10:30AM Apr 13 2015
oleh Mariam Mokhtar
SUARA LANTANG: Umno Baru adalah sebuah kuasa yang semakin kuat kerana rakyat tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya. Sekarang, ia bak seekor raksasa, kereta api tanpa pemandu, dan tiada sesiapa mengetahui cara untuk menghentikannya.
Malah bekas PM Dr Mahathir Mohamad, yang mencipta Umno Baru pada tahun 1988 dan merosakkan banyak institusi-institusi awam kita, tidak tahu apa yang boleh menghentikan Umno Baru dari memusnahkan negara.
Hari ini, rasa takut menyelubungi Malaysia. Dalam banyak hal, ISA seolah-olah seperti tidak pernah dimansuhkan. Ramai orang tidak pasti mengapa ada kekecohan berkenaan Akta Pencegahan Keganasan (Pota), kerana mereka tahu bahawa Umno Baru akan menggunakan kekerasan, rasuah atau tipu muslihat bagi mendapatkan apa sahaja yang ia mahu. Ia tidak perlu Akta Hasutan atau Pota untuk menangkap orang, ia hanya perlu merasuah musuhnya, seperti yang didakwa berlaku di Ipoh pada tahun 2009.
Kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, perlembagaan, PBB dan kecaman antarabangsa, tidak akan menghentikan Umno Baru.
Apabila Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar tidak dapat mencari undang-undang untuk menahan Zunar, beberapa undang-undang termasuk Akta Mesin Cetak dan "penghinaan badan kehakiman" telah digunakan. Zunar adalah pengkritik lantang kerajaan, dan Ketua Polis Negara mahu menghukumnya, untuk mendorong rasa takut di kalangan rakyat dan menghalang mereka daripada mengkritik kerajaan.
Timbalan PM Muhyiddin Yassin, menafikan bahawa Pota adalah jelmaan semula ISA. Beliau berkata, "Ada orang yang mendakwa bahawa Pota adalah 'ISA 2' dan dakwaan ini tidak benar, kerana ia adalah khusus untuk menangani masalah-masalah berkaitan keganasan."
Muhyiddin berhak memiliki kepercayaan palsu, tetapi dua orang bekas KPN telah memuji Pota kerana menggantikan ISA.
Bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor yang juga bekas pengarah Cawangan Khas, berkata yang Pota adalah serupa dengan ISA.
Beliau berkata, "Semasa kita melawan komunisme, perkara yang paling penting ialah kita mempunyai undang-undang yang kuat, kakitangan penguatkuasaan yang baik dan kerajaan yang baik yang memberi rakyatnya makan,"
Beliau salah. Pada masa itu tidak ada kerajaan yang baik. Kerajaan memerintah melalui ketakutan.
"Sebab itu saya bersyukur kepada Tuhan apabila mereka berkata yang mereka mahu membentangkan POTA. Ia adalah undang-undang yang dibuat untuk menghidupkan semula ISA...ini adalah baik. Oleh kerana kita mempunyai teknokrat, pengalaman (menghadapi militan), kita akan bersedia," kata Rahim.
Rahim menolak dakwaan bahawa Pota akan disalahgunakan dan digunakan untuk menahan pengkritik-pengkritik kerajaan.
Beliau berkata, "Dalam Cawangan Khas, kita gelarnya mencantas dari awal. Itu adalah cara yang terbaik. Apabila kita mempunyai segala-galanya (undang-undang pencegahan), maka masalah ini boleh diselesaikan."
Ironinya adalah rakyat dan ahli-ahli politik pembangkang tidak mencantas Umno Baru dari awal, dalam tahun 70-an, 80-an dan 90-an. Sekarang, kami perlu menghadapi raksasa yang telah Mahathir cipta.
Bayangan komunisme begitu kuat, sehinggakan kerajaan telah menggunakannya untuk menahan rakyat. Sesiapa yang menyebut nama Chin Peng dianggap sebagai simpatisan komunis. Sosialisme dianggap sebagai untuk komunisme.
Apabila bekas Ketua Polis Negara Hanif Omar menonton rakaman video perhimpunan Bersih 3.0, beliau mendakwa bahawa dia boleh mengecam beberapa veteran komunis dalam perhimpunan itu. Dia mungkin mahu mencadangkan bahawa Bersih telah disertai golongan komunis, terutamanya kerana beliau mendakwa yang perhimpunan ini dijalankan bagi menggulingkan kerajaan. Adakah dia menyedari betapa bodohnya dia?
Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, mendakwa bahawa orang ramai akan berasa selamat dengan Pota, yang beliau percaya diperlukan untuk mengawal pelampau politik.
Beliau berkata, "Orang ramai akan merasa tidak selamat tanpa adanya Pota. Ada orang-orang yang tidak bersetuju dengan pihak lain dan mereka menyeru rakyat untuk mewujudkan huru-hara, untuk membenci dan bukannya duduk dan menyelesaikan perbezaan pendapat mereka.
“Jika anda mahu menunjuk perasaan, lakukannya dengan cara yang betul. Kita mempunyai undang-undang untuknya. Tetapi jangan lakukannya untuk membuat rakyat membenci institusi itu, untuk memburuk-burukkan ia."
Rakyat tahu siapa yang buruk. Siapa yang merantai badan kehakiman? Yang memaksa pasukan polis mendapat arahan daripada sebuah parti politik? Parti yang menghantar anggota Pemudanya untuk mengamuk dan mengugut untuk membakar bangunan DAP di Serdang? Parti mana yang tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan ahli Pemudanya dari menyerang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, pada bukan Mei 2014, dan mengeluarkan ancaman terhadap seorang wakil rakyat? Musa perlu mengajar Umno Baru cara menyelesaikan perbezaan mereka di meja mesyuarat, dan tidak menganggap rakyat sebagai bodoh.
Ramai KPN telah cuba menghentikan demonstrasi kerana mereka berkata bahawa perhimpunan ini sentiasa bertukar ganas. Pihak polis menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan kekerasan polis telah memulakan keganasan di semua demonstrasi ini, setakat ini.
Raksasa yang dicipta oleh Frankenstein adalah sebuah karya fiksyen, tetapi bukan Umno Baru. Raksasa Frankenstein ada rasa belas kasihan, dan hanya didorong untuk melakukan jenayah kerana putus asa dan kesepian, yang disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak bertoleransi.
Umno Baru tidak pernah menyesal dan pada masa-masa tertentu, seolah-olah tiada rasa belas kasihan. Kita mesti mempertahankan diri kita darinya.
Mariam Mokhtar merupakan “seorang rakyat Malaysia yang berani kerana benar”.
Tu laa kalau asyik memonteng kan dah kalah dalam pgundian..budus puak2 ni!
ReplyDelete