Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, April 24, 2015

Mahathir: Berterus teranglah tentang masalah 1MDB

09:30PM Apr 23 2015
oleh V Shuman

KOMEN:  Kehilangan  duit yang dipinjam oleh 1MDB dan ketidakmampuan Perdana Menteri Najib Razak untuk memberikan penjelasan apa sebenarnya yang berlaku, telah menyebabkan dia tidak layak menjadi pemimpin negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad.
Dalam artikel blognya yang diterbitkan hari ini, Mahathir berkata Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan, perlu bertanggungjawab di atas kewangan negara.
“Di Malaysia, PM dan TPM selalunya menjawat satu lagi portfolio tambahan. Selalunya sebagai Menteri dalam Negeri dan Menteri Pertahanan secara bergilir-gilir. Kadang-kala, sementara mencari calon yang sesuai, Kementerian Kewangan (MoF) juga diketuai oleh PM.
“Bagaimanapun, Najib, lebih senang meletakkan MoF dibawah kuasanya sepanjang masa. Dia telah melantik Menteri Kewangan Kedua. Ya, itu ialah haknya, tetapi dia (Najib) akhirnya perlu bertanggungjawab dengan kewangan negara,” katanya.
Mahathir menambah sangat mustahak bagi seorang pemimpin, yang diberikan kepercayaan untuk menguruskan duit rakyat, mengikut peraturan, undang-undang dan regulasi kewangan.
Dia mengakui yang korupsi wujud dalam mana-mana kerajaan, dan sebuah kerajaan juga boleh kehilangan duit melalui pelaburan yang merugikan.
“Kita perlu tahu di mana duit itu hilang. Tetapi apabila sejumlah besar wang lenyap, pihak yang bertanggungjawab perlu memberikan jawapan kepada kehilangan tersebut.
“Kehilangan berbeza daripada kerugian. Kehilangan ialah tentang duit yang hilang tanpa dapat dikesan. Ini mungkin terjadi kerana korupsi atau kecurian,” katanya, jelas merujuk kepada dana bermasalah 1MDB.
Menurutnya, terdapat situasi di mana kerajaan membentangkan dana luar bajet, yang mungkin tidak dibahaskan di Parlimen tetapi masih perlu diluluskan dan dipersoalkan oleh Kabinet.
“Kertas kerja kabinet adalah rahsia. Tetapi dalam kes 1MDB, pembentangan dan kelulusan kabinet tidak jelas. Nampaknya ada cubaan untuk bersembunyi di sebalik rahsia rasmi.”
Mahathir juga mempersoalkan yang 1MDB berjaya meminjam 42,000 kali ganda modalnya (hutang sebanyak RM 42 ribu juta berbanding pelaburan RM 1juta), kerana kerajaan telah memberikan jaminan kepada pinjaman tersebut.
“Dengan kata lain, sebenarnya kerajaan  yang meminjam duit tersebut. Jika 1MDB rugi, kerajaan yang terpaksa menangungnya. Tetapi operasi 1MDB tidak dipantau oleh pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan dana kerajaan,” tambahnya lagi, dana itu memang bermasalah sejak peringkat awal.
Mahathir kemudiannya memberikan senarai pelaburan 1MDB yang diketahui umum, termasuklah tanah untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah Lapangan Terbang Sungai Besi- keduanya dibeli dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
“Nampaknya 1MDB tidak akan memperolehi apa-apa pulangan daripada pelaburannya. Bukan sahaja ia rugi, tetapi kerajaan juga hilang duit apabila 1MDB hanya membayar RM 683 juta untuk TRX dan Sungai Besi. Jumlah kehilangan yang ditanggung kerajaan dianggarkan sehingga RM 25 ribu juta.
“1MDB menilai asetnya berjumlah RM 52 ribu juta. Ini adalah kerana tanah kerajaan dibeli di bawah harga pasaran. Ia hanya boleh menggunakan duit ini untuk membayar pinjaman hanya sekiranya berjaya menjualnya sebagai tanah atau selepas dimajukan.  Kemajuan projek TRX sangat perlahan dan tiada kerja pembangunan di lakukan di Sungai Besi. Tiada duit yang akan masuk sepanjang pembangunan; hanya duit yang keluar,” katanya.
Mahathir menyimpulkan artikelnya dengan memberikan Najib tekanan: “ Kehilangan duit yang banyak dipinjam oleh 1MDB dan ketidakmampuannya untuk menjawab soalan apakah sebenarnya yang terjadi kepada dana tersebut, menyebabkan dia tidak layak jadi perdana menteri Malaysia.”
Tekanan yang diterima Najib semakin bertambah tetapi dia kelihatan tidak gentar dengan pengkritiknya.
Walaupun terdapat ahli Umno yang merasakan Najib perlu menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya, yang kita terima setakat ini hanyalah kebisuan yang panjang.
Malah temuramah yang disiarkan baru-baru ini sangat mengecewakan, dan  ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Blog Mahathir secara ‘misteri’ tidak dapat dimasuki sehingga hari ini, tetapi ‘posting’ nya selalu muncul dalam media sosial, terutama melalui para bloger yang menyokongnnya.
Sudah sampai masanya untuk Najib meletakkan titik penamat kepada isu ini dan berterus terang tentang 1MDB dan menjawab semua soalan yang dibangkitkan, berbanding tindakannya sekarang yang hanya cuba untuk mengawal media sosial serta cuba menghentikan kritikan kepadanya walaupun tidak berjaya. 

1 comment:

  1. 42 bilion ringgit bantak tu.

    Boleh hapus kemiskinan negara tuk 5 tahun senang senang saja

    Sekarang rakyat beban 5 tahun bayar GST nak tutup hutang 42 bilion

    Dengan 42 bilion pun mampu bina jambatan selat melaka dari Klang ke Medan Sumatera.


    Nasib baik Dr Mahathir pentingkan negara sendiri kalau senyap macam Pak Lah hilang di Perth , hancur lah negara kita ini.

    Mungkin jasa Tun ini boleh di nobat jadi AGONG di Tanah Putrajaya.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa