang Mahahtir timbulkan itu bukan saja ia jadi isu dan polemik masyarakat dalam dan luar negeri, bahkan ada yang telah berlarutan berbelas-belas tahun. Jika di Eropah khususnya di Itali apa yang ditimbulkan boleh dikira permainan mafia. Bunuh, tipu, peras ugut dan lain-lain adalah benda yang jadi permainan malah melibatkan tidak sedikit orang politik.

Hakim, polis dan pegawai awam pun boleh jadi penyamun. Ia adalah benda- benda berat yang tidak mudah difahami oleh orang awam biasa yang sekadar menjadi penyokong parti politik.

Tidaklah penyokong Umno itu lebih jahat dan lebih lembab dibandingkan dengan bekas perdana menteri Itali yang namanya jika tidak silap Silvio Berlusconi, yang dikira banyak skendal seksnya dan keburukannya. Sekalipun jenayah politik diperkata secara terbuka, tidak pula dinafikannya, tetapi dia tetap disokong oleh pengikut partinya.

Dibawa dia ke mahkamah, penyokong partinya, setengahnya tahu akan kedurjanaannya, ada yang tidak mengatakan dia tidak jahat, tetapi mereka tetap menyokongnya. Jika tiada undang-undang melarangnya jadi perdana menteri lagi, mungkin politik mafianya akan menjadikannya perdana menteri lagi.

Mungkin mafia seperti belum jadi mainan ketara di Malaysia, tetapi jangan kata keburukan di New York dan mungkin berlaku di Malaysia, jangan fikir skandal Watergate ditiru oleh ahli-ahli politik kita.

Maka tidaklah mudah bagi kita merasakan orang-orang politik kita adalah sebaik malaikat semuanya.
Jika orang kata, orang PAS bukan semuanya baik, maka saya tidak tolak kemungkinan itu, tetapi kalau orang kata, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kaki rasuah dan jahat, amat payah saya terima.

Atas logik ini, saya tidak fikir pemimpin Umno semua bersih apa lagi politiknya tidak memberatkan soal dosa dan pahala.

Tidak berbangkit niat siapa yang lebih jujur dan lebih benar antara Mahathir dan Najib. Tetapi yang dibangkitkan oleh Mahathir itu adalah melibatkan politik tinggi, politik bermaruah, pentadbiran yang cekap, integriti dan wibawa pimpinan, keluhuran undang-undang dan keadilan dan lain-lain. Masa depan negara dan rakyat dan lain-lain.

Oleh itu, ahli Umno tidak boleh menghadapinya seperti mereka menghadapi pertandingan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam untuk jadi timbalan presiden Umno.

Orang Umno wajar meneliti setiap yang dibangkitkan oleh Mahathir itu. Sekalipun Mahathir itu banyak kelemahannya semasa dia menjadi presiden Umno dan perdana menteri dulu, tidak perlu dibangkitkan sangat bahawa tidak banyak kebebasan yang Mahathir beri kepada orang Umno untuk bertanya keburukannya dari musuh politiknya dalam Umno.

Peluang itu agak bertukar pada zaman bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib ini, orang boleh jumpa Mahathir untuk mengetahui kelemahan Pak Lah dan Najib, itulah kebaikan kedua-dua pemimpin itu, maka wajarlah Umno mendapatkan lebih keterangan dari Mahathir tentang apa yang dikatakannya.

Orang Umno mesti mencari sebanyak-banyak maklumat tentang perkara yang dibangkit oleh Mahathir untuk berjumpanya, supaya mereka boleh bersoal jawab dengan Mahahtir. Jika mereka datang dan berjumpanya dengan persiapan yang cukup, maka mereka boleh soal Mahathir atas setiap yang dibangkitkannya. Tidaklah mereka akan ditemberang saja oleh Mahathir.

Tentunya orang Umno jika boleh tidak mahu Najib diburuk-burukkan dan itulah sikap wajar bagi Umno terhadap pemimpinnya.

Tetapi bertemu Mahathir bagi mendapatkan keterangan lanjut, bagi memastikan apa yang Mahathir kata itu karut atau ada asasnya.

Adalah kewajipan setiap ahli Umno memastikan pemimpin bersih dan terbaik. Apabila ada yang mengatakan pemimpinnya tidak baik, maka mereka patut kaji dan teliti. Mereka tidak banyak peluang itu masa Mahathir dulu. Tetapi peluang itu banyak dan terbuka sekarang.

Isu Altantuya. Ia satu jenayah berat. Bunuh dan letup mayat. Kita tidak boleh terima bulat tohmah yang katakan Najib terlibat.

Tetapi kita tidak boleh tolak ia mustahil. Jika kita tanya Najib, tentu dia kata dia tidak ada kena mengena.

Sama dengan tuduhan liwat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Anwar kata, semua konspirasi dan fitnah.

Tetapi mengapa kita tidak dengar cakapnya saja? Mengapa dia didakwa? Mengapa Najib tidak disiasat dan didakwa?

Jika semasa kejadian itu perdana menteri adalah Abdullah Badawi. Tidak boleh kita pakai cakap perdana menteri itu saya yang kata Najib bersih.

Pak Lah dan ketua polis masa itu juga patut jadi saksi dan pastikan mereka bukan saksi ke lutut. Bagi memastikan mereka bukan saksi ke lutut, minta peguam Shafie Abdullah jadi pendakwa, dengan soalannya di mahkamah tahu dia menjadikan saksi bukan saksi ke lutut.

Jika wartawan bertanya Najib, tidak cerdik wartawan itu juga Najib kata, dia tidak terlibat, dia pun mengangguk saja. Dia kena jadi macam pengacara Hardtalk di BBC, yang menjadikan orang ditanya boleh patah lidah.

Bukan kerja kita untuk menghukum Najib dan mengikut kata Mahathir, tetapi Umno mesti adil dan bijak supaya Umno tidak jatuh ke tangan mafia kecil.

Setakat ini Umno kira ia politik semata-mata. Politiknya politik sekular pula. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa